Ahad, 6 April 2014

Utusan Online - Luar Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


Etnik Rohingya diserang lagi

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Penduduk memeriksa kawasan seitar kediaman mereka selepas pelampau Buddha menyerang kawasan dihuni etnik Rohingya di bandar Hlegu, pinggir Yangon pada 4 April lalu. - AGENSI

YANGON 6 April - Penduduk Islam Rohingya terus menjadi mangsa keganasan di Myanmar, selepas etnik minoriti itu dilaporkan diserang sekumpulan pelampau Buddha dalam satu keganasan agama terbaharu di bandar Hlegu, pinggir ibu negara ini, kelmarin.

Burma Times melaporkan, kira-kira 100 orang pelampau Buddha melontar batu dan kayu ke arah etnik Rohingya di bandar itu dan mereka turut cuba merosakkan sebuah bangunan serta memusnahkan rumah-rumah dan kedai-kedai milik penduduk Rohingya.

Ekoran serangan itu, tercetus pertempuran antara kedua-dua belah pihak mengakibatkan beberapa orang cedera termasuk anggota polis yang cuba meleraikan keganasan tersebut.

Keganasan yang dicetuskan penduduk Buddha itu merupakan insiden terbaharu selepas beratus-ratus penduduk Buddha menyerang pejabat kumpulan bantuan perubatan Malteser International dalam satu kejadian di negeri Rakhine, baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan di bandar Maungdaw di Rakhine, dua buah kapal sarat membawa tentera Myanmar dilaporkan tiba di Kampung Kyein Chaung dan Bolibazar melalui sungai Pyuma Chaung, lapor Burma Times.

Menurut penduduk, kehadiran tentera di kedua-dua kampung itu adalah di luar jangkaan penduduk dan mereka sama sekali tidak mengetahui tujuan kehadiran tentera di situ.

Penduduk Rohingya kini dalam keadaan dilema dengan kehadiran pasukan keselamatan dan pekerja banci secara serentak memaksa etnik itu mengenalkan diri mereka sebagai Benggali.

Pengerusi Bancian Myanmar, Dr. Kyaw Maung Maung Thein dan Dr. U Ko Ning dilaporkan telah pergi ke perkampungan-perkampungan Rohingya dan mengadakan rundingan dengan guru sekolah supaya menulis terma Benggali pada proses bancian yang akan dijalankan, namun diabaikan guru di situ,

Bukan sahaja guru, pemimpin etnik Rohingya serta doktor dan ahli Parlimen turut menolak proses rundingan yang mencadangkan penduduk menulis keturunan mereka sebagai Benggali, sekali gus memaksa pihak berkuasa memanggil pemimpin Rohingya supaya hadir ke Naypyidaw bagi membincangkan episod Rohingya seterusnya.

PBB hantar 12,000 tentera pengaman

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Presiden sementara Republik Afrika Tengah, Catherine Samba-Panza (kiri) berbincang dengan Ban Ki-moon ketika Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah-Afrika bagi membincangkan krisis di republik itu bermula di Brussels pada 2 April lalu. - REUTERS

BANGUI 6 April - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menghantar 12,000 orang tentera pengaman ke Republik Afrika Tengah, bagi mengambil alih tugas daripada tentera Kesatuan Afrika bagi memulihkan keamanan di negara ini.

Majlis tersebut dijangka meluluskan penghantaran tentera berkenaan pada minggu depan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata, pasukan pengaman tersebut hanya akan dihantar ke negara ini pada September ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan keadaan keselamatan di negara ini, selepas kerajaan sementara masih bergelut untuk menangani keganasan yang setakat ini sudah mengorbankan lebih 2,000 nyawa sejak Disember lalu.

Kata Ki-moon, beliau memerlukan lebih banyak pertolongan daripada pihak antarabangsa, selepas wujud kebimbangan bakal berulangnya kesilapan seperti di Rwanda pada 1994 apabila hampir 800,000 orang terbunuh dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai.

"Saya memuji tindakan tentera daripada Kesatuan Afrika dan Perancis yang berani bertindak bagi menangani masalah ini, tetapi mereka semakin kekurangan sumber dan memerlukan bantuan segera," jelas Ki-moon.

Tambahnya, sebelum tentera pengaman PBB dikerahkan ke negara ini, `beliau berharap lebih banyak tentera dan polis dihantar bagi membantu', bagaimanapun beliau tidak menyatakan nama negara-negara berkenaan secara spesifik.

Dalam perkembangan sama, seramai 800 orang tentera daripada Kesatuan Eropah (EU) akan dihantar ke negara ini pada penghujung bulan ini.

Ketika ini seramai 2,000 tentera pengaman dari Perancis dan 6,000 daripada Kesatuan Afrika sudah berada di Republik Afrika Tengah, tetapi masih gagal menangani konflik di negara ini, selepas berlakunya keganasan antara penganut Islam dan Kristian sejak pemberontak Muslim Seleka memegang tampuk pemerintahan negara ini pada tahun lalu. - REUTERS

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved