Ahad, 16 Mac 2014

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Menjenguk warisan istana Melayu lama

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

Terrapuri Heritage Village masih mengekalkan ciri asal rumah Melayu asli Terengganu.

Dalam percutian kali ini, saya ingin membawa anda ke suatu tempat yang akan membuka minda dan berbangga dengan warisan Melayu lama. Dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT), perjalanan mengambil masa lebih kurang enam jam. Sebaik sahaja membelok dan memasuki jalan-jalan kampung, ia sememangnya menggamit kenangan dengan keindahan pemandangan rumah tepi laut, pohon hijau dan udara yang nyaman.

Terengganu sememangnya destinasi yang sesuai untuk pencinta alam semuala jadi seperti saya. Daripada makanan sehinggalah ke lokasi pelancongan, terlalu banyak untuk dicuba sehinggakan saya berasa tidak puas untuk meneroka negeri yang terkenal dengan penyu ini.

Terpegun dengan keindahan lokasi filem Hikayat Merong Mahawangsa, ia membawa saya untuk mengetahui tentang Terrapuri yang terletak di Kampung Mangkuk, Setiu, Terengganu.

Pemilik Terrapuri Heritage Village, Alex Lee Yun Ping sememangnya lebih mengenali budaya dan sejarah Melayu berbanding dengan penulis. Saya terpegun mendengar cerita permulaan beliau membina semula rumah Melayu lama iaitu Rumah Terengganu Klasik itu. Tambah menarik apabila beliau bercerita tentang kerajaan Langkasuka.

Terrapuri bermaksud The Land of Palace. Ia merupakan projek pemeliharaan dan pemuliharaan rumah Terengganu Melayu Klasik. Terdapat 29 ciri-ciri rumah antik klasik berusia ratusan tahun dipelihara semula. Susun atur Terrapuri dan kawasan persekitarannya diilhamkan daripada Istana Terengganu pada abad ke-17. Terrapuri terdiri daripada 20 vila eksklusif yang dipulih yang dijadikan spa, restoran mewah berkonsepkan tradisional Melayu, vila istirehat, galeri dan rumah pantai.

Lokasi Terrapuri amat unik kerana ia diapit oleh Laut China Selatan dan sungai berpaya bakau, Setiu Wetland. Oleh kerana lokasi yang cantik dan mendamaikan, anda boleh duduk bersantai sambil melihat pemandangan indah Pulau Perhentian, Lang Tengah, Pulau Bonjol, Redang dan Pulau Bidong.

Pada waktu malam, anda dapat melihat kelip-kelip. Jika anda datang ke Terrapuri pada musim penyu bertelur, pasti anda dapat melihat penyu hijau bertelur di pasir pantai dan biasanya akan pulang ke pantai yang sama sekitar bulan Mei hingga September.

Rumah Terengganu Klasik adalah penempatan orang Melayu yang datang dari tamadun purba Champa di Indochina dan Kemboja. Mereka menetap di sepanjang pantai timur Semenanjung Malaysia dari abad kedua hingga ke-16. Terengganu adalah sebahagian daripada kerajaan Melayu Langkasuka. Justeru, banyak bentuk seni tradisional Melayu hari ini berasal dari sana termasuk Wayang Kulit, Mak Yong, Menora, Sobek dan Kerawang.

Uniknya Rumah Terengganu Klasik mempunyai serambi iaitu ciri-ciri sama dengan rumah-rumah tradisional di Kemboja dan Thailand. Setiap rumah ada keunikan tersendiri. Orang zaman dahulu lebih cenderung menjaga susur galur kekeluargaan seperti mana mereka menjaga rumah. Kita boleh tahu dengan melihat tiang utama rumah yang didirikan di atas tiang lain yang digelar tiang seri, bentuk segi tiga di tepi bumbung, bumbung gable curam, hujung gable lembut melengkung, jajaran liat jubin bumbung dan dinding yang diperbuat daripada panel kayu yang berlubang ke alur bingkai. Kebanyakan ahli keluarga yang berasal daripada keluarga ini adalah berjaya kerana ikatan kekeluargaan sangat utuh.

Kesemua 29 rumah di Terrapuri sudah dibaik pulih dan dipelihara. Pengusaha masih mengekalkan ciri asalnya dengan menggunakan sepenuhnya kayu cengal. Bagi bahagian dinding, pintu, tingkap dan gables pula terdiri daripada panel kayu yang berasingan dan dipasang bersama-sama menggunakan sendi kayu yang dipasak daripada kayu penaga.

Paku memang tidak digunakan, maka keseluruhan struktur boleh diambil berasingan dan dipasang semula. Rumah ini dengan mudah boleh dipasang atau dibuka semula, di samping mudah untuk memudahkan penghuni berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain.

Jika anda ingin melihat Rumah Terengganu Klasik dan mendalami kisahnya, anda boleh ke Terrapuri Heritage Village kerana ia adalah satu-satunya projek pemulihan dan pemuliharaan rumah Terengganu Klasik yang masih mengekalkan budaya, simbol dan nilai-nilai sejarahnya. Di Terrapuri Heritage Village, mereka menyediakan pelbagai pakej untuk keselesaan anda mengikut tradisi Melayu lama. Jangan terkejut apabila anda mengetahui di sana tiada televisyen, telefon dan radio.

- Rabiatul Adawiyah zakaria (www.ruby.my)

'Terbang' ke udara dengan skyrunner

Posted: 15 Mar 2014 06:26 AM PDT

Penggunaan skyrunner membolehkan si pemakai melakukan pelbagai aksi menarik ketika melompat ke udara.

JIKA kamu terasa nak bergerak bebas atas udara sambil melompat keriangan, apa kata kamu cuba permainan Kangaroo Shoes, Jumping Stilts, Powerisers dan Fly Jumpers atau lebih dikenali sebagai skyrunner yang diikat pada kedua-dua belah pergelangan kaki.

Bagi yang tidak pernah mencuba permainan ini, skyrunner merupakan salah satu peralatan sukan terkini yang berfungsi sebagai alatan senaman yang membolehkan kamu berjoging 'sehingga' ke udara atau berlari sepantas 30 kilometer sejam.

Istimewanya peralatan skyrunner yang berat satu set mencecah tujuh kilogram juga berfungsi sebagai spring bergerak yang membolehkan kamu 'berlari' di udara tanpa sebarang halangan dan hanya memerlukan si pemakai mengawalnya dengan baik.

Untuk mereka yang baru mencuba, kamu perlu mengambil masa lima hingga 15 minit untuk menyeimbangkan badan dan untuk membolehkan kamu berlari bebas, kamu hanya mengambil masa sehari atau dua hari untuk berlatih, manakala untuk melompat pula, kamu memerlukan latihan selama sebulan bagi memahirkan diri mengawal setiap pergerakan.

Permainan ini sangat mudah kerana dalam masa enam bulan sahaja si pemain sudahpun boleh berlari di samping mampu memaparkan skil asas seperti shining star, rising eagle, giant leap dan juga touch feat.

Setiap lompatan yang dilakukan menggunakan skyrunner mampu menjulang si pemain setinggi dua meter dari tanah.

Jika sebelum ini, permainan aktiviti luar itu digunakan oleh atlet kelainan upaya yang menyertai acara lumba lari, namun kini ia telahpun mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada kalangan belia yang menggunakannya sebagai peralatan sukan lasak.

Alat ini bukan sahaja digunakan untuk tujuan riadah, tetapi juga memberikan cabaran baru dalam membina kecergasan diri selain membentuk badan yang cantik dan sihat.

Biarpun peminat skyrunner kebanyakannya terdiri daripada kalangan remaja tetapi ada juga golongan dewasa menjadikan permainan ini sebagai sukan untuk membina kecergasan otot.

Salah seorang pemain skyrunner tempatan, Ahmad Alhafiz Najmi, 23, dari Malaysia Skyrunner Group (MSG) berkata, semua jenis sukan lebih seronok jika ia dimainkan secara beramai-ramai.

Begitu juga dengan permainan skyrunner, jika ia dimainkan secara berkumpulan, sudah tentu ia lebih menyeronokkan kerana pemain berpeluang berkongsi skil yang ada pada setiap individu.

"Sehingga kini, MSG merupakan komuniti terbesar bagi peminat sukan skyrunner. Di Selangor, ada kumpulan menggelarkan diri mereka KL Adrenalin Skyjumper, di Negeri Sembilan ada N9 Crazy Jumpers, di Pahang ada Jump X Army, di Pulau Pinang ada Penang Skyrunner Madness, di Kelantan ada Fox Cave Jumperz dan di Johor pula ada Johor Skyrunner Jumperz.

"Di Borneo (Sabah dan Sarawak) ada juga yang main permainan ini, namun di sana masih tidak ada komuniti yang ditubuhkan dan diharapkan pada masa akan datang, ada komuniti tertentu ditubuhkan di sana," katanya.

Selain digunakan untuk melompat dan berlari, alatan ini juga boleh digunakan untuk bersenam secara aerobik dan mereka dari kumpulan MSG memanggilnya sebagai sykrobik.

"Dengan hanya melakukan sykrobik selama 15 minit sehari, ia sudah memadai bagi menggantikan senaman biasa. Ini kerana selepas melakukan senaman tersebut, badan akan berpeluh lebih banyak daripada senaman biasa.

"Permainan skyrunner juga membantu membakar kalori dengan lebih cepat. Dinyatakan bermain selama 15 minit setiap hari selama sebulan mampu menurunkan berat badan. Namun, kawalan pemakanan yang teratur mesti dipatuhi. Sambil berseronok, pemain boleh menjaga kesihatan badan," ujarnya,

Untuk keselamatan, pemain perlu memakai pad pelindung siku, lutut dan tapak tangan manakala pemakaian kasut sukan yang sesuai diwajibkan bagi mengelakkan kaki melecet.

Tambahnya, pihak MSG kini dalam perancangan untuk mengadakan kursus bersama Pengakap Malaysia. Mereka yang ingin mendapatkan skyrunner, bolehlah menghubungi talian 017-3055436 (Ahmad Alhafiz). Harga promosi adalah RM750 termasuk pad pelindung berbanding dengan harga asal RM899. - SYAHRIL/FAUZI BAHARUDIN

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved