Sabtu, 10 Mei 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Pembinaan jambatan disambung semula

Posted: 09 May 2014 12:00 PM PDT

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

Mohd. Yusof Mohamad (tiga dari kanan) bersama wakil Felda dan kontraktor melawat tapak projek pembinaan jambatan Felda Raja Alias Dua, Jempol, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/Sajida asarulah khan

JEMPOL 9 Mei - Kelewatan pembinaan jambatan dekat Felda Raja Alias Dua di sini yang tergendala lebih empat bulan lalu akan diselesaikan segera.

Pengurus Besar Felda Wilayah Raja Alias, Mohd. Yusof Mohamad berkata, punca kelewatan itu disebabkan kegagalan kontraktor dilantik menyiapkan kerja seperti dijadualkan dan hanya melaksanakannya pada tahap 38 peratus.

Apabila kontraktor ini bermasalah dan projek tertangguh sehingga empat bulan, pihak koperasi terpaksa mencari kontraktor lain untuk menyudahkannya," katanya selepas melawat tapak projek pembinaan jambatan dekat Felda Raja Alias Dua, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Peneroka negeri, Othman Parman, wakil-wakil Felda serta kontraktor.

Beliau berkata, projek tersebut dijalankan bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di kawasan sekitar.

Jika hujan lebat, kita akan melihat hampir 24 buah rumah berhadapan masalah banjir. Oleh itu kita naik taraf kawasan ini daripada pembentung kepada sebuah jambatan dengan harapan masalah banjir itu dapat diatasi.

Selepas mengadakan perbincangan, projek ini dimulakan semula dengan kontraktor yang baharu dan dijangka siap pada waktu yang ditetapkan," ujarnya.

Mohd. Yusof berkata, berikutan kelewatan tersebut pihak koperasi telah membuat permohonan maaf kepada penduduk.

Ini adalah projek yang dijalankan untuk keselesaan masyarakat Felda. Pihak pengurusan memandang serius mengenai masalah ini dan akan memastikan kerja-kerja pembinaan dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan," katanya.

Kerjasama strategik USIM, BMMB lahir juruaudit syariah

Posted: 09 May 2014 12:00 PM PDT

Asma Ismail (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tengku Hasmuddin Tengku Othman (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Mohd. Munir Abdul Majid (tengah) pada majlis Menandatangani MoA USIM-BMMB di USIM, Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 9 Mei - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) menjalin kerjasama strategik bagi merintis jalan melahirkan juruaudit syariah bertauliah yang sangat kritikal dalam perkembangan sistem kewangan Islam di negara ini.

Bagi mencapai matlamat itu, kedua-dua pihak telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) Latihan Audit Syariah pada majlis yang diadakan di USIM dekat Nilai di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, USIM diwakili oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dan Pendaftar USIM, Muhammad Haizuan Rozali manakala BMMB diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Seri Tengku Hasmuddin Tengku Othman dan Ketua Audit Dalaman, Jabatan Audit Dalaman bank itu, Hafni Mohd. Said.

Yang turut hadir, Pengerusi BMMB, Tan Sri Dr. Mohd. Munir Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif BMMB, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid.

Asma berkata, MoA itu melakar sejarah penting dalam sistem kewangan Islam di negara ini memandangkan sehingga kini tiada institusi sama di dalam mahu pun luar negara yang menawarkan latihan dalam bidang audit syariah.

Melalui usaha itu katanya, para pegawai dan kakitangan audit BMMB akan menjalani latihan selama dua tahun mulai tahun ini dalam bidang audit syariah yang dibiayai geran Kementerian Pendidikan dan sebahagiannya oleh BMMB.

Perjanjian ini menyaksikan kedua-dua pihak mendapat faedah yang mana USIM menawarkan kepakaran akademik dalam bidang kewangan Islam dan BMMB dapat memantapkan tadbir urus melalui pengalaman dalam perkongsian teori dan teknikal berkaitan audit syariah.

Saya difahamkan program seumpama ini adalah yang pertama di Malaysia dan serantau yang disokong oleh pihak industri bagi melengkapkan juruaudit dalaman dengan pengetahuan teori dan teknikal untuk menjadi juruaudit syariah atau perunding yang bertauliah.

Ia sejajar dengan keperluan badan-badan seperti Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam, Suruhanjaya Sekuriti, Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah Bank Negara Malaysia serta keperluan kawal selia Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 di samping permintaan global yang semakin meningkat bagi kelayakan sedemikian," katanya.

Bagi meneruskan kesinambungan program itu, Asma berkata, USIM melalui Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI) kini dalam proses memperoleh akreditasi separa daripada Agensi Akreditasi Kewangan (FAA) bagi merealisasikan aspirasi universiti itu untuk menawarkan Diploma Lepasan Ijazah Dalam Audit Syariah kepada industri di dalam dan luar negara pada masa akan datang.

Sementara itu, Mohd. Munir berkata, negara mengalami kekurangan juruaudit syariah bertauliah yang amat ketara dan tidak ada institusi pengajian yang menawarkan kursus dalam bidang tersebut.

Untuk itu, perjanjian yang ditandatangani ini bakal melakar sejarah baharu bukan sahaja kepada sistem kewangan Islam di negara ini malah di seluruh dunia.

Kami berharap ia mencetuskan minat kepada dunia kewangan Islam untuk berusaha melahirkan pakar audit syariah yang menjadi sokongan penting kepada perkembangan sistem kewangan Islam di dunia," katanya.

Padang bola sepak sintetik diiktiraf FIFA

Posted: 09 May 2014 12:00 PM PDT

ALOR GAJAH 9 Mei - Padang bola sepak sintetik kedua di negeri ini di Kompleks Rakan Muda, Lendu di sini diiktiraf oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana memenuhi ciri-ciri ditetapkan badan induk bola sepak dunia itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, padang bola sepak yang menelan belanja RM1.8 juta itu diyakini mampu memberikan impak positif terhadap pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.

Menurutnya, padang berkenaan akan digunakan sebaik mungkin oleh persatuan bola sepak negeri bagi membiasakan para pemain dengan padang jenis baharu itu.

Kerajaan negeri mengalu-alukan persatuan bola sepak negeri atau mana-mana persatuan untuk mengoptimumkan penggunaan padang bola ini untuk latihan atau perlawanan bagi membiasakan pemain dengan padang jenis sintetik.

Padang yang mendapat pengiktirafan FIFA ini adalah kebanggaan kepada negeri ini dan saya berharap ia dapat membawa impak positif terhadap pembangunan sukan bola sepak negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara penyerahan padang bola sepak itu daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Jabatan Belia dan Sukan negeri di Kompleks Rakan Muda, Lendu hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol dan Timbalan Pengarah Sukan Jabatan Belia dan Sukan negeri, Asmori Saahari.

Ab. Rahaman berkata, antara ciri istimewa, padang sintetik dilengkapi sistem pengaliran bagi mengelak air tidak bertakung di atas padang selepas hujan selain tidak perlu diselenggara dalam tempoh panjang.

Menurutnya, padang sintetik berkenaan juga dibuka kepada orang ramai dengan bayaran RM150 untuk setiap perlawanan.

Tambahnya, kerajaan negeri turut merancang melakukan beberapa penambahbaikan antaranya menyediakan ruang untuk penonton dan memasang lampu di keliling padang supaya dapat digunakan pada waktu malam.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved