Jumaat, 2 Mei 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Melaka dibanjiri pelancong

Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada orang ramai membanjiri Jalan Jonker berikutan cuti umum sempena Hari Buruh di Melaka, semalam. - UTUSAN/Azli Ahad

MELAKA 1 Mei - Sempena cuti umum Hari Pekerja yang disambut di seluruh negara, beberapa lokasi tumpuan pelancong di Bandar Hilir dekat sini terus menjadi tumpuan orang ramai yang mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga.

Selain pelancong luar negara, pelancong tempatan turut membanjiri beberapa lokasi seperti bangunan Stadhuys, Kota A'Famosa, Muzium Samudera, Bukit St. Paul dan pusat beli-belah Dataran Pahlawan.

Keadaan itu menyebabkan laluan masuk ke bandar raya ini mengalami kesesakan teruk khususnya berhampiran bangunan Stadhuys.

Rata-rata pengunjung juga menyifatkan bandar raya ini adalah lokasi paling ideal untuk bercuti.

Seorang pengunjung, Abdul Hadi Mohd. Anuar, 25, dari Kelantan berkata, dia mengambil keputusan berkunjung ke negeri itu bagi menghabiskan masa bersama keluarga di samping merehatkan minda selepas penat bekerja.

"Banyak tempat menarik untuk dikunjungi kami sekeluarga sempena cuti Hari Pekerja.

"Saya tidak pernah bosan datang ke bandar raya ini kerana masih banyak lagi tempat-tempat menarik belum dilawati," katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Norsahida Zainorhuddin, 22, dari Johor berkata, dia memilih untuk melawat negeri ini sempena cuti Hari Pekerja bagi memanfaatkan masa berharga bersama keluarga.

Katanya, jarak negeri ini yang dekat dengan Johor juga merupakan satu bonus selain menawarkan banyak lokasi menarik yang pasti tidak habis dikunjungi dalam masa sehari.

"Banyak tempat bersejarah, tumpuan pengunjung yang menarik serta makanan yang enak di Melaka selain kepelbagaian budaya seluruh bangsa di negara ini yang boleh dilihat," katanya yang juga seorang guru.

Sementara itu, seorang pengayuh beca, Sam Ismail, 46, pula berkata, orang ramai dari seluruh negara sememangnya akan bertumpu ke negeri ini setiap kali cuti umum.

Katanya, sambutan orang ramai adalah sesuatu yang amat baik bukan sahaja untuk sektor pelancongan negeri bahkan untuk pengayuh beca serta peniaga.

"Kedatangan ramai pengunjung semasa hari cuti ini disambung pula dengan Jumaat, Sabtu dan Ahad ini dapat menambah pendapatan kami yang bekerja sebagai pengayuh beca," katanya.

Kelab CIDB didik kemahiran industri pembinaan pelajar

Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT

NORLIDA Nabil (kiri) menandatangani kain rentang selepas merasmikan Kelab Pembinaan CIDB di Kolej Vokasional Port Dickson di Negeri Sembilan, baru-baru ini. - Utusan/KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN

TELOK KEMANG 1 Mei - Sebanyak 11 Kelab Pembinaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ditubuhkan sejak 2008 sehingga kini di Negeri Sembilan dan Melaka.

Pengarah CIDM di kedua-dua negeri itu, Norlida Nabil berkata, kesemua kelab tersebut melibatkan tiga kolej vokasional serta lapan sekolah dengan jumlah keahlian hampir 900 orang.

"Penubuhan kelab sedemikian mampu memberi pendedahan kepada ahli berkaitan industri pembinaan selain menyediakan ruang untuk pelajar mendalami ilmu serta kemahiran dalam bidang pembinaan.

"Ini selari dengan peranan CIDB sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan modal insan industri pembinaan melalui penyediaan latihan kemahiran serta pentauliahan pekerja binaan mahir serta penyelia tapak pembinaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kelab Pembinaan CIDB di Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) di sini baru-baru ini.

Menurut Norlida, inisiatif tersebut juga membolehkan pihaknya memberikan pendedahan kepada pelajar terhadap dunia pekerjaan yang kini dimonopoli oleh pekerja asing.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pihaknya turut menyediakan Akademi Binaan Malaysia (ABM) di mana ahli kelab boleh mengikuti siri taklimat berkaitan peluang latihan kemahiran dan pentauliahan.

"Terdapat enam ABM di seluruh Malaysia iaitu di Sintok, Kedah; Johor Bahru, Johor; Kota Kinabalu, Sabah; Kuching, Sarawak; Kuala Lumpur serta Terangganu," katanya.

Menurutnya, dengan bantuan ABM atau pakar industri mereka dapat mempelajari merangkumi kerja-kerja binaan seperti pembinaan landskap, pertukangan, pemasangan jubin, konkrit, bangunan lukisan hiasan serta kemahiran berkaitan.

"Kita juga akan memberi Green Card kepada pelajar yang berkelayakan di mana akan mempermudahkan pihak kolej untuk membawa pelajar ini ke tapak pembinaan.

"Pihak kami juga akan memberi sijil kepada para pelajar setelah lulus penilaian CIDM nanti dengan ini akan memudahkan lagi mereka meceburi bidang pembinaan," katanya.

Tetapkan sasaran untuk capai matlamat

Posted: 01 May 2014 11:51 AM PDT

JEMPOL 1 Mei - Para pelajar sekolah perlu menetapkan sasaran mereka pada masa hadapan sebagai pendorong untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai matlamat tersebut.

Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mahzan Atan berkata, tanpa meletakkan sasaran tersebut, agak sukar untuk seseorang bergerak ke hadapan kerana mereka dianggap sebagai tidak mempunyai perancangan.

"Mulai sekarang mereka perlu memasang niat apa yang mereka mahukan dalam hidup. Bila ada niat dan matlamat, maka mereka akan sentiasa berusaha untuk merealisasikan impian tersebut.

"Perjalanan mereka masih panjang dan mempunyai banyak masa untuk menentukan hala tuju. Oleh itu, buat perancangan dengan baik agar tidak tersalah memilih bidang yang mahu diceburi nanti," katanya ketika berucap pada majlis anugerah kecemerlangan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Serting IGCSE (International General Certificate of Secondary Education), dekat sini baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, MRSM telah menyampaikan pelbagai anugerah kepada para pelajar cemerlang. Ia turut menyampaikan anugerah komuniti setempat kepada beberapa pihak termasuk akhbar Utusan Malaysia.

Mahzan berkata, beliau amat berbangga dengan penglibatan MRSM Serting dalam pelbagai program kemasyarakatan sama ada di dalam dan di luar negara.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved