SEMBANG-SEMBANG
PERCERAIAN memang pahit. Namun jika sudah ditakdirkan jodoh hanya setakat itu, haruslah diterima dengan reda walaupun kesannya mengambil masa lama untuk dilupakan.
Bagi pasangan yang tidak mempunyai anak mungkin mudah untuk melupakannya tetapi bagi yang ada anak agak sukar tambahan pula jika anak-anak rapat dengan ibu dan bapa mereka.
Namun sesetengah perceraian menghadapi dugaan apabila si suami bernikah lain. Isteri tidak mudah menerima kehadiran anak-anak tiri dalam rumah tangganya tambahan pula jika suami masih berbaik-baik dengan bekas isterinya.
Inilah cerita yang ingin dikongsi oleh Asma (bukan nama sebenar) dengan pembaca minggu ini.
Ini cerita Asma.
Saya berusia awal 30-an mempunyai sepasang anak perempuan berusia 7 dan 10 tahun. Suami seorang pegawai bank berusia lewat 30-an.
Saya tidak mahu bercerita tentang kenapa kami bercerai cukup saya katakan semuanya kerana jodoh saya dan dia, hanya setakat itu. Saya reda dan pasrah dengan takdir Allah terhadap saya.
Enam bulan setelah kami bercerai, suami berkahwin lagi dengan seorang gadis...masih muda berusia awal 20-an, baru habis belajar dan bekerja di sebuah syarikat terkenal.
Orangnya cantik dan bergaya. Tidak hairanlah kenapa suami cepat terpengaruh dan jatuh hati kepadanya. Saya tidak kisah dia nak kahwin lain asalkan kebajikan dan tanggungjawab terhadap anak-anak kami dijaga dengan baik.
Setakat ini Alhamdulillah. Tapi yang buat saya sakit hati adalah sikap isterinya. Dia suka syak yang bukan-bukan terhadap saya. Dia juga selalu tabur fitnah tentang saya kononnya saya masih terhegeh-hegeh untuk kembali kepada bekas suami.
Dia mereka macam-macam cerita kepada keluarga bekas mentua dan kawan-kawan yang kenal saya dan bekas suami. Kesemuanya memburukkan saya. Saya malu kerana dia telah mengaibkan saya.
Kononnya saya gila talak dan selalu menggoda suaminya. Saya juga dituduh tidak tahu malu kerana menggunakan anak-anak untuk melepaskan rindu kepada bekas suami dan selalu ajak bekas suami keluar bersama anak-anak.
Pada hal dia tidak tahu, anak-anak keluar dengan ayah mereka tanpa saya. Itu pun kerana menurut perintah mahkamah, sebulan sekali atau bila-bila bekas suami teragak untuk membawa mereka keluar saya tidak pernah menghalang.
Itu anak-anak dia. Dia boleh datang jemput dan bawa anak-anaknya keluar bila-bila dia suka. Siapa saya nak halang? Tapi isterinya yang tidak panjang akal itu buat fitnah yang saya goda suami dia.
Kalau saya masih hendak suaminya itu, buat apa saya bercerai dahulu? Lebih baik saya kekal bersama dia? Saya pun hairan dengan perempuan itu. Hendak dikatakan tidak sekolah, belajar sampai universiti.
Tidak cukup dengan itu dia selalu mengirim mesej yang tidak elok kepada saya. Minta saya bernikah cepat kalau tidak tahan hidup seorang dan pelbagai lagi yang tentunya menyakitkan hati saya.
Sudah lama saya berdiam diri, malas nak layan perempuan sakit jiwa macam itu. Tetapi semakin saya diamkan diri, semakin galak dia menjaja cerita tentang saya.
Pernah juga dia bercakap yang bukan kepada anak-anak saya apabila mereka dibawa ke rumahnya oleh bekas suami. Anak-anak saya disindir dengan kata-kata sinis, bila nak dapat ayah tiri, mak kamu ada boyfriend? Soalan soalan bodoh yang sepatutnya tidak diajukan kepada anak yang belum tahu apa-apa tentang hidup ini.
Saya tidak pernah mengajar anak saya supaya bencikan ayah mereka sebab bagi saya, yang ada masalah saya dan ayah mereka, bukan mereka. Sebab itu hubungan saya dengan bekas suami tetap rapat tetapi hanya sebagai kawan, tidak lebih daripada itu.
Yang isteri barunya ini pula cemburu buta. Sangka yang bukan-bukan apabila saya dan bekas suami bertemu. Kadangkala ada perkara yang memerlukan kami berjumpa, contohnya di hari mengambil kad laporan anak-anak, sukan dan sebagainya.
Kami telah berjanji, apabila membabitkan hal persekolahan dan masa depan anak-anak, kami akan buat apa sahaja dan mengetepikan masalah yang kami hadapi. Dan saya yakin bekas suami juga ikhlas dengan kata-katanya.
Selepas berpisah kami tidak pernah buat perkara yang didakwa oleh isteri barunya. Walaupun berjumpa, itu atas urusan rasmi sahaja. Selesai, saya dan dia balik, itu pun anak-anak ada bersama.
Semua yang saya buat kerana anak-anak sebab tidak mahu mereka merasakan yang ayah mereka tidak ambil berat dan tidak sayangkan mereka. Saya rasa itu satu perkara baik yang sepatutnya dilakukan oleh semua pasangan yang telah berpisah, demi anak.
Baru-baru ini isteri baru bekas suami mengamuk lagi. Kononnya saya telah mengajak bekas suami pergi bercuti. Sedangkan bekas suami pergi dengan keluarganya dan membawa anak-anak kami bersama.
Secara kebetulan dia (isteri baru suami) tidak dapat ikut sama sebab ada kursus. Saya tidak pergi sebab tidak mahu berlaku perkara yang tidak diingini. Pun begitu ia berlaku juga.
Dia kirim mesej mengata saya gatal. Masih tergila-gilakan bekas suami, suka menggoda dan macam-macam perkataan tidak enak yang dilemparkan kepada saya, pada hal saya tidak ikut pun pergi.
Kerana tidak tahan dengan kata-kata penghinaannya itu saya hantar mesej berkenaan kepada bekas suami, biar dia tahu perangai isterinya. Saya tidak larat lagi hendak melayan perangai buruknya itu.
Harap rupa sahaja cantik, bergaya tetapi perangai macam orang tak sekolah, sesuka hati buat fitnah. Selepas saya hantar mesej kepada bekas suami, keadaan tenang sedikit. Dia tidak lagi mengganggu saya. Pada masa yang sama, saya tidak lagi membenarkan anak-anak saya dibawa ke rumahnya. Itu antara syarat yang saya berikan kepada bekas suami jika hendak membawa anak-anak kami keluar.
Alhamdulillah setakat ini, bekas suami mendengar cakap saya dan anak-anak juga gembira kerana tidak dibawa lagi ke rumah ibu tiri yang suka bertanya itu.
Saya tidak mahu perkara ini dibesarkan. Keluarga bekas mentua tidak tahu hal ini walaupun anak-anak adakala terlepas cakap. Saya diamkan sahaja sebab saya masih hormat keluarga bekas mentua sama seperti dahulu.
Doa saya semoga keadaan ini akan pulih dan saya bebas daripada gangguan perempuan tersebut. Saya hendak hidup tenang dengan kehidupan baru saya bersama anak-anak. Semoga Allah berikan saya petunjuk dan bimbing saya ke landasan yang betul. Amin," Asma menamatkan ceritanya.
Begitulah lumrah dunia. Ada wanita yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah dan tamak dalam menagih kasih sayang. Apa pun saya kagum dengan kekuatan semangat Asma, seorang wanita yang sporting dan berfikiran positif.
Semoga Allah makbulkan doa Asma dan melindungi kehidupannya bersama anak-anak. Nasihat saya, mana-mana perempuan yang di luar sana yang menghadapi perceraian, elok mencontohi Asma untuk meneruskan kehidupan.
Yang lalu biarkan berlalu, yang mendatang perlu ditempuh dengan tenang. Semoga Allah mudahkan urusan hidup kita dan merahmatinya selalu.
Menamatkan catatan, sepatah kata buat renungan bersama, kebahagiaan itu pasti ada tetapi tidak siapa pun yang akan mendapatkan dengan mudah melainkan melalui kesabaran dan pengorbanan.
Salam.