Ahad, 6 April 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Raja Nazrin sampai anugerah kepada 153 pelajar cemerlang

Posted: 05 Apr 2014 11:53 AM PDT

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my

RAJA Dr. Nazrin Shah menyampaikan plak dan sijil kepada Muhd. Izzat Zakwan Mohd. Zahari dalam majlis Anugerah Kecemerlangan 2014 SMK Sultan Yussuf, Batu Gajah, Perak semalam. - MINGGUAN/HANAFI KHAMIS

BATU GAJAH 5 April - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan berangkat menyempurnakan majlis Anugerah Kecemerlangan 2014 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf di sini hari ini.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Yang turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan, Pemangku Pengarah Pendidikan Perak, Mohd. Idris Ramli dan Pengetua SMK Sultan Yussuf, Saidi Ngah Abd. Said.

Pada majlis tersebut, baginda menyampaikan anugerah kepada 153 pelajar cemerlang yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga enam.

Baginda turut berkenan menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi 2012 dan 2013.

Baginda kemudian menyampaikan anugerah kepada enam pelajar cemerlang iaitu bagi kategori Ikon Kokurikulum 2012 dan 2013 masing-masing kepada Mior Muhammad Amerul Mohd. Sahak dan Muhammad Izzuadin Salmi.

Turut menerima anugerah bagi Ikon Kurikulum 2012 dan 2013 ialah Chong How Jin dan R. K Dhev Kumar manakala Tokoh Kepimpinan 2013 dan 2014 pula diberikan kepada Muhammad Saiful Zakaria dan Mohamad Solehin Zulkarnain.

Selain itu, Muhd. Izzat Zakwan Mohd. Zahari, 21, menerima Anugerah Diraja 2014 iaitu Pingat Emas Sultan Azlan Shah.

Muhd. Izzat ketika ditemui berkata, dia tidak pernah menyangka terpilih menerima anugerah tertinggi itu dan gembira dengan pemilihan tersebut.

Anak keempat daripada tujuh beradik dan kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, anugerah itu akan dijadikan pendorong kepadanya untuk terus cemerlang dalam pelajaran.

Jenayah pelajar terkawal

Posted: 05 Apr 2014 11:53 AM PDT

PADANG BESAR 5 April - Tahap penglibatan pelajar sekolah menengah di Perlis dalam kegiatan jenayah masih terkawal serta tidak membimbangkan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron berkata, ini kerana sehingga kini pihaknya mendapati belum ada pelajar terlibat dalam kes jenayah serius.

Jika ada pun hanya melibatkan kes berkaitan curi termasuk curi motor di mana sehingga kini masih boleh ditangani," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-44 Pasukan Kor Kadet Polis di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN), Kem Tasoh dekat sini semalam.

Sebanyak 1,250 pelajar dari 22 sekolah menengah di Perlis menghadiri perkhemahan Kor Kadet Polis di kem berkenaan sehingga hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Perlis, Dun Kasa.

Zull Aznam berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan JPN menerusi majlis permuafakatan bagi menangani masalah disiplin di sekolah.

Beliau berkata, selain itu seorang pegawai polis diletakkan di 29 sekolah menengah di negeri ini.

Katanya, peranan pegawai ini bukan sahaja mengadakan lawatan ke sekolah, malah untuk berbincang dengan pengurusan sekolah bagi menangani masalah disiplin pelajar.

Sementara itu, beliau berharap penglibatan pelajar dalam Kor Kadet Polis akan berjaya memupuk semangat kerjasama dalam satu pasukan malah menanamkan semangat patriotik dan kecintaan terhadap negara.

Malah aktiviti ini diharap akan dapat membendung pelajar daripada terlibat dalam gejala sosial yang dilihat berleluasa sekarang," katanya.

Kuari: Tindakan tegas jika langgar syarat

Posted: 05 Apr 2014 11:53 AM PDT

KULIM 5 April - Kerajaan Kedah akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha kuari pasir yang didapati melanggar syarat ditetapkan termasuk beroperasi di luar kawasan ketika melakukan aktiviti tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrol Hisham Hashim berkata, berdasarkan laporan daripada pihak berkuasa, para pengusaha permit dikesan menyalahgunakan permit mereka mengorek pasir sungai di kawasan yang tidak diberikan kebenaran.

Kita mendapati sejak kebelakangan ini ada banyak aduan yang dibuat oleh penduduk berhubung kegiatan mengorek dan menyedut pasir sungai. Apabila siasatan dibuat, kita mengesan ada di antara pengusaha menyalahgunakan permit mereka dengan menjalankan aktiviti di luar kawasan asal.

Ini menimbulkan implikasi negatif terhadap alam sekitar, malah menjejaskan aktiviti harian penduduk," katanya ketika meninjau kegiatan mengorek pasir di sepanjang Sungai Muda dan Sungai Sedim di daerah Kuala Muda serta Kulim baru-baru ini.

Badrol Hisham berkata, kegiatan mengorek pasir secara berleluasa itu turut mengakibatkan berlakunya hakisan tebing teruk dan menjejaskan aktiviti pertanian penduduk.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved