Ahad, 6 April 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


RM12j majukan belia Jerantut

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

Ahmad Nazlan Idris (kiri) memberi penerangan kepada Khairy Jamaluddin ketika membuat tinjauan di Kompleks Pembangunan Belia dan Sukan di Jerantut, kelmarin.

JERANTUT 6 April - Peruntukan tambahan kira-kira RM12 juta diperlukan bagi melengkapkan pembinaan Kompleks Pembangunan Belia dan Sukan Daerah Jerantut (KPBSDJ) di sini.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, peruntukan tambahan itu bertujuan membina trek larian, lampu limpah dan kemudahan lain di kompleks berkenaan.

"Kompleks tersebut belum siap sepenuhnya kerana kerajaan sebelum ini hanya meluluskan RM5 juta untuk membina stadium mini di sini dan kita memerlukan peruntukan tambahan untuk menyediakan satu kemudahan lengkap kepada penduduk.

"Jerantut merupakan satu-satunya daerah yang belum mempunyai stadium mini yang dilengkapi dengan trek larian dan kami terpaksa menggunakan tempat lain di Maran untuk melangsungkan kejohanan olahraga terutama peringkat sekolah dan daerah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan di kompleks berkenaan bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, di sini semalam.

Menurutnya, kunjungan Khairy amat dinantikan supaya beliau melihat sendiri kemudahan yang belum lengkap di kompleks berkenaan.

"Saya sudah jelaskan kepada beliau tentang kemudahan diperlukan terutama trek larian serta lampu limpah dan beliau akan bekerjasama untuk membawa perkara ini ke peringkat atasan," katanya.

Ahmad Nazlan berkata, pembinaan kompleks tersebut membolehkan penduduk melakukan aktiviti riadah dan sukan dengan lebih selesa.

"Penduduk di sini sangat aktif bersukan dan banyak kejohanan terutama bola sepak diadakan setiap tahun menggunakan padang sekolah dan saya berharap pembinaan kompleks itu dapat menarik lebih ramai penduduk untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat," katanya.

Katanya, golongan belia harus menggunakan segala kemudahan disediakan oleh kerajaan sebaik mungkin untuk kebaikan bersama.

Lakukan transformasi dalam perniagaan

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

KUANTAN 6 April - Usahawan Melayu disaran melakukan transformasi terhadap corak perniagaan mereka dengan memberi fokus kepada inovasi serta kreativiti dalam setiap produk masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, dengan melakukan anjakan pada corak perniagaan mereka sudah pasti kedudukan ekonomi orang Melayu kembali pulih, sekali gus setanding dengan usahawan daripada kaum lain.

Menurut beliau, isu besar yang cuba ditangani kerajaan negeri adalah menyuburkan kembali semangat keusahawanan dalam kalangan usahawan terbabit yang dilihat bergerak begitu perlahan.

"Kita mengharapkan mereka memberi lebih fokus memajukan perniagaan dan tumpuan tentang hal pemilikan serta ekuiti dalam syarikat usahasama.

"Di peringkat kerajaan negeri, kita sentiasa menyokong apa jua berkaitan pembangunan usahawan Melayu kerana kekuatan ekonomi yang mampu mengukuhkan nama orang Melayu itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Anjakan Minda Usahawan Melayu 2014 anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) negeri dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang di Wisma Belia, di sini baru-baru ini.

Menurut Shahiruddin, usaha meningkatkan ekonomi perlu diambil berat terhadap generasi muda terutama lepasan universiti supaya mereka tidak hanya melihat dalam mencari kerja tetapi mencipta peluang pekerjaan dengan menceburkan diri dalam dunia keusahawanan.

Beliau turut mengingatkan usahawan terbabit yang ingin mengembangkan perniagaan supaya mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi kerajaan untuk meluaskan lagi pemasaran produk mereka.

"Mereka perlu menjadikan kerajaan negeri dan agensi sedia ada sebagai rakan karib sebagai langkah memperluas perniagaan sedia ada ke tahap yang lebih baik," katanya.

Realisasikan Temerloh Berprestasi Tinggi

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Mohd. Sharkar Shamsudin (depan, tiga dari kanan) dan Ab. Rahman Halib (depan, tiga dari kiri) bersama sebahagian pelajar cemerlang pada program Ramah Mesra Warga Pendidik Parlimen Temerloh di Temerloh, baru-baru ini.

TEMERLOH 6 April - Majlis Pengetua dan Majlis Guru Besar daerah ini diminta menggerakkan jentera kepakaran masing-masing dalam merancang pelan strategik tahun ini bagi memastikan Temerloh Berprestasi Tinggi menjadi kenyataan.

Pegawai Pendidikan Daerah Temerloh, Ab. Rahman Halib berkata, beberapa kelemahan telah dikenal pasti melalui post mortem di peringkat sekolah dan memastikan perkara tersebut dapat diatasi melalui kerangka pelan strategik tersebut.

Menurutnya, beliau percaya dengan sokongan dan komitmen pengetua dan guru besar terbabit segala usaha akan mencapai kejayaan dalam dunia pendidikan, khususnya di daerah ini.

"Bagi melahirkan pelajar cemerlang, banyak agenda telah direncanakan oleh pihak sekolah bagi mencapai hala tuju masing-masing.

"Amanah ini dipikul oleh semua warga pendidik dalam merealisasikan pembinaan negara bangsa yang memiliki modal insan cemerlang sebagai pewaris kepimpinan negara pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Ramah Mesra Warga Pendidik Parlimen Temerloh Bersama Pemimpin yang dihadiri Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin di Bangunan UMNO Bahagian, di sini kelmarin.

Ab. Rahman berkata, kecemerlangan itu tidak akan datang bergolek dengan begitu mudah kerana memerlukan usaha gigih untuk mencapainya.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada warga pendidik daerah ini yang menyumbang idea tanpa mengenal erti penat dan lelah demi kecemerlangan pelajar.

Katanya, ini bersandarkan kepada keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu yang menunjukkan peningkatan kualiti cemerlang iaitu murid yang memperoleh 5A adalah sebanyak 378 calon berbanding tahun sebelumnya 315 calon.

Beliau berharap warga pendidik meneruskan usaha masing-masing dalam melahirkan lebih ramai murid cemerlang dan berjaya dalam pelbagai bidang pada masa depan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved