Isnin, 5 Mei 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Cetek pengetahuan bantah GST

Posted: 04 May 2014 11:24 AM PDT

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 4 Mei - Sebahagian besar daripada mereka yang datang untuk menyertai demonstrasi menbantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di ibu negara baru-baru ini tidak faham kerangka GST yang kononnya mereka perjuangkan untuk dimansuh.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar) berkata, segelintir pihak yang menyertai demonstrasi itu jelas cetek pengetahuan terhadap dasar baik yang dilaksanakan kerajaan mahupun sebarang isu dan jelas apa yang mereka lakukan itu kerana terpengaruh hasutan golongan yang mahu mengkucar-kacirkan negara.

Macam mana mereka yang datang dengan jumlah yang beribu-ibu itu gagal menjawab dengan tepat apabila diajukan soalan berkaitan GST. Mereka tidak memberikan jawapan yang tepat.

Pelbagai jawapan keluar dari mulut mereka, malah ia langsung tidak membukti kefahaman mereka terhadap GST yang dilaksanakan ini. Sangat malu apabila mereka sendiri tidak mahu memahami keadaan sebenar berhubung pelaksanaan GST, sebaliknya terpengaruh dengan fahaman songsang yang dicetus pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Mohamad bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Menembak Pentadbiran Kerajaan negeri di Lapang Sasar Bukit Gala Mantin dekat sini hari ini yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Kata beliau, inilah bukti kerja pihak pembangkang yang cuba meracuni pemikiran rakyat tanpa menyatakan keadaan sebenar berkaitan GST ini.

Sama ada mereka tahu atau sengaja membesar-besarkan isu ini, saya tidak tahu tetapi inilah kerja pembangkang yang cuba meracuni dan mengapi-apikan pemikiran rakyat," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan negara di dunia ketika ini telah melaksanakan sistem berkenaan dan hasil daripada GST itu telah digunakan untuk membantu rakyat terutamanya melibatkan golongan berpendapatan rendah termasuk di Amerika Syarikat.

Malah katanya, sistem itu sebenarnya cukup baik kepada negara dalam membantu rakyat menerusi pendapatan yang diperoleh daripada GST.

Orang bercakap barang keperluan harian rakyat akan kena GST, itu tidak betul. Boleh dikatakan kalau mereka ke pasar hampir 90 peratus barangan keperluan rakyat tidak dikenakan selain pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam.

Kalau ada lagi barangan yang difikirkan perlu dikecualikan dari GST beritahulah kepada kerajaan menerusi cara yang betul dan kita akan perhalusinya. Jangan asyik buat perhimpunan bantah GST sedangkan apa itu GST pun tidak tahu apa maksudnya," kata beliau.

Untuk itu kata Mohamad, pihaknya akan melaksanakan program penerangan mengenai sistem percukaian baharu kepada segenap lapisan masyarakat bagi memberikan kefahaman yang lebih terperinci.

Jelas beliau, ini termasuk penerangan kepada kakitangan awam, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), nazir masjid dan orang ramai yang mana program ini akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar

Lebih 10,000 hadir program Jelebu Berselawat

Posted: 04 May 2014 11:24 AM PDT

Sebahagian daripada lebih 10,000 umat Islam yang hadir pada program Jelebu Berselawat, Malam Cinta Allah dan Rasul di Mini Stadium Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan, malam semalam. - UTUSAN/Nurul Husna Hamdan

JELEBU 4 Mei - Lebih 10,000 umat Islam hadir pada program Jelebu Berselawat, Malam Cinta Allah dan Rasul, yang julung kali diadakan di Mini Stadium Kuala Klawang di sini malam tadi.

Program anjuran pelbagai agensi kerajaan itu dipimpin ulama terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid serta dipenuhi dengan qasidah dan selawat pujian ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Pegawai Daerah Jelebu, Mohamed Roduan Ujang berkata, program peringkat daerah itu amat baik dan dilihat mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada semua pihak dan penduduk sekitar.

Ada juga yang datang dari sekitar negeri ini selain Selangor, Johor dan Pahang.

Nyata program berkaitan agama ini telah dapat menghimpun pelbagai gologan masyarakat, apatah lagi ia berkaitan dengan ilmu, di mana memang dituntut dalam agama Islam," katanya di sini malam tadi.

Beliau menambah, melihatkan kepada perkembangan baik itu, pihaknya bersama beberapa agensi kerajaan lain akan melaksanakan program sedemikian dengan skala yang lebih besar pada masa hadapan.

Kita akan hidupkan Jelebu ini dengan program keagamaan ini bagi penyatuan umat Islam serta memupuk budaya bersalawat khususnya dalam kalangan generasi mula untuk mencintai junjungan besar Nabi Muhammad SAW," katanya.

Pada masa yang sama katanya, umat Islam hendaklah berpegang kepada ajaran al-Quran dan sunnah, serta mempelajari ilmu.

Dua balai bomba bantuan dijangka siap tahun ini

Posted: 04 May 2014 11:24 AM PDT

SOHAIMI Mohamed (empat dari kanan) bersama ahli bomba dan penyelamat sukarela memotong kek sebagai gimik perasmian Sambutan Hari Bomba Sedunia di Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Melaka, semalam. - UTUSAN/Gaie Uchel

MELAKA 4 Mei - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka yakin dua balai bomba bantuan yang dicadangkan pembinaannya di negeri ini akan siap dan mula beroperasi menjelang hujung tahun ini.

Timbalan Pengarahnya, Sohaimi Mohamed berkata, dua balai bomba bantuan berkenaan iaitu di Jasin dan Padang Temu dijangka dapat digunakan secepat mungkin bagi membantu memberi perkhidmatan kebombaan terutamanya di kawasan pedalaman.

Menurutnya, balai bomba bantuan di Jasin dijangka akan dapat disiapkan dahulu memandangkan telah terdapat kemudahan bangunan sedia ada dan hanya memerlukan sedikit penambahbaikan terhadap balai berkenaan.

Bagi balai bomba bantuan di Padang Temu pula katanya, kawasan sedia ada akan dibangunkan dengan dilengkapi beberapa kemudahan diperlukan bagi sebuah balai bomba kecil termasuk sebuah bangunan dengan modal sebanyak RM500,000.

Sehingga kini, peruntukan pembinaan dan penambahbaikan kedua-dua balai bomba bantuan tersebut telah disediakan namun pelaksanaannya hanya akan diputuskan oleh pihak ibu pejabat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2014 peringkat negeri di Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Pengarah (Operasi), Ahmad Adli Abd. Rahman dan Penolong Pengarah (Keselamatan Kebakaran) JBPM negeri, Razali Mohd. Nasir.

Sohaimi berkata, dengan adanya dua balai bomba bantuan ini nanti, antara 25 hingga 30 anggota bomba bantuan turut diperlukan JBPM negeri sebagai tenaga kerja di balai-balai tersebut.

Katanya, kesemua anggota bomba bantuan ini mempunyai fungsi sama seperti anggota bomba biasa dan setiap balai akan turut diselia dan dibantu oleh tiga hingga lima anggota bomba biasa.

Diharapkan dengan adanya anggota bomba bantuan ini, ia dapat membantu kira-kira 500 anggota bomba di kesemua lapan balai bomba sedia ada di negeri ini terutamanya bagi kerja-kerja memadam kebakaran dan menyelamat.

Selain itu, dengan wujudnya anggota bomba bantuan juga dapat meningkatkan pencapaian masa bertindak sesebuah jentera untuk tiba ke tempat kejadian di bawah masa 10 minit," jelas beliau.

Sementara itu pada majlis yang sama, JBPM negeri turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Mohd. Azrul Mulup, 29, dari Kampung Padang, Pokok Mangga di sini kerana telah bergadai nyawa menyelamatkan seorang kanak-kanak berumur lima tahun daripada lemas pada 2 Januari lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved