KALAU bercakap dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) TAN SRI ABDUL AZIZ MOHD. YUSOF, memang tak sedar masa berlalu. Ingatkan sejam, tengok sudah melebihi 2 jam.
Tapi, apa yang disentuhnya tentang sebab persempadanan semula bahagian pilihan raya ada faktanya. Ada kebenarannya.
Cuma Abdul Aziz tersenyum dengan gelagat seorang pemimpin pembangkang ini apabila memberi komen pasal isu persempadanan ini. Yang menurutnya, sekejap nafasnya lain, sekejap pula dalam nafas lain pula.
Kepada wartawan ZULKIFLI JALIL dan ABDUL YAZID ALIAS serta jurugambar SHAHARUDDIN ABDULLAH di kediamannya di Seksyen 7, Shah Alam Jumaat lalu, Abdul Aziz bercakap panjang lebar tentang isu persempadanan ini. Berikut temu bualnya, yang lebih elok diteliti dan dinilai sendiri oleh pakatan pembangkang.
UTUSAN: Mengapa perlu persempadanan semula bahagian pilihan raya dibuat sekarang?
ABDUL AZIZ: Urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya merupakan salah satu tugas SPR mengikut Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan yang mengkehendaki SPR menjalankan urusan persempadanan semula dalam tempoh sekurang-kurangnya 8 tahun urusan persempadanan terdahulu selesai.
Persempadanan terakhir untuk negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah ialah pada Mac 2003 manakala bagi Sarawak ialah pada Jun 2005. Berdasarkan Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, SPR boleh melaksanakan urusan persempadanan bagi negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah selepas Mac 2011 dan Sarawak pada Jun 2013.
Meskipun undang-undang menetapkan persempadanan sekurang-kurangnya lapan tahun, namun proses itu boleh dikira dalam tempoh 10 tahun secara keseluruhannya yang mana proses itu perlu mesti disiapkan oleh SPR dalam tempoh dua tahun selepas pengumuman rasmi dibuat oleh SPR.
Apa prosedur awalnya?
Mengikut Perlembagaan, SPR mesti memaklumkan kepada Perdana Menteri dan Speaker Dewan Rakyat. Selepas itu baru kita umumkan secara rasmi yang mana bermulalah hari pertama SPR memulakan proses persempadanan semula yang mesti disiapkan dalam dua tahun. Bermakna, lapan tahun campur dua tahun, jadi 10 tahun sekurang-kurangnya.
Dalam undang-undang tidak menyebut persempadanan semula mesti dibuat dalam lapan tahun, tapi sekurang-kurangnya lapan tahun.
Bagaimanapun, ada laporan sebelum ini menyebut Anwar (Penasihat PKR) pernah mempersoalkan mengapa SPR tak buat (persempadanan semula) dalam tempoh lapan tahun pada 2011. Maknanya, beliau nak sangat SPR buat persempadanan semula, seolah-olahnya dia nak menyalahkan SPR mengapa kita tak buat.
Kenyataannya, beliau tidak faham undang-undang bahawa semestinya bukan lapan tahun persempadanan semula itu tetapi sekurang-kurangnya lapan tahun. Namun, dalam nafas lain, dia (Anwar) kata, SPR jangan buat persempadanan semula, kalau SPR buat kita tak setuju, mana satu pendirian beliau dalam soal ini.
Satu nafas dia kata mengapa tak buat, satu nafas lain jangan buat, kononnya ahli-ahli (SPR) ini tak boleh harap. Tetapi yang tak buat orang (ahli SPR) yang sama juga, bukan tak buat melanggar undang-undang tetapi sekurang-kurangnya lapan tahun.
Kalau diikutkan Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, SPR boleh melaksanakan urusan persempadanan bagi negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah selepas Mac 2011 dan bagi Sarawak pada Jun 2013. Ini bermakna persempadanan semula semua negeri dalam Malaysia boleh dibuat serentak kerana semua telah melebihi lapan tahun.
Kenapa SPR tidak menjalankan persempadanan semula pada 2011 bagi negeri Tanah Melayu dan Sabah walaupun ia telah melepasi tempoh sekurang-kurangnya lapan tahun?
Mengapa? Pada 2011, kita lihat keadaan politik yang seolah-olah Perdana Menteri akan membubar Dewan Rakyat pada bila-bila masa, 2011 ke, 2012 ke. Ada satu perhimpunan di Bukit Jalil (yang dihadiri Perdana Menteri) sebelum itu sebagai contoh, selepas perhimpunan itu kita lihat bendera semua naik, kita ingat pilihan raya sudah dekat. Ekoran perhimpunan itu, kita buat taklimat, kita bincang dan kita dapati tak boleh buat persempadanan semula pada 2011 kerana akan mengganggu kerja dan tugas SPR jika Perdana Menteri bubarkan Dewan Rakyat.
Apa contoh kawasan pilihan raya yang begitu padat atau paling kecil jumlah pengundinya, sehingga memerlukan persempadanan semula ini disegerakan?
Sebenarnya banyak kawasan padat. Antara contoh bahagian pilihan raya yang mempunyai jumlah pemilih yang terlalu tinggi pada 29 November 2013 ialah P.109 Kapar (Selangor). Kapar mempunyai pemilih seramai 146,087 orang manakala bahagian pilihan raya Parlimen yang mempunyai pemilih terkecil pula pada tarikh yang sama ialah P.207 Igan (Sarawak). Igan memiliki pemilih seramai 18,124 orang. Walaupun pengundi bilangan kecil, keluasan sesuatu kawasannya perlu diambil kira yang mana ada kawasan itu sebesar Pahang, Pulau Pinang pun ada. SPR ambil kira perkara ini seterusnya membuat persempadanan.
Benarkah majoriti dua pertiga diperlukan untuk meluluskan persempadanan ini?
Di bawah undang-undang untuk meluluskan laporan persempadanan SPR apabila dibentangkan di Dewan Rakyat, ia tidak memerlukan sokongan dua pertiga. Tetapi perlukan sekadar majoriti mudah. Kalau sekarang ini ada 222 kerusi di Dewan Rakyat, kalau dapat sokongan 112, baru boleh diterima laporan ini. Laporan ini diterima dengan majoriti mudah.
Kalau sekarang ini BN (Barisan Nasional) ada 133 kerusi Dewan Rakyat dan jika semua menyokong laporan itu, ia boleh diterima. Apabila laporan persempadanan SPR itu diterima, di samping mengubah dan membetulkan sempadan kawasan pilihan raya, laporan itu mungkin ada mengesyorkan menambah kerusi.
Dan, untuk menambah kerusi, mesti ada pindaan terhadap Perlembagaan. Untuk melaksanakan syor dalam laporan persempadanan SPR menambah kerusi Dewan Rakyat, mesti Perlembagaan dipinda dahulu di bawah Fasal 46 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bilangan kerusi.
Namun, pindaan Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dibuat apabila mendapat persetujuan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat. Makanya, daripada 222 kerusi, mesti ada sokongan sekurang-kurangnya 148 ahli Dewan Rakyat. Sekarang ini parti pemerintah ada 133, makanya mereka kurang 15 kerusi untuk dapatkan majoriti dua pertiga.
Adakah ini bermakna dengan perubahan sempadan bahagian pilihan raya yang tidak memerlukan majoriti dua pertiga, ia akan melibatkan berlaku pemindahan pengundi dari DUN asal ke DUN lain?
Pindaan sempadan kawasan pilihan raya ini kita ubah. Sebab apa kita ubah? Sebabnya kalau kita dapati DUN-DUN di bawah sesuatu kawasan Parlimen itu tidak sama rata. Katakanlah di Parlimen Shah Alam ada dua DUN, kalau kita dapati DUN Kota Anggerik dan DUN Batu Tiga, bilangan pengundi jauh berbeza sangat, kita ubah sempadan supaya jumlah pengundinya lebih kurang sama.
Jadi, prinsip yang terkandung dalam Bahagian I, Jadual Tiga Belas Perlembagaan Persekutuan itu adalah asas SPR melakukan kajian persempadanan semula. Ia juga menjadi prinsip pegangan kita.
Adakah persempadanan semula ini satu formula yang boleh memenangkan sesuatu parti politik?
Itu terpulang kepada pengundi dan SPR tidak mengambil kira perkara itu. Itu sebab kalau kita jumpa ahli politik dan bincang mengenai persempadanan ini, kita tak boleh bergerak. Mereka mungkin akan cakap, eh! ini aku punya orang kuat masuk ke sempadan lain? kita tidak tahu benarkah andaian ini.
Kalau kita tanya mana-mana ahli politik apa yang mereka nak jaga ialah selamat atau tidak kerusi itu. Kalau ada 150,000 pengundi, mesti dikurangkan. Macam mana kita nak kurangkan ialah sama ada kita tambah kerusi Parlimen berkenaan atau tambah kerusi DUN. Tapi takkanlah satu kawasan Parlimen kita nak letakkan enam DUN, jumlah pengundi sama juga. Jadi logiknya, kita pecahkan kepada dua Parlimen masing-masing ada tiga kawasan DUN.
Kalau ada pertambahan kerusi, itu syor SPR yang buat persempadanan semula kita kemukakan kepada Dewan Rakyat. Terpulang kepada Dewan Rakyat untuk terima atau tidak.
Namun, SPR juga mengikut pertimbangan kalau kawasan luar bandar seperti di Sabah dan Sarawak, kawasannya terlalu besar namun bilangan pengundinya adalah kecil, kita ada pertimbangan untuk pecahkan kawasan pilihan raya berkenaan. Kita ada banyak pertimbangan.
Yang penting, jangan ada pertindihan sempadan negeri, Parlimen. Kawasan DUN pula jangan melangkau Parlimen lain. Perubahan satu-satu kawasan Parlimen atau DUN itu seboleh-bolehnya dalam satu daerah. Mungkin daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor ataupun satu pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT). Kenapa? kalau Parlimen atau DUN diletakkan lebih satu daerah atau PBT, wakil rakyat terpaksa berkhidmat di dua daerah atau PBT. Kalau ada mesyuarat, letihlah dia.
Kemudian, dalam Perlembagaan juga menurut Jadual Tiga Belas, turut menyatakan bilangan pemilih dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu negeri patutlah lebih kurang sama banyak. Bukanlah tepat sama, tetapi lebih kurang kalau lebih 30, 28, 31.
Kita tak boleh nak kata Parlimen Cheras sama banyak di Parlimen Sabak Bernam. Tak boleh kata one-man, one-vote, one-value, di mana berada di Malaysia ini di mana nilai undi itu sama. Maknanya sama (di mana-mana tempat), bezanya mereka kata 15 peratus, ini tidak boleh cakap begitu.
Kelak, akan ada pihak menuduh SPR berat sebelah dalam urusan persempadanan ini kerana ini kali pertama dibuat dalam keadaan BN tidak memiliki majoriti dua pertiga.
Ini bukan perkara baharu, sama ada dalam keadaan dua pertiga dan bukan dua pertiga, ahli-ahli politik ini dalam kumpulan mana dia berada, dia mesti akan menuduh SPR menyatakan one-man, one-vote,gerrymandering (amalan pengarisan semula kawasan pilihan raya). Maknanya, SPR ini dianggap meminda persempadanan itu atau menambah bilangan kerusi yang tujuannya semata-mata untuk memenangkan parti pemerintah itu tuduhan mereka. Kita nafikan tuduhan itu.
Antara kerja-kerja SPR dalam urusan persempadanan ini?
Dalam tempoh itu, pertamanya apabila siap laporan awal, kita akan warta, pamer dan iklankan di dalam akhbar. Selepas itu, ada tempoh sebulan kepada tiga kumpulan untuk membuat bantahan atau cadangan balas iaitu kerajaan negeri, PBT-PBT dan sekurang-kurangkan 100 orang pengundi di kawasan yang terlibat dalam persempadanan semula.
Kalau pengundi nak buat aduan di kawasan Shah Alam, ia haruslah melibatkan sekurang-kurangnya 100 pengundi di kawasan Shah Alam, tak boleh orang luar. Di peringkat SPR, kita akan semak nama dia, kad pengenalan dia, mengundi di mana. Bukan bermakna orang politik tidak boleh buat bantahan, mereka boleh melalui ruang lain sama daripada kumpulan pengundi atau kerajaan negeri.
Seterusnya, apabila tempoh bantahan dan cadangan balas dilakukan, SPR akan membuat siasatan tempatan (local inquiry). Kita pergi ke tempat itu berjumpa dengan pihak terlibat untuk mendengar hujah mengapa mereka bantah.
Selepas proses local inquiry ini dilaksanakan, SPR akan buat pindaan dan akan pamer sekali lagi dalam tempoh sebulan. Selepas itu, kita adakan sekali lagi local inquiry untuk kali kedua. Selepas itu, SPR akan buat laporan akhir. Kesemua proses itu dilakukan dalam tempoh dua tahun.
Selepas siap semuanya laporan dalam tempoh dua tahun itu, laporan tadi kita akan serah secara rasmi kepada Perdana Menteri. Selepas itu, terpulang kepada Perdana Menteri bila nak bentang .
Dalam tempoh dua tahun untuk menyediakan laporan itu, SPR akan turun padang lihat maklumat berapa ramai pengundi, persempadanan, kemudahan pentadbiran dan PBT.
Bagaimana kalau pembangkang tolak kajian persempadanan semula ini?
Menerima atau menolak cadangan persempadanan semula SPR bergantung kepada keputusan yang dibuat wakil rakyat sendiri. Kita akan patuhi apa juga keputusan yang dibuat di Dewan Rakyat. Kalau mereka kata setuju, setujulah, kalau tak setuju, tak setujulah. Tapi jangan komplen kepada SPR kata pengundi kawasan dia ramai sangat.
Cabaran yang dihadapi SPR ialah untuk menambah bilangan kerusi. Di Dewan Rakyat tidak ada majoriti dua pertiga. Tapi ada juga DUN yang ada majoriti dua pertiga dan ada yang tidak ada majoriti dua pertiga. Akan tetapi, ada undang-undang negeri nak tambah kerusi tak semestinya perlu ada dua pertiga, tertakluk kepada perlembagaan negeri masing-masing.
Bagi negeri yang ada majoriti dua pertiga seperti Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak, Perlis, dari segi teorinya mereka boleh lulus dan pinda perlembagaan negeri masing-masing.
Akan tetapi jika di peringkat pusat pertambahan kerusi tidak lulus, apakah perlembagaan negeri boleh dipinda? Sebab apa? Pertambahan kawasan DUN bergantung kepada pertambahan di peringkat Parlimen. Kalau Parlimen tak bertambah, macam mana DUN nak bertambah dari segi logiknya.
Ada contoh yang mudah kami faham?
Saya beri contoh Parlimen Shah Alam kalaulah parlimen itu dipecah kepada dua sebab kawasan luas dan pengundi ramai. Shah Alam sekarang ini ada dua DUN sahaja dan bila dipecah, DUN akan jadi empat iaitu setiap parlimen ada dua DUN. Soalnya, bolehkah jadi empat DUN kalau parlimen tidak pecah dua? Takkan boleh, itu dari segi undang-undang.
Dari segi moral pula, kalaulah parti pembangkang di Dewan Rakyat tidak menerima di Dewan Rakyat untuk tambah kerusi, apakah ia bermoral atau tidak kalau mereka nak tambah kerusi DUN di Selangor. Undang-undang tak boleh, moralnya tak boleh. Nak letak DUN ini di mana? Di bawah Parlimen mana? SPR hanya boleh buat tambah DUN baharu kalau ada parlimen baru.
Maka, sebelum menolak cadangan SPR, sepatutnya mereka kena fikir banyak kali bahawa jangan semata-mata nak tolak apa yang dibawa oleh SPR kerana ia mungkin menguntungkan kedua-dua pihak (parti pembangkang dan pemerintah).
Macam anak sebelum lahir, jangan buat sebarang kenyataan berdasarkan cakap-cakap atau hasil x-ray. Ini belum apa-apa lagi, kalau Abdul Aziz yang buat, tolak. Belum tengok macam mana cadangan di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang. Jangan gopoh tolak cadangan SPR, bertenang, ikut, patuh undang-undang.
Bila agaknya rancangan persempadanan semula ini mahu dibentangkan kepada Perdana Menteri sebelum boleh dilaksanakan dalam tempoh dua tahun?
Jangkaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, mungkin bukan Mac, mungkin April dan mungkin Mei. Kita tidak mahu lewat sangat, sebab melibatkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Insya-Allah, kita nak gunakan ini dalam pilihan raya DUN Sarawak pada Jun 2016.