Isnin, 17 Mac 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Jahara fail saman terhadap Guan Eng

Posted: 17 Mar 2014 11:21 AM PDT

JAHARA Hamid bersama barisan peguamnya menunjukkan writ saman terhadap Lim Guan Eng yang difailkan di Mahkamah Tinggi Georgetown, Butterworth, semalam.

BUTTERWORTH 17 Mac - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Jahara Hamid hari ini memfailkan saman terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang membuat tuduhan melulu dan palsu terhadap beliau.

Jahara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar memfailkan writ saman berkenaan melalui Tetuan Jahaberdeen & Co di Mahkamah Tinggi Georgetown pagi ini.

Jahara berkata, tuduhan yang dilemparkan Guan Eng kepadanya iaitu 'nenek rasis' dan 'jahat' dalam sidang akhbar pada 10 Disember tahun lalu merupakan serangan peribadi.

"Selepas itu, saya dengan jelas telah menafikan tuduhan-tuduhan berkenaan dan meminta beliau membuat permohonan maaf terbuka kepada saya dan menarik balik tuduhan berkenaan.

"Beliau menarik balik perkataan nenek tetapi bertegas mengatakan saya seorang pemimpin rasis dan memutar belit ucapan saya dengan fitnah tidak benar dan merendahkan imej saya sebagai Ketua Pembangkang DUN dan sebagai seorang wanita," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, peguamnya, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos, ADUN Bertam, Shariful Azhar Othman dan ADUN Sungai Dua, Muhamad Yusoff Mohd. Noor.

Jahara berkata, pada 27 Februari lalu, melalui peguamnya, beliau telah menghantar surat tuntutan kepada Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan berkenaan supaya memohon maaf namun beliau tidak berbuat demikian.

"Oleh itu, saya terpaksa membawa perkara ini melalui tindakan undang-undang supaya kebenaran dapat dilihat dan reputasi saya dipulihkan," katanya.

Sementara itu, Jahaberdeen berkata, pihaknya akan turut memohon perintah mahkamah supaya tuduhan berkenaan tidak diulangi Guan Eng atau pihak-pihak lain.

"Anak guam saya mahu membersihkan politik berbaur perkauman yang dimainkan pihak tertentu di samping mahu membersihkan reputasinya sebagai Ketua Pembangkang dan ADUN Teluk Air Tawar yang terjejas," katanya.

Mekanik bakar dua anak teman wanita dipenjara 12 tahun

Posted: 17 Mar 2014 11:21 AM PDT

KUALA LUMPUR 17 Mac — Seorang mekanik yang bertindak kejam dengan membakar dua orang anak teman wanitanya hidup-hidup sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan, Januari lalu, dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Ahmad Bache menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd. Afizi Abdul Rahman, 27, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan cubaan membunuh Nur Iris Qalisya Mohd. Shahril, satu tahun tiga bulan, serta adiknya, Nur Fazana, dua bulan.

Ahmad berkata, hukuman itu dijatuhkan selepas mahkamah meneliti gambar-gambar tempat kejadian dan keupayaan fizikal seorang bayi yang tidak dapat menyelamatkan diri ketika kejadian ekoran tindakan tertuduh itu.

"Pun begitu, mahkamah tetap mengambil kira faktor pengakuan tertuduh yang telah menjimatkan masa dan kos mahkamah selain rayuan pihak pembelaan," katanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun bagi setiap pertuduhan cubaan membunuh dan diperintahkan berjalan serentak berkuat kuasa mulai dari tarikh tertuduh ditangkap pada 22 Januari lalu.

Mohd. Afizi yang bekerja di kedai basikal mengaku membakar Nur Iris Qalisya serta Nur Fazana di sebuah rumah di Blok H-08-07, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak Jaya, di sini kira-kira pukul 1.30 pagi, 21 Januari lalu.

Mohd. Afizi sebelum ini turut didakwa atas satu lagi pertuduhan cuba membunuh bekas teman wanitanya, Saliza Saidin, 29, dengan melakukan perbuatan yang sama pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagaimanapun berikutan kematian Saliza, tertuduh kini berdepan hukuman mati di tali gantung setelah didakwa membunuh wanita itu mengikut Seksyen 302 akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Mangsa yang hampir 85 peratus melecur dalam kejadian itu, meninggal dunia di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 1 Februari lalu, selepas 12 hari bertarung nyawa.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohamad Yusoff memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana perbuatan tertuduh adalah sesuatu yang serius.

"Dia membakar bilik teman wanitanya dengan mengetahui dua anak kecil wanita itu berada di dalam bilik tersebut dan tertuduh bertindak melarikan diri tanpa mempedulikan kedua-dua bayi itu," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved