Isnin, 17 Mac 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Jalan baharu Pontian-JB dibina tahun depan

Posted: 16 Mar 2014 11:20 AM PDT

Ir.Hasni Mohammad ( dua dari kiri ) menunjukkan anugerah yang diterima oleh SMK Dato Penggawa Barat Pontian dalam majlis Mesyuarat Agung PIBG di Pontian, Johor, kelmarin. -utusan/MUHD ZIKRI

PONTIAN 16 Mac - Kerja pembinaan jalan baharu dari Pontian ke Johor Bahru sejauh 18 kilometer hanya akan dimulakan pada tahun depan berikutan peruntukan projek tersebut belum diterima daripada Kerajaan Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kos pembinaanya menelan belanja sebanyak RM500 juta termasuk bayaran bagi pengambilan balik tanah.

Beliau berkata, pembinaan jalan baharu tersebut bertujuan mengatasi masalah kesesakan di bandar Pekan Nanas yang mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika melawat Pontian pada tahun lalu dan pembinaannya akan melibatkan tiga fasa itu menghubungkan terus ke Lebuhraya Utara-Selatan serta Gelang Patah, sekali gus dapat memendekkan perjalanan dari kedua-dua hala.

Projek ini telah diberikan keutamaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri memandangkan bertambahnya pengguna setiap hari dari Pontian untuk bekerja di Johor Bahru, Nusajaya dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan di bandar Pekan Nanas terutama pada awal pagi dan petang selain hujung minggu yang menimbulkan rungutan orang ramai," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Barat, di sini semalam.

Yang turut hadir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pontian, Mohammad Hood Md. Noh; Yang Dipertua PIBG SMK Dato Penggawa Barat, Datuk Nasir Safar dan Pengetuanya, Hashim Md. Dom.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, pembinaan jalan baharu itu juga diyakini mampu menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi di Pontian memandangkan daerah itu termasuk dalam koridor pembangunan Iskandar Malaysia terutama di bahagian Selatan.

Kerajaan negeri prihatin terhadap isu yang dibangkitkan oleh pengguna yang inginkan keselesaan untuk mereka berulang-alik ke tempat kerja tanpa berdepan dengan masalah kesesakan pada setiap hari," katanya.

Menurutnya, projek seperti ini turut dilaksanakan di beberapa tempat lain seperti projek menaik taraf jalan Segamat-Tangkak kepada empat lorong dengan kos keseluruhan sebanyak RM750 juta bertujuan memberikan kemudahan pada masa depan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembinaan jambatan yang menyeberangi Sungai Pulai dari Pontian akan dilaksanakan pada tahun ini sebaik sahaja proses pengambilan tanah selesai dilakukan.

Kedua-dua projek ini akan memberikan banyak pilihan kepada penduduk Pontian untuk ke Johor Bahru sama ada menggunakan laluan baharu kelak mahupun menyeberangi Sungai Pulai di bahagian selatannya," katanya.

Ceburi bidang peruncitan

Posted: 16 Mar 2014 11:20 AM PDT

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 16 Mac - Sebanyak 1,039 buah koperasi dengan 450,000 ahli di negeri ini yang memiliki aset berjumlah RM706.7 juta disaran bergiat lebih aktif menjalankan pelbagai perniagaan yang berdaya saing termasuk bidang peruncitan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday berkata, perkembangan positif itu seiring dengan pembangunan negeri ini termasuk menjalankan perniagaan peruncitan berkonsepkan kedai harga patut seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Beliau berkata, perkara itu boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan sekiranya koperasi di negeri ini bermuafakat untuk melaksanakan perniagaan berlandaskan rantaian nilai.

Empat tumpuan perniagaan rantaian nilai yang digalakkan kepada koperasi untuk diceburi iaitu pembekalan, gudang, pengangkutan dan peruncitan.

Pendekatan ini melibatkan pengumpulan pelbagai hasil keluaran koperasi menerusi pusat pengumpulan atau gudang yang menggerakkan koperasi dalam semua rantaian nilai ekonomi. Langkah ini sekiranya berjaya dilaksanakan mampu mengatasi kos sara hidup dengan menjual barangan dengan harga patut," katanya semasa merasmikan Bengkel Transformasi Perniagaan Koperasi di Hotel New York, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia negeri, Murriddan Elias; Naib Presiden Kanan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Nor Hisham Hussein dan Pengerusi Perhubungan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) negeri, Sazali Abd. Hamid.

Program tersebut dihadiri kira-kira 200 ahli daripada 33 koperasi yang bergiat aktif di negeri ini untuk memberi gambaran tentang peluang perniagaan yang boleh direbut oleh koperasi sejajar dengan pembangunan di Iskandar Malaysia dan Pengerang.

Selain itu, program berkenaan juga merupakan galakan kepada koperasi untuk menjalankan perniagaan peruncitan dan pemborongan berlandaskan rantaian nilai yang lebih lestari serta mengenal pasti koperasi yang berpotensi dan berminat menggerakkan KR1M.

Md. Jais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota berkata, koperasi sebenarnya mempunyai pasaran yang tersendiri.

Strategi peruncitan masa kini mampu menjadi pencetus kepada koperasi untuk berjaya dalam bidang peruncitan seperti dilaksanakan oleh peruncit ternama iaitu Tesco, Mydin dan sebagainya bagi menarik pengguna untuk membeli barangan di pasar raya mereka," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved