Selasa, 4 Mac 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Peserta Azam Tani dipantau

Posted: 03 Mar 2014 10:31 AM PST

Oleh NORLIA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

MOHD. Tajudin Abdullah (dua dari kanan) menyerahkan sijil kepada Che Hajar Ismail sempena Program Pemimpin Turun Padang Projek 1Azam Tani ADUN Belantik di Kampung Charuk Tenang, Sik, Kedah, semalam. - UTUSAN/Norlia Ramli.

SIK 3 Mac - Seramai 25 peserta Azam Tani di kawasan ini dipantau oleh agensi berkaitan demi memastikan projek yang mereka usahakan mampu menjana pendapatan yang lebih lumayan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, projek ini diselenggarakan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk membantu rakyat miskin yang mendaftar dalam e-Kasih.

"Kerajaan amat prihatin dengan masalah rakyat dan sentiasa membantu mereka yang miskin untuk menjana pendapatan agar mereka boleh keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Melalui projek Azam Tani ini, MARDI akan memberikan bantuan dan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan projek mereka yang terpilih ini berjalan sempurna seperti yang diharapkan," kata Mohd. Tajudin ketika Program Pemimpin Turun Padang Projek Azam Tani di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Jamaludin Salim dan Pengarah MARDI negeri, Rashidan Ariffin.

Menurut Mohd. Tajudin, program ini memberi peluang kepada peserta untuk berdikari bagi menambahkan pendapatan yang dahulunya hanya sekitar RM300 tetapi sekarang kini melebihi RM1,200 sebulan.

Sementara itu, peserta projek Perkhidmatan Pertanian, Abu Hassan Ngah, 52 dari Kampung Belantik, berkata, dia yang mengusahakan semaian benih pelbagai pokok telah meraih pendapatan yang lumayan.

"Jika dahulu pendapatan saya sekitar RM300 sahaja, tetapi kini saya memperolehi lebih RM1,300 sebulan hasil daripada projek yang saya usahakan dengan bimbingan MARDI," kata Abu Hasan.

Pengusaha kedai makanan dan minuman, Che Hajar Ismail, 41, dari Kampung Charuk Tenang memperoleh pendapatan sehingga RM2,000 sebulan hasil perniagaan yang dijalankan.

"Walaupun agak lama saya menunggu dan hampir kecewa, tetapi kini syukur alhamdulillah kerana dengan bantuan ini saya boleh membaiki kedai lama yang uzur serta dapat menambah peralatan yang baru," kata Che Hajar.

Melalui projek itu, setiap peserta memperoleh bantuan sehingga RM10,000 yang diberikan mengikut keperluan mereka dari masa ke semasa.

13 rumah rosak dipukul ribut

Posted: 03 Mar 2014 10:31 AM PST

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.cm.my

MANGSA ribut, Johari Saad menunjukkan bumbung rumahnya yang rosak akibat ribut di kawasan perumahan Taman Serindit, Alor Setar, Kedah, kelmarin.

ALOR SETAR 3 Mac. - Dalam keadaan cuaca panas dan kering, para penghuni rumah teres di Taman Serindit di sini mengalami keadaan mencemaskan apabila angin kencang tiba-tiba melanda kawasan itu semalam sehingga menyebabkan 13 rumah mengalami kerosakan terutamanya di bahagian bumbung.

Salah seorang pemilik rumah berkenaan, Salmah Mahamed, 54, berkata, ketika kejadian, beliau yang ketika itu berada di dapur terdengar deruan angin yang cukup kuat.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.15 petang ketika saya sedang membasuh tangan di sinki, angin bertiup kencang seolah-olah ribut melanda.

"Tiba-tiba, saya terdengar atap genting seperti ditimpa sesuatu sebelum siling rumah runtuh menyebabkan kami sekeluarga ketakutan dan segera ke anjung rumah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini semalam.

Setiausaha Kerja Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Ariffin Man turut meluangkan masa melawat mangsa kejadian, petang semalam.

Salmah menambah, kejadian itu pertama kali berlaku sejak 17 tahun beliau menetap di situ.

"Saya hairan juga dalam keadaan cuaca panas begini, tiba-tiba saja ada angin kencang. Memang kejadian itu agak menakutkan," katanya.

Menantunya, Mohd. Hafiz Mazlan, 32, memberitahu, sebaik terdengar deruan angin, beliau segera memanggil dua anaknya yang sedang bermain di anjung supaya masuk ke dalam rumah.

"Apabila saya keluar memanggil mereka, jelas dapat dilihat debu-debu berterbangan ditiup angin yang cukup kencang.

"Sebaik melangkah masuk ke rumah bersama anak-anak, tiba-tiba saja siling runtuh di ruang tamu. Kami tergamam kerana siling itu begitu hampir mengenai kami," ujarnya.

Dalam pada itu, jiran mereka, Zarir Abdul Rashid, 34, berkata, kejadian berlaku sewaktu beliau baru pulang dari tempat kerja dengan menaiki motosikal.

"Sebaik memasuki taman ini, angin bertiup cukup kencang sehingga motosikal yang saya tunggang bergoyang.

"Masuk saja ke rumah, deruan angin semakin kuat dan tidak lama selepas itu, terdengar bunyi atap seakan ditimpa sesuatu dan saya dapati, siling rumah yang saya sewa ini mula melendut dengan kipas siling juga seakan sedikit renggang dari kedudukan asal," katanya.

Kemarau: Mukhriz nasihat berhemah guna air

Posted: 03 Mar 2014 10:31 AM PST

MUKHRIZ Tun Dr. Mahathir (dua dari kanan) menggunakan telefon bimbit untuk merakam gambarnya dengan para pelajar selepas menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang PMR 2013 di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/Ismail Kamadin

ALOR SETAR 3 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir menasihatkan rakyat negeri ini supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang musim kemarau yang dijangka berlarutan sehingga hujung bulan ini.

Menurut beliau, walaupun negeri ini belum mengalami masalah bekalan air namun amalan menggunakan air dengan jimat termasuk mencatunya di rumah amat digalakkan.

"Dari segi bekalan air ia mencukupi. Walaupun Kedah satu-satunya negeri yang banyak bekalan air namun tidak salah kalau buat catuan jika tidak di peringkat negeri di peringkat pengguna.

"Dari segi kegunaan air eloklah berjimat jangan tunggu sehingga tidak ada air baru nak berjimat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut beliau menyampaikan anugerah sumbangan Lembaga Biasiswa Negeri Kedah (LBNK) kepada 149 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang PMR pada tahun lepas.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Mansor Lat.

Mukhriz menambah, bekalan air di negeri ini hanya mencukupi sehingga hujung bulan ini dan jika masih tiada hujan catuan bekalan air mungkin terpaksa dilakukan.

"Doakanlah hujan sebelum hujung bulan ini. Kita juga menggalakkan agar semua masjid serta surau di seluruh negeri ini mengadakan solat hajat memohon hujan," katanya.

Terdahulu berucap pada majlis tersebut, Mukhriz berkata, sejajar dengan moto 'Bersama Memacu Transformasi' LBNK merangka beberapa program serta kemudahan biasiswa dan pinjaman bagi membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan.

Katanya, LBNK ditubuhkan sejak 1958 dan memberi biasiswa kepada seramai 2,710 pelajar sekolah menengah, selain pinjaman pelajaran kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang terpilih.

"LBNK sangat mengambil berat tentang kebajikan dan pencapaian akademik pelajar yang menerima pinjaman tersebut.

"Pelajar yang menerima pinjaman dan mendapat keputusan yang cemerlang iaitu memperoleh purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 3.75 ke atas, layak dipertimbangkan untuk menukarkan pinjaman kepada biasiswa sepenuhnya.

"Pelajar yang mendapat keputusan 3.5 layak mendapat diskaun sebanyak 50 peratus. Oleh yang demikian, pelajar-pelajar ini mestilah berusaha agar mendapat keputusan yang cemerlang dan secara automatik pinjaman ini akan ditukarkan kepada biasiswa yang tidak perlu dibayar balik," katanya.

Katanya, kerajaan negeri akan menawarkan lebih biasiswa tersebut kepada pelajar cemerlang layak terutama mereka di kalangan berpendapatan rendah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved