APALAH erti kasih sayang jika tidak disertakan dengan keikhlasan dan ketelusan dalam ikatan keluarga yang suci.
Biarpun hubungan telah bertahun-tahun terjalin, dididik dan dibesarkan bersama bagaikan saudara kandung, jika tidak disertakan dengan keikhlasan pasti tidak akan sampai ke mana apabila harta menjadi taruhan.
Inilah kisah minggu ini yang ingin saya kongsi dengan pembaca kiriman Hidayah (bukan nama sebenar). Kata Hidayah, bukan niat mengaibkan sesiapa tetapi ia sebagai iktibar untuk kehidupan mendatang.
Begini kisahnya:
"Saya seorang suri rumah, telah berkahwin dengan seorang penjawat awam sejak 30 tahun lalu dan dikurniakan empat orang anak (seorang lelaki dan tiga perempuan) serta dikurniakan dua orang cucu. Rumah tangga saya aman bahagia, alhamdulillah.
"Saya dilahir dan dibesarkan oleh atuk sebelah ibu. Menurut atuk yang saya panggil bapa, saya diserahkan oleh bapa dua hari selepas ibu saya Mahani (bukan nama sebenar) melahirkan saya lebih kurang 45 tahun lalu.
"Sejak itu, saya hidup bersama ibu saudara seramai enam orang, manakala bapa saudara yang sulung dipelihara pula oleh datuk sebelah bapa.
"Saya tidak nampak cara atuk membesarkan saya dengan anak-anaknya berbeza tetapi yang saya perasan, saya dibesarkan bersama dengan ibu saudara bongsu yang saya panggil busu Linda sebab kami sebaya.
"Kalau saya meminta dengan nenek 10 perkara, saya hanya akan dapat satu sahaja, berbanding busu Linda yang akan dapat sembilan. Manakala atuk lelaki tidak pula membeza-bezakan layanan kepada kami berdua, mungkin kerana dia mempunyai tiga orang isteri.
"Walaupun begitu saya bersyukur kerana dapat membesar juga seperti anak-anak lain, banyak kenangan pahit hidup bersama ibu saudara yang bongsu ini berbanding yang lain.
"Mungkin kerana kami sebaya menjadikan keadaan seperti itu, sementara ibu saudara lain kesemuanya sudah matang. Busu Linda pandai mengambil hati kakak-kakaknya yang telah berkahwin. Apabila mereka balik ke kampung dia berpura-pura rajin, pada hal selalunya saya yang buat semua kerja di rumah.
"Dia akan menjadi rajin yang luar biasa, mengemas, membasuh pinggan mangkuk dan menyapu halaman rumah dan macam-macam lagi. Seolah-olah selama ini, dia seorang sahaja yang buat semua kerja di rumah.
"Sudah tentu kakak-kakaknya percaya dengan kerajinannya dan saya menjadi mangsa dikatakan tidak membantu langsung dalam menguruskan rumah.
"Kadang-kadang saya ditinggalkan seorang diri di rumah yang agak jauh dari rumah-rumah jiran apabila atuk dan nenek membawa busu berjalan ke rumah adik beradiknya.
"Walaupun takut, saya diamkan saja. Bayangkan saya seorang di rumah sedangkan macam-macam kejadian berlaku di kampung termasuk pemuda nakal yang suka mengganggu anak dara."Pernah sekali saya diintip ketika mandi. Saya menjerit dan berlari ke atas rumah dalam keadaan takut. Banyak lagi perangai Busu Linda yang saya terguris hati tetapi biarlah saya simpan sendiri. Buruk macam mana pun, dia tetap ibu saudara yang perlu saya hormati.
"Saya juga pernah membela anak-anak ibu saudara selepas saya tamat SRP dan berhenti sekolah. Semasa di sekolah dahulu, saya menghadapi masalah untuk mendapatkan keperluan sekolah. Apa yang saya minta semua tidak dapat.
"Atuk dan nenek saya cukup teliti tentang duit. Saya pula jarang dapat bermain dengan kawan-kawan selepas sekolah seperti budak-budak lain.
"Sebab saya ada kerja yang perlu dibuat, saya mesti cari kayu, mengangkut air dari perigi untuk keperluan di rumah.
Alhamdulillah, penyeksaan itu semua tidak lama. Syukur saya dilamar oleh seorang pemuda ketika berusia 20 tahun. Setelah berfikir semasak-masaknya dan mengenangkan nasib saya di rumah, maka saya menerima lamaran pemuda itu dengan hati terbuka. Harapan saya semoga segala yang saya lalui akan berakhir. Saya mahu membina hidup baru.
"Pemuda itu adalah kawan pejabat kepada isteri jiran saya. Setelah berkahwin dan berpindah keluar dari rumah itu, saya tetap berhubung dengan ibu-ibu saudara kerana saya tidak mahu kasih sayang antara kami terputus.
"Saya dan suami tetap mengunjungi kesemua rumah ibu saudara saya walau apa pun majlis yang diadakan kerana saya menganggap mereka seperti adik-beradik kandung.
"Atuk lelaki pula selain mempunyai tiga isteri, dia juga mempunyai banyak harta, tanah dan wang simpanan. Akhir tahun 80-an, atuk meninggal dunia akibat sakit tua. Nenek terlebih dahulu pergi sebelum atuk.
"Sepanjang tempoh atuk dan nenek sakit, kami bergilir-gilir menjaga dan merawat mereka berdua hingga ke penghujung nyawa mereka. Saya yang paling banyak berkorban sebab saya tidak bekerja.
"Setelah hampir lima tahun tibalah masanya segala harta pusaka atuk dibawa ke perbincangan ahli keluarga untuk diagih-agihkan, diambil kuasa dan dibahagi-bahagikan.
"Saya tidak campur dalam urusan itu. Semua cerita saya dapat tahu dari acik Ija yang rapat dengan saya sejak kecil. Akhirnya setelah hampir setahun maka selesailah proses mendapatkan wang simpanan peninggalan datuk, lalu diagih-agihkan kepada semua ibu dan bapa saudara saya. Setelah selesai isu itu, timbul pula satu masalah adakah wang itu juga perlu diagihkan kepada saya.
"Hendak dijadikan cerita, secara kebetulan saya sudah merancang untuk mengadakan majlis pertunangan anak perempuan sulung saya, jadi saya jemput semua adik-beradik, seibu sebapa yang tinggal di Melaka dan semua ibu saudara dan bapa saudara. Majlis itu juga merupakan hari lahir saya yang ke-50 tahun.
"Sepanjang majlis, saya lihat ibu saudara saling berbisik dan bila saya cuba mendekati, mereka menukar topik. Rupa-rupanya mereka sedang berbincang sama ada perlu atau tidak memberi saya wang pusaka peninggalan atuk.
"Macam-macam isu yang dibangkitkan kerana duit itu. Saya buat tak dengar kerana tak mahu bebankan otak dengan masalah itu. Acik Ija yang rapat dengan saya beritahu, mereka mengatakan saya bukan anak abah (atuk), kenapa perlu bagi wang itu kepada saya.
"Rasa luluh hati saya, hiba, sedih dan kecil hati tidak terhingga. Saya menangis semahu-mahunya di hadapan suami.
"Suami juga sebak dan menitiskan air mata. Sampai hati mereka, saya tidak minta jauh sekali menuntut, kalaupun tak mahu beri wang itu, jangan rendahkan hubungan keluarga saya dengan mereka.
"Mengapa setelah 50 tahun, baru timbul isu cucu tiri dan sebagainya, kenapa tidak dahulu? Tapi saya tetap berpegang kepada kata-kata suami, kerana harta manusia sanggup buat apa sahaja walaupun membuang saudara. Lupa susah senang zaman dahulu.
"Suami pujuk dengan kata-kata tidak mengapa kita tidak dikurniakan harta menggunung tetapi bersyukur kerana dikurniakan Allah hati yang suci. Biarkan mereka dengan harta mereka, tidak sampai ke mana pun, apabila kembali kepada Ilahi, hanya kain putih yang dibawa bersama.
"Suami menjadi penawar jiwa saya bersama anak-anak. Semoga Allah beri saya kesabaran untuk terus hidup bersama suami dan anak-anak tercinta. Terima kasih Ya Allah atas nikmat yang Engkau berikan kepadaku, Hidayah menamatkan ceritanya.
Saya faham dan bersimpati dengan apa yang dialami Hidayah. Memang sedih dengan apa yang berlaku. Sepatutnya ibu saudara dan bapa saudara Hidayah perlu sedar bahawa Hidayah membesar bersama mereka dan seperti adik kandung. Malah dia turut sama menjaga dan merawat bapa dan ibu mereka semasa sakit. Tapi itulah lumrah manusia.
Saya harap Hidayah akan terus tabah menghadapi dugaan hidup. Anda mempunyai keluarga yang boleh menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jangan peduli tentang apa yang mereka buat dan jangan pula memutuskan hubungan dengan mereka. Berdoa agar satu hari nanti, mereka akan sedar dan meminta maaf.
Menamatkan catatan, pesanan saya bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan daripada memikirkan segala kesulitan yang dihadapi kerana Allah hanya memilih hamba-Nya yang Dia tahu tahan diuji.
Salam.