Isnin, 3 Mac 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Projek PR1MA disambut baik

Posted: 02 Mar 2014 11:13 AM PST

Oleh ABD RAZAK OSMAN
utusankedah@utusan.com.my

SEORANG kakitangan PR1MA memberi penerangan kepada orang ramai yang berkunjung ke Majlis Pelancaran Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia di Bandar Utama Jalan Sidam, Sungai Petani, Kedah, kelmarin. - Utusan/ Abd. Razak Osman

SUNGAI PETANI 2 Mac - Penduduk di beberapa daerah kawasan ini menyambut baik langkah kerajaan melaksanakan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) pertama negeri ini dengan membina 2,700 unit rumah di Kuala Muda dekat sini tidak lama lagi.

Mereka menyifatkan ini tindakan wajar dan perlu diteruskan kerana dapat memberi peluang golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Seorang suri rumah, Nor Hafishah Md. Nor, 31, dari Kampung Setar, Yan berkata, dia mengambil keputusan untuk membeli rumah yang bakal dibina oleh pihak berkenaan kawasan tersebut.

"Saya berharap dapat membeli sebuah daripadanya, kalau tidak dapat beli terpaksalah menyewa rumah lagi," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melakukan upacara pecah tanah pembinaan projek perumahan itu di Bandar Utama Jalan Sidam Kiri di sini.

S. Thamothran, 40, dari Taman Keladi dekat sini pula berkata, sebagai seorang pekerja kilang dengan pendapatan RM1,400 di Bakar Arang di sini, dia perlu diberi peluang untuk mendapatkan sebuah rumah baharu di kawasan berkenaan.

"Saya juga perlu memiliki rumah sendiri, kerajaan perlu menolong orang susah terlebih dulu, bila dapat memiliki sebuah rumah tentulah seronok kerana tidak payah lagi tinggal di rumah sewa," katanya.

Teoh Chee Seng, 31, dari Taman Ria Jaya pula berkata, untuk membeli sebuah rumah yang mahal dia tidak mampu terutama dengan peningkatan harga rumah sekarang.

"Saya baru sahaja berkahwin, perancangan perlu dibuat dari sekarang iaitu untuk memiliki rumah sendiri, lagi pun projek ini dijangka siap pada September 2016 nanti," katanya.

Zamri Bahari, 37, dari Kampung Masjid Tikam Batu memberitahu, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk membeli sebuah rumah projek PR1MA di Jalan Sidam di sini.

"Saya membuat pendaftaran secara online untuk membeli rumah itu, bila ada rumah sendiri tidak payah sewa lagi rumah di Tikam Batu," katanya.

Pulau Pinang dilanda jerebu

Posted: 02 Mar 2014 11:13 AM PST

Pengguna Jambatan Pulau Pinang terpaksa mengharungi pemandangan yang kabur berikutan keadaan jerebu melanda Pulau Pinang, semalam. - Utusan/AZMAN ASMAYATIM

BUTTERWORTH 2 Mac - Tiga kawasan di negeri ini mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) sederhana setakat pukul 4 petang ini seperti direkodkan menerusi laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Kawasan tersebut adalah Perai (62), Seberang Jaya (63) dan Universiti Sains Malaysia (USM) di Gelugor yang mencatatkan bacaan IPU 61.

Berikutan itu, jarak penglihatan berkurangan sehingga dua kilometer di beberapa kawasan termasuk di Lebuh Raya Utara-Selatan melibatkan kawasan Juru hingga ke Nibong Tebal selain pemandangan serupa dapat dilihat di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang baru dirasmikan semalam.

Beberapa kebakaran yang berlaku termasuk di Bukit Bendera serta di Juru turut memburukkan lagi keadaan dan orang ramai dilihat mula menggunakan topeng muka selain mengurangkan aktiviti luar rumah.

Syor lumba kerbau besi identiti Perlis dianjurkan besar-besaran

Posted: 02 Mar 2014 11:13 AM PST

KANGAR 2 Mac - Kerajaan negeri berharap acara lumba kerbau besi atau bajak kubota yang pertama kali diperkenalkan dalam Pesta Angin Timur 2014 dijadikan sebagai identiti Perlis dengan penganjuran secara besar-besaran pada masa akan datang.

Menteri Besar, Azlan Man berkata, beliau berharap acara ini dijadikan sebagai program tahunan dengan melibatkan penyertaan yang lebih ramai sekali gus menghidupkan kembali warisan lama.

"Acara-acara sukan tradisional lain juga termasuk menggagau ikan, menangkap itik, Badang Bendang memainkan peranan yang amat penting dalam usaha mendidik dan menyedarkan rakyat supaya menghargai khazanah warisan bangsa," katanya.

Beliau berucap merasmikan Pesta Angin Timur 2014 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis dengan kerjasama Kerajaan Perlis dan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Perlis di Kampung Permatang Keriang di Sanglang dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Abdul Jamil Saad.

Pesta Angin Timur kali kedua ini berkonsepkan kehidupan petani di zaman dahulu selepas musim menuai seperti mengemping padi, menangkap ikan serta permainan tradisional seperti wau dan sukan seperti lumba kerbau besi yang menggunakan bajak kubota.

Azlan berkata, bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, Perlis juga berusaha untuk menarik pelancong mengunjungi, bermalam dan berbelanja di sini.

"Kita berusaha menyediakan pelbagai program dan aktiviti untuk TMM 2014 selain turut memberi tumpuan serius kepada pembangunan di sektor pelancongan bagi mencapai matlamat Perlis Maju 2015," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak yang terlibat dalam pelancongan seperti pengusaha penginapan supaya memberikan perkhidmatan sekurang-kurangnya bertaraf tiga bintang.

Azlan berkata, pengusaha kraf tangan, makanan tradisional, hasil makanan dan kesenian pula perlu menonjolkan identiti tempatan dalam menghasilkan produk masing-masing.

Selain itu katanya, negeri ini juga mempunyai bermacam-macam produk kesenian seperti hadrah, tarian canggung dan terinai yang boleh dikomersialkan daripada sudut persembahan, pembuatan peralatan muzik, gubahan lagu dan penulisan lirik.

Beliau berkata, segala persiapan produk ini penting kerana Perlis pada tahun ini juga akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) Ke-17 pada akhir Mei hingga awal Jun depan.

Katanya, mulai April hingga Jun depan pula akan diadakan sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan diikuti pula temasya Sukan Paralimpik.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved