Isnin, 5 Mei 2014

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Cara mudah hafal sifir

Posted: 04 May 2014 11:24 PM PDT

Oleh NOOR DIANA AZIS
Gambar SYEFRY MONIZ

Hardy Adrian A. Chin dan Nani Mansor menunjukkan set permainan SifirA ketika ditemui di Yayasan Inovasi Malaysia, Cyberjaya.

LAZIMNYA mata pelajaran Matematik di sekolah antara subjek yang kurang diminati pelajar kerana mereka perlu menghafal sifir serta bijak bermain dengan nombor.

Tidak dinafikan, sesetengah pelajar juga menghadapi kesukaran untuk memberi tumpuan terhadap mata pelajaran tersebut kerana cara penyampaian guru Matematik tidak memberi impak yang berkesan.

Penurunan minat pelajar kepada mata pelajaran tersebut yang semakin menurun dapat dilihat menerusi keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) tahun 2013 yang meletakkan Malaysia di kedudukan 52 dari 65 buah negara.

Menyedari kesulitan yang dihadapi pelajar khususnya mereka di sekolah rendah, sepasang suami isteri menghasilkan alat bantuan mengajar kepada guru khusus digunakan dalam mata pelajaran Matematik.

Bagi Hardy Andrian A. Chin dan Nani Mansor, melihat kesulitan yang dihadapi sendiri oleh anak mereka untuk menghafal sifir menjadi inspirasi untuk mencari alternatif dalam usaha memudahkan proses tersebut.

Justeru, kaedah seperti eksplorasi, rekreasi dan permainan dilihat mampu menjana minat dan kreativiti mereka untuk meminati subjek Matematik.

Setelah berbincang dan membuat sedikit penyelidikan, kami mendapat idea untuk menghasilkan alat bantuan mengajar (ABM) SifirA yang menerapkan sistem permainan untuk menghafal sifir atau bermain sambil belajar.

Menggunakan bebola berwarna ceria dan terang, penggunaan permaian ini amat versatil di samping memberikan implikasi yang sihat kepada minda, deria penglihatan, sentuhan serta pergerakan tangan pelajar," kata Nani ketika ditemui di Yayasan Inovasi Malaysia di Cyberjaya, baru-baru ini.

SifirA menerapkan sistem permainan yang mana pelajar perlu menyusun semula bebola warna bernombor mengikut jadual sifir pelbagai guna (JSPG) yang disediakan sambil menghafal setiap sifir yang disusun.

Menerusi kaedah yang digunakan dalam permainan ini secara tidak langsung pelajar dapat memperbaiki refleks fokus dan minda congakan.

Menurut Nani, SifirA mengandungi 100 bebola warna-warni yang diwarnakan mengikut gandaan sifir satu hingga 10. Bagi memulakan sesi pembelajaran, pelajar perlu mengalihkan sangkar bebola dan goncangkannya.

Setelah keadaan bebola berterabur, pelajar perlu menyusun semula bebola SifirA mengikut jadual sifir dan dalam masa yang sama, mereka perlu teliti dan hafal kira-kira gandaan tersebut.

Jika dilihat cara belajar menggunakan produk ini, kami yakin mereka mudah untuk menghafal kerana setiap gandaan nombor atau sifir diwarnakan mengikut warna pelangi sekaligus memudahkan mereka membezakan sifir yang ada.

Di samping itu, kaedah pembelajaran menggunakan SifirA juga menerapkan unsur main, ulang serta latih dan uji," katanya.

Pasangan yang tinggal di Seremban, Negeri Sembilan ini turut aktif memperkenalkan alat bantuan mengajar itu ke seluruh sekolah sekitar negeri tersebut dalam usaha memperkasakan penggunaannya.

Justeru, mereka turut bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengadakan bengkel latihan menggunakan SifirA sekali gus mendapat sokongan institusi tinggi awam tersebut.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan SifirA boleh menghubungi pasangan tersebut di talian 016-4909108 atau layari laman sosial Facebook www.facebook.com/SIFIRA.

Posted: 04 May 2014 06:31 AM PDT

Oleh RASDAN AHMAD
rasdan_utusan@yahoo.com

Ceramic animal 1.

PAMERAN berjudul Remark merupakan sebuah pameran kali pertama yang dianjurkan oleh Galeri Artcube untuk menonjolkan kehebatan pelukis-pelukis muda kontemporari Malaysia.

Menampilkan enam pelukis muda, Azad Daniel, Al-Khuzairie, Azrin Mohd, Daud Rahim, Dhavinder Singh dan Anniketyni Madian, pameran ini secara tidak langsung mempamerkan koleksi karya seni yang cukup menarik untuk diperkatakan.

Dengan perkembangan bidang seni yang cukup meriah ketika ini, pameran Remark ini juga memberikan peluang yang cukup besar terhadap bakat-bakat muda yang terpilih ini.

Kesemua enam orang artis ini memaparkan gaya seni kontemporari yang cukup memukau hadirin yang akan menghadiri pameran yang baru sahaja berlangsung ini dan dijangkakan tamat pada 30 Mei nanti.

Dalam pameran ini, artis Azad Daniel telah menggunakan teknik seni berunsurkan simen terhadap karya-karya seninya kali ini. Kaedah seperti ini merupakan kaedah yang masih lagi jarang dilakukan oleh mana-mana pengkarya seni tempatan.

Paling menarik ialah berkenaan pelukis muda yang dikenali, Al-Khuzairie. Dalam pameran kali ini, beliau telah mengetengahkan hasil karya seni berunsurkan kehidupan.

Pengkarya yang berasal dari Pahang ini telah menetap selama enam tahun Di Shah Alam, Selangor. Difahamkan di kawasan penempatannya merupakan kawasan kehidupan liar terutamanya tapir.

Kebetulan itulah yang menyebabkan Al-Khuzairie mendapat idea untuk menghasilkan karyanya berdasarkan tentang kehidupan semula jadi haiwan.

Baginya, haiwan dan manusia merupakan makhluk Tuhan yang sering bersangkut paut antara satu sama lain. Tanpa haiwan mungkin manusia juga tidak mampu untuk hidup di atas muka bumi ini, kerana ia petunjuk kuasa Tuhan yang amat besar.

Melalui karya seninya juga, Al-Khuzairie ingin menjelaskan sesuatu terhadap manusia yang terlalu rakus demi kepentingan diri semata-mata hinggakan menceroboh kawasan hutan yang menjadi habitat haiwan.

Memaparkan karya seni berbentuk seramik, bentuk tubuh haiwan serta rangka-rangka yang dicipta oleh pengkarya ini begitu menarik dan mempunyai pemahaman yang tersendiri.

Dalam pada itu, Azrin Mohd mempunyai kekuatannya tersendiri apabila menampilkan karya seni berunsur kraf dalam pameran kali ini.

Unsur seni yang cukup sukar untuk dihasilkan ini memberi kekuatan sebenar kepada Azrin untuk memenangi hati pengunjung dengan hasil kraf yang cukup menarik dalam pameran Remark ini.

Sementara itu, bagi Daud Rahim dalam memaparkan karyanya kali ini, beliau nampaknya dalam eksplorasi atau ujikaji melalui teknik yang dikenali sebagai teknik unduran (reverse technique).

Teknik ini juga merupakan salah satu teknik yang masih lagi jarang-jarang dilakukan oleh mana-mana pengkarya tempatan dan teknik ini juga merupakan teknik yang masih lagi baru.

Dhavinder Singh yang masih segar melalui pameran solonya baru-baru ini, masih mengekalkan konsep asli konfiguratif. Baginya ini merupakan usaha untuk membangunkan pergerakan seni tempatan.

Pameran Remark yang mula berlangsung pada Rabu lalu diadakan di Artcube Gallery, 3-10 & 3-13, Level 3, Intermark Mall, The Intermark, 348 Jalan Tun Razak,50400 Kuala Lumpur.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved