Isnin, 5 Mei 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Pengangkutan awam di Pahang Barat

Posted: 05 May 2014 12:19 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

Sebahagian daripada pemimpin setempat, ketua jabatan kerajaan dan penduduk menghadiri majlis pelancaran bas SWSJ dan Terminal Akasia di Benta, Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 5 Mei - Kerajaan negeri mengambil inisiatif memulakan perkhidmatan pengangkutan bas awam di laluan kawasan luar bandar di Pahang Barat menerusi perkhidmatan baharu iaitu bas Syarikat Warisan Seri Jengka (SWSJ) di kawasan Benta di sini baru-baru ini.

Komitmen kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk menjaga kebajikan rakyat merupakan tanggungjawab sosial selari dengan manifestasi transformasi pembangunan dalam bidang pengangkutan.

Satu majlis pelancaran perkhidmatan pengangkutan anak syarikat kerajaan negeri itu disempurnakan oleh Menteri Besar di pekan Benta di sini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Pada majlis itu, Adnan turut merasmikan terminal bas baharu yang dikenali sebagai Terminal Akasia bernilai RM500,000 yang akan beroperasi sebagai perhentian bas, teksi dan premis bagi penduduk Benta serta pengunjung di situ.

Adnan ketika berucap pada majlis pelancaran itu berkata, usaha tersebut bertujuan memberikan perkhidmatan pengangkutan awam yang komprehensif, pantas dan efisien kepada penduduk luar bandar termasuk Orang Asli untuk berulang-alik ke bandar Kuala Lipis, Raub dan Jerantut.

"Perkhidmatan bas ini penting khususnya bagi keselesaan penduduk Benta dan kawasan berdekatan untuk membuat urusan tertentu di bandar berkenaan kerana sebelum ini cuma menikmati pengangkutan bas swasta menerusi laluan terhad.

"Kerajaan negeri meminta pengurusan bas SWSJ untuk menggunakan laluan di Kampung Pagar Sasak, Dada Kering, Kuala Atok dan Tualang Padang daerah ini secara lebih kerap untuk kemudahan penduduk dan pelajar," katanya.

Adnan juga berkesempatan memandu sendiri bas SWSJ mengelilingi kawasan Benta sejauh 10 kilometer sebagai simbolik melancarkan perkhidmatan pengangkutan itu.

Beliau berkata, perkhidmatan bas itu merupakan tanggungjawab sosial kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk keselesaan penduduk luar bandar walaupun syarikat berkenaan menghadapi risiko tidak memperoleh sebarang keuntungan.

"Memanglah di mana-mana sekalipun, syarikat bas tidak memperoleh keuntungan malahan kerap rugi kerana menghadapi persaingan dengan perkhidmatan pengangkutan lain selain pengguna kurang berminat menaiki bas.

"Bagaimanapun kerajaan negeri tetap melaksanakan perkhidmatan ini untuk menjaga kebajikan penduduk walaupun SWSJ akan menghadapi risiko berkenaan," katanya.

Beliau berkata, SWSJ yang sinonim dengan penduduk kawasan Wilayah Jengka juga telah memulakan operasi yang sama di Bera, Temerloh, Bentong dan beberapa destinasi lain negeri ini.

Tambahnya, anak syarikat kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negei Pahang (PKNP) mempunyai pegangan saham dalam SWSJ akan membantu dari segi pengurusan untuk menyelenggarakan operasi pengangkutan di tempat berkenaan.

Sementara itu, Mohd. Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta berkata, usaha kerajaan negeri mengambil inisiatif mempertingkatkan tahap perkhidmatan pengangkutan bas awam menerusi perkhidmatan bas itu ke kawasan luar bandar.

"Pembukaan Terminal Akasia merupakan sebahagian projek kemudahan asas untuk memacu kawasan di sini dalam sektor perniagaan dan pelancongan khususnya keselesaan pengunjung yang transit di Benta.

"Selaku wakil rakyat kawasan ini, saya amat berterima kasih kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri meluluskan perkhidmatan bas berkenaan serta projek terminal baharu yang mula beroperasi untuk bas dan teksi memunggah penumpang," katanya.

Katanya, slogan Janji Ditepati diterjemahkan oleh kerajaan negeri dan pada masa sama mengutamakan keperluan kebajikan penduduk luar bandar menerusi kemudahan pengangkutan awam dan kemudahan tertentu.

Pemimpin, penduduk sambut baik perkhidmatan bas awam

Posted: 05 May 2014 12:19 PM PDT

KUALA LIPIS 5 Mei - Para pemimpin setempat dan penduduk di Benta di sini berterima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan dalam mewujudkan perkhidmatan bas awam yang mula beropeasi di Terminal Akasia di sini baru-baru ini.

Langkah itu sekali gus memberi kemudahan asas yang membawa keselesaan, pembangunan pengangkutan dan pelancongan di daerah ini.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, usaha itu menzahirkan kemajuan dalam sektor pengangkutan awam di luar bandar yang sinonim dengan penduduk berpendapatan rendah serta sering berulang-alik ke bandar.

"Perkhidmatan bas dan terminal baharu itu dapat membantu penduduk daerah ini dengan kadar tambangnya yang murah serta jaminan keselamatan semasa berada di jalan raya," katanya ketika ditemui di sini.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis berkata, sehingga kini perkhidmatan bas bekenaan telah melalui kawasan seperti Kampung Pagar Sasak, Kampung Relong dan Kampung Dada Kering untuk ke bandar ini yang mendapat sokongan penduduk khususnya warga emas, wanita dan orang kurang upaya (OKU).

Bagi Ketua Kampung mukim Benta, Zainal Abidin Sohor, pengangkutan bas itu bertujuan memberikan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih efisien dan inklusif kepada penduduk termasuk Orang Asli.

"Kemudahan ini antaranya untuk keselesaan warga emas dan OKU bandar dalam menjalani urusan tertentu," katanya.

Zainal Abidin berkata, orang muda dan belia juga digalakkan menggunakan pengangkutan bas awam kerana mampu mengurangkan risiko kemalangan khususnya dalam kalangan penunggang motosikal.

Dalam pada itu, seorang penduduk Kampung Budu, Samad Shem, 54, berkata, kemudahan bas berkenaan membuka lembaran baharu pembangunan kawasan luar bandar daerah ini khususnya di laluan antara Benta ke Kuala Lipis, Jerantut dan Raub.

"Pengunjung luar berpeluang menggunakan perkhidmatan itu dengan singgah ke tempat menarik untuk menyelami budaya masyarakat Melayu kampung tradisional di sini," katanya.

Indeks jenayah meningkat

Posted: 05 May 2014 12:19 PM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

SHARIFUDDIN Ab. Ghani (dua dari kanan) menyatakan sesuatu kepada Mohd. Jasmani Yusoff (kiri) sambil diperhatikan Anuar Othman (dua dari kiri) dan Abdul Aziz Salleh dalam Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Pengurusan, KPD Kuantan dan KPD Temerloh di Kuantan, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 5 Mei - Indeks jenayah di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 3.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, bagaimanapun, peningkatan kes-kes jenayah yang dilaporkan tidak membabitkan perkara yang serius.

"Saya yakin usaha pihak polis memperbanyakkan sekatan jalan raya, rondaan pencegahan jenayah dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) banyak membantu dalam usaha kita mengurangkan jenayah.

"Pihak polis sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai strategi dan program dalam usaha kegiatan jenayah atau yang mendorong ke arah perlakuan jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Pengurusan, Ketua Polis Daerah (KPD) Kuantan dan KPD Temerloh di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.

Dalam majlis tersebut, Ketua Bahagian Pengurusan IPK Pahang, Asisten Komisioner Anuar Othman ditukarkan ke jawatan KPD Temerloh manakala tempat beliau digantikan oleh KPD Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff.

KPD Temerloh, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh pula menggantikan tempat Mohd. Jasmani sebagai KPD Kuantan yang baharu.

Sementara itu, menurut Sharifuddin, penyerahan tugas ke atas ketiga-tiga pegawai kanan polis itu berkuat kuasa hari ini.

"Pertukaran jawatan merupakan perkara biasa dan lumrah di dalam penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantapkan lagi perkhidmatan berdasarkan kemahiran dan pengalaman masing-masing.

"Saya yakin mereka mampu menyesuaikan diri dengan suasana yang baharu untuk terus berbakti dengan lebih cemerlang kepada masyarakat secara amnya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved