Isnin, 17 Mac 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Surat terbuka kepada Khalid Ibrahim

Posted: 17 Mar 2014 11:21 AM PDT

YAB Tan Sri. Izinkan saya memulakan surat terbuka ini , yang juga saya anggap sebagai warkah silaturrahim kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, dengan mengulang kembali satu ayat atau ungkapan popular tentang politik dalam bahasa Inggeris: "In politics there is no permanent friend and there is no permanent enemy." Dalam politik tidak ada sahabat abadi dan tidak juga ada musuh abadi. Yang abadi ialah kepentingan diri.

Ungkapan `kepentingan diri' dapat ditafsirkan sebagai kepentingan diri peribadi atau kepentingan kelompok yang kita anggotai, boleh jadi kepentingan jangka pendek atau kepentingan jangka panjang.

Terlalu banyak contoh yang boleh dirujuk untuk membuktikan kesahihan ayat tersebut. Umpamanya, penasihat atau pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah menjadi sahabat akrab Senator S. Nallakurapan dan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terjalin oleh haluan dan wadah politik yang sama. Tetapi sekarang antara Anwar dengan kedua-dua tokoh yang berbeza status itu, yang wujud ialah perseteruan peribadi dan politik, tidak lagi persahabatan.

Selain itu, terdapat satu senarai panjang tokoh-tokoh terkenal yang pernah menjadi sahabat karib Anwar dalam politik, tetapi sekarang sudah berpatah arang. Antaranya cendekiawan terkenal Dr. Chandra Muzaffar yang pernah menjadi Timbalan Presiden PKR semasa Anwar menjadi presiden; tokoh akademik Profesor Dr. Sidek Baba, salah seorang pemimpin tertinggi ABIM bersama Anwar; dan tokoh politik lulusan Universiti Islam Antarabangsa, Senator Ezam Mohammed Nor yang pernah menjadi Ketua Sayap Pemuda PKR. Dan ramai lagi tokoh lain yang dapat dirujuk sebagai contoh.

Begitu pula sebaliknya, terdapat satu senarai panjang nama rakan politik Anwar sekarang yang pada suatu masa dahulu musuh-musuh ketatnya dalam politik. Antaranya pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Karpal Singh serta pemimpin Pas, Mat Sabu. Karpal Singh, seperti dilaporkan beberapa kali dalam akhbar, pernah secara terbuka menyatakan keyakinannya bahawa Anwar memang pernah terlibat dalam kes liwat di penghujung 1990-an. Tetapi dalam kes liwat Anwar yang kedua melibatkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Karpal berperanan sebagai peguam bela Anwar yang utama.

Begitu juga Mat Sabu pada suatu masa dahulu melakukan cercaan yang berlebih-lebihan terhadap Anwar. Bukan sahaja Anwar yang menjadi sasaran kutukan Mat Sabu, malah turut diheret adik beradik dan anggota keluarga terdekat Anwar. Saya sendiri hingga saat ini masih menyimpan dan sekali-sekali mendengar kembali kaset rakaman pidato Mat Sabu yang mengutuk Anwar itu.

Semua itu adalah contoh konkrit bahawa sahabat dan musuh dalam politik tidak pernah abadi, sebaliknya bila-bila bisa bertukar ganti. Saya percaya Tan Sri lebih faham serta menyedari dan mengalami sendiri hakikat ini.

Tentu sekarang Tan Sri akan bertanya, apakah yang mendorong saya untuk menulis surat terbuka ini kepada Tan Sri dengan merujuk kembali hakikat sahabat dan musuh yang tidak pernah abadi serta `kepentingan diri' yang senantiasa abadi dalam politik?

Jawapan saya: Walaupun sekarang kita berbeza parti politik (saya penyokong UMNO manakala YAB pemimpin PKR) namun saya tetap mengakui dan menghargai kepakaran dan prestasi YAB sebagai seorang tokoh korporat, sama ada semasa menjadi Pengurus Besar PNB dahulu, begitu juga semasa menjadi Menteri Besar (MB) Selangor. Prestasi Tan Sri sebagai MB terutama dari segi penjanaan dan penghematan kewangan negeri, diakui oleh kawan dan lawan.

Tetapi dari segi politik, Anwar sudah tidak dapat menerima kepimpinan YAB sebagai MB. Kata Anwar, Selangor memerlukan kepimpinan politik yang lebih kuat. Ini menyebabkan dilancarkannya `Manipulasi Kajang' untuk membuka ruang dan peluang kepada Anwar bertanding menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan seterusnya menjadi MB menggantikan Tan Sri sendiri.

Selain untuk memberi `kepimpinan politik' yang lebih kuat, keinginan Anwar untuk menjadi MB Selangor itu dikaitkan juga dengan rayuan kes liwatnya. Apa pun, untuk memenuhi keinginan Anwar menjadi MB, jawatan tersebut mestilah dikosongkan terlebih dahulu. Mungkin Tan Sri secara halus diminta mengundur diri atau, jika enggan, akan disingkirkan dengan cara manipulasi yang mengaibkan. Sekali lagi ini akan mengingatkan kita tentang `kesahihan' ayat yang kita ulas di atas: "Dalam politik tidak ada sahabat abadi dan tidak ada musuh abadi. Yang abadi hanyalah kepentingan sendiri."

Pesan utama yang hendak saya sampaikan melalui surat terbuka ini ialah supaya Tan Sri jangan sampai melepaskan atau menyerahkan jawatan MB yang sedang Tan Sri pegang sekarang, walau apa pun keputusan pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang itu. Walaupun sekarang Anwar gagal menjadi calon dalam pilihan raya kecil DUN Kajang itu dan kerana itu adalah mustahil untuk dia menjadi MB, namun Tan Sri mestilah tetap waspada agar jangan sampai tersingkir.

Saya berpendapat, jika jawatan MB itu terlepas daripada tangan Tan Sri, implikasinya sangatlah buruk kepada diri Tan Sri dan begitu juga kepada kestabilan politik dan pentadbiran negeri Selangor serta kemurnian sistem demokrasi di negara ini.

Dari segi peribadi, sejarah kecemerlangan kerjaya Tan Sri sudah tentu akan terjejas dan tercalar. Sejarah akan mencatat Tan Sri sebagai seorang MB yang mudah mengalah kepada tekanan-tekanan politik oleh sahabat separti yang lebih mengutamakan `kepentingan peribadi'. Dan sekali gus ini juga akan membenarkan dakwaan atau tuduhan bahawa Tan Sri gagal memberi kepimpinan politik yang berkesan terhadap negeri Selangor.

Dilihat dari segi hubungan Persekutuan-kerajaan negeri secara beransur-ansur Tan Sri telah berjaya membina hubungan yang sihat dan produktif yang masing-masing diperintah oleh dua parti berlainan.

Begitu pula, pada pandangan mata umum, antara Tan Sri dan sultan sudah wujud persefahaman dan hubungan kerja yang produktif. Semua itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai petanda-petanda positif kualiti kepimpinan yang lebih mengutamakan pembangunan dan kebajikan rakyat serta negeri daripada kuasa politik untuk kemegahan diri sendiri.

Lebih daripada itu, ramai pula pihak yang mengharapkan agar Tan Sri memainkan peranan sebagai seorang tokoh utama menyahut seruan Perdana Menteri ke arah perpaduan kebangsaan atau rekonsiliasi nasional.

Saya akhiri warkah terbuka ini dengan mengulang kembali ayat keramat di atas tadi: Dalam politik tidak ada sahabat abadi dan juga tidak ada musuh abadi.

Kalau pada suatu masa dahulu YAB mempunyai sahabat dan musuh dalam UMNO, dalam PKR sekarang pun YAB mempunyai musuh yang tidak kurang ramainya. YAB mempunyai kelayakan dan potensi untuk menyatukan kembali semua sahabat di kedua-dua parti dan sama-sama kembali ke pangkal jalan, mengambil yang jernih dan membuang yang keruh serta meneruskan amanat perjuangan yang diwariskan oleh generasi terdahulu. Wassalam.

SENATOR Datuk Dr. Firdaus Abdullah

Pakar rujuk Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan Profesor Tamu di Universitas Andalas, Padang, Indonesia.

Anwar gadai politik integriti

Posted: 17 Mar 2014 11:21 AM PDT

AHAD ini, pemilih berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang terpaksa keluar mengundi dalam satu pilihan raya kecil (PRK) yang dicipta oleh pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mereka sepatutnya tidak perlu pun berbuat demikian kerana baru sahaja melakukannya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lalu. Hanya kerana PKR hendak menyelesaikan masalah dalaman parti itu dan memberi ruang kepada ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan merintis jalan sebagai Menteri Besar Selangor, kebajikan pengundi ditolak ke tepi.

Namun manusia hanya boleh merancang sedangkan ketentuan tuhan mengatasi segala-galanya. Keputusan Mahkamah Rayuan mensabitkan Anwar bersalah dan dia tidak layak bertanding PRK Kajang, yang diciptanya.

Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia, pengasas ABIM United Kingdom, DATUK AIDIT GHAZALI, berkongsi pandangan tentang Anwar dan mengupas isu politik integriti yang semakin menjauh daripada bekas idolanya itu.

Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di PRK DUN Kajang mengkritik hukuman yang dijatuhkan ke atasnya sebagai konspirasi. Apa pandangan Datuk bila isu ini dihubungkan dengan politik integriti?

AIDIT: Terus terang saya ingin nyatakan bahawa hormat saya kepada Anwar sudah langsung tidak ada, walaupun seberat zarah. Satu ketika dahulu, saya pandang tinggi beliau sebagai seorang yang tinggi ilmunya, murni perjuangannya dan besar sumbangannya pada perjuangan Islam.

Tetapi apabila ideologi yang dia bawa tidak menepati kehendak Islam, dia pula menonjolkan diri sebagai manusia yang rakus kuasa dan paling jelik sanggup menggadaikan apa saja demi matlamat peribadinya, maka hilang segala ruang untuk saya menanam apa jua sangka baik terhadapnya.

Kesnya di Mahkamah Rayuan telah menghadapi penangguhan tidak lebih daripada 70 kali semenjak Notis Rayuan difailkan oleh pihak Peguam Negara. Ternyata bahawa kesalahan yang pihaknya cuba letak pada pihak pendakwaraya tidak berasas.

Proses pendakwaan telah berlaku sejak 2011 lagi dan bukannya dibuat atas sebab PRK Kajang. Anwar sendiri yang cuba mewujudkan keadaan-keadaan yang membolehkan rayuan pendakwaraya ditangguhkan.

Jika beliau yakin berada di pihak yang benar, mengapa perlu memberi seribu alasan dan buat penangguhan kes di Mahkamah Rayuan? Mengapa ketika menang kes di Mahkamah Tinggi tidak pula kedengaran berlaku konspirasi politik ke atasnya? Mengapa apabila keadaan tidak menyebelahinya, maka pihak lain yang salah? Apa hebatnya orang yang bernama Anwar Ibrahim sehingga seolah-olah tidak ada silap dan pihak yang menentangnya sahaja yang salah?

Dalam menyelami sifat-sifat seorang konspirator, ada empat yang utama: pertama, mempunyai niat peribadi yang kuat sehingga sanggup menggunakan apa jua cara demi mencapai impian; kedua, sanggup bertalam bermuka-muka dengan bertutur mengikut selera siapa pendengar di hadapan; ketiga, bijak berpura-pura dengan bertopeng sifat baik dan bermain atas belas-kasihan orang lain; dan keempat, bersekongkol dengan tangan-tangan ghaib supaya memperolehi bantuan atau sokongan yang luar dari biasa.

Tidakkah kita terfikir kini siapa sebenarnya konspirator?

Semasa hukuman dijatuhkan di Mahkamah Rayuan baru-baru ini tidak ramai yang datang mengiringi Anwar. Apakah ini gambaran sokongan terhadap beliau semakin merosot?

Soal sama ada sokongan terhadap Anwar sudah merosot atau tidak adalah subjektif. Pada hemat dan pengamatan saya sebagai pakar pemprofilan karakter, saya dapati selagi wujud ruang untuk mana-mana pihak meletakkan sifat belas-kasihan yang tidak kena pada tempatnya, selagi wujud ruang untuk terus dibuai dengan alunan cerita sensasi tanpa dimurnikan dengan fakta dan nasihat daripada insan-insan soleh lagi bijaksana, selagi terpasak sifat taksub pada manusia atau wadah dan selagi jiwa itu penuh dengan sifat-sifat keji seperti dendam-kesumat, hasad-dengki dan cetek pemikiran, maka selagi itulah sokongan terhadap yang batil itu tetap akan membara.

Apatah lagi Anwar telah berjaya melahirkan ramai yang beracuan minda, jiwa dan pegangan nilai sepertinya, sama ada di dalam PKR, parti kawan lain seperti Pas, kalangan anak muda yang termakan dengan hujah-hujah berapi serta pesona ikoniknya.

Di pihak lawannya pula, khususnya UMNO, lambat menangkis fenomena ini secara serius dan pintar. Justeru, ketidakhadiran ramai penyokong di mahkamah ketika kes rayuan Anwar bukan ukuran tepat. Namun, saya yakin ramai yang sudah bermufarakah dengan Anwar walaupun ada juga yang cetek fikiran dan dilenakan dengan cerita sensasi masih termakan dengan lakonannya.

Hukuman penjara lima tahun kerana liwat, kalimah Allah, fahaman liberalisme dan pluralisme yang dianuti oleh Anwar adalah isu-isu yang menyentuh integriti. Apakah dengan isu ini Anwar menerusi proksi iaitu isterinya di PRK Kajang layak dikatakan pemimpin berintegriti?

Seperti yang saya nyatakan, Anwar ialah manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri. Memang bijak percaturannya untuk memajukan nama Wan Azizah sebagai calon PKR di PRK Kajang. Sebabnya mudah.

Wan Azizah atas kapasiti seorang isteri akan sanggup melakukan, melafazkan dan mencerminkan apa sahaja yang suaminya arah. Wan Azizah akan meraih simpati daripada para pengundi Kajang untuk mendapat majoriti undi yang lebih besar berbanding PRU-13. Tambahan pula DAP mengerahkan jentera parti pada tahap yang sangat serius kerana mereka tahu kemenangan Wan Azizah adalah pengukuhan kapasiti Anwar untuk terus diperalatkan demi mencapai cita-cita cauvinis mereka pula.

Pada saya, Wan Azizah wajar kita beri simpati, tetapi atas sebab dia diguna sehabis-habisnya oleh Anwar demi cita-cita politik songsang suaminya.

Persoalannya, apakah para pengundi Kajang sanggup menggadai undi mereka yang sangat bernilai itu untuk terus memberi ruang kepada kerakusan agenda peribadi Anwar, boneka Wan Azizah, kapasiti DAP memperalatkan Anwar dan akhirnya masa depan negara, agama dan kedaulatan digadai?

Bersediakah kita ditakluki dan dijajah secara halus dan terjerat semula dalam kitaran ganas penjajahan minda dan jiwa? Pengundi Kajang akan memegang kunci masa depan negara. Jangan jadi Si Kitul yang menyalahguna kunci dengan mengizinkan penjajah Portugis masuk ke dalam kota Melaka.

Anwar cuba menyambung talian hayat politiknya dengan menjadikan Wan Azizah sebagai proksi bagi memohon belas ihsan dan simpati pengundi. Apakah ini gambaran yang diperlukan sebagai sebuah politik integriti?

Malang sekali politik negara kita sudah dicemari dengan gelagat dan budaya yang amat memalukan, khususnya peranan pihak pembangkang di Parlimen. Sepatutnya, peranan pembangkang adalah yang membina, menjadi mekanisme semak dan imbang, memperhalusi dasar dan instrumen pengurusan negara supaya menjadi lebih cekap dan berkesan serta menyumbang kaedah-kaedah yang lebih baik demi kemaslahatan umum.

Namun, ini semua semakin tergadai apabila Anwar meletakkan agenda peribadinya mengatasi segala-galanya, hatta menarik balik hasrat rekonsiliasi nasional ketika Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Cuba imbas semula sejak pihak pembangkang menang besar PRU-12. Kita lihat mereka menjadi besar kepala, Dewan Rakyat menjadi seperti pasar, etika golongan negarawan tercemar dan setiap hari kita disajikan dengan polemik serta retorik politik yang tidak ada kesudahan.

Ini semua adalah isu-isu politik berintegriti yang kini hanya menjadi lafaz akademik yang semakin jauh dari jangkauan kita jika PKR menang PRK Kajang.

Saya menyeru dari lubuk hati yang inginkan yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara supaya para pengundi di PRK Kajang menolak PKR atas pertimbangan yang jauh ke depan serta menghalang kemudaratan lebih besar daripada berlaku, insya-Allah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved