Rabu, 5 Februari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Hari Bertemu Pelanggan diteruskan

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

Azhar Ahmad (kanan) mendengar masalah yang dikemukakan oleh seorang pelanggan Hari Bertemu Pelanggan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Ipoh, semalam.

IPOH 4 Feb. - Program Hari Bertemu Pelanggan yang dicetuskan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sejak lebih empat tahun lalu akan tetap diteruskan walaupun bilangan kehadiran rakyat berkurangan pada sesetengah sesi.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Datuk Azhar Ahmad berkata, kekurangan kehadiran rakyat pada sesi hari ini sebagai contohnya mungkin disebabkan oleh sesetengah mereka masih merayakan sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau memberitahu, akibatnya kehadiran minggu ini hanya sekitar 30 dan 35 orang berbanding minggu-minggu biasa seramai 100 hingga 150 orang.

"Sama ada ramai atau tidak, kita sebagai orang yang diberi amanah untuk menjaga hal-hal rakyat akan terus membuka kaunter setiap hari Selasa untuk bertemu rakyat di sini.

"Bagaimanapun, saya jangkakan keadaan ini hanya sementara, kehadiran rakyat minggu hadapan dan seterusnya akan kembali seperti biasa," katanya selepas sesi Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Serbaguna SUK di sini hari ini.

Azhar memberitahu, antara masalah rakyat yang diajukan hari ini adalah hal-hal berkaitan tanah dan bantuan-bantuan seperti persekolahan, Majlis Agama Islam Perak dan Jabatan Kemajuan Masyarakat, di samping permohonan mendapatkan kemudahan dialisis dan taraf penduduk tetap (PR).

"Inilah antara masalah rakyat yang sentiasa kita hadapi setiap minggu. Kita selesaikan masalah ini secara bersemuka, yang mana boleh kita selesaikan segera, kita selesaikan. Bagaimanapun yang melibatkan hal-hal tanah, ada proses-proses tertentu yang perlu diikuti," katanya.

Tegas beliau, program berkenaan akan diteruskan sampai bila-bila, selagi kerajaan Barisan Nasional terus diberi mandat oleh rakyat.

Kesedaran orang ramai mengenai bahaya denggi masih rendah

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

PULAU PINANG 4 Feb. - Kesedaran orang ramai untuk turut serta dalam operasi mencegah wabak denggi dan membanteras nyamuk aedes di negeri ini masih rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin berkata, penglibatan masyarakat dalam aktiviti gotong-royong yang dianjurkan bagi mencegah wabak berbahaya itu tidak memberansangkan.

Beliau berkata, biar pun beberapa siri gotong-royong diadakan namun hanya disertai kakitangan Jabatan Kesihatan negeri serta petugas pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Untuk itu saya menggesa orang ramai lebih banyak melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong yang diadakan selain mengambil masa sendiri kira-kira 10 minit seminggu untuk membersihkan kawasan persekitaran rumah masing-masing.

"Perlu diketahui nyamuk aedes mampu bergerak sehingga 200 meter jadi tiada makna jika rumah kita bersih tetapi rumah jiran masih kotor kerana denggi masih boleh merebak," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Tambah Afif, kadar kematian akibat denggi di negeri ini sepanjang Januari lalu meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu apabila dua kematian dicatatkan berbanding tiada kematian tahun lalu.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan negeri dan PBT sentiasa proaktif menjalankan pelbagai operasi termasuk penyemburan asap setiap minggu serta mengadakan gotong-royong di kawasan terpilih.

"Bagi menangani masalah ini beberapa poster serta iklan juga disebarkan melalui media, malah kita turut menggerakkan kempen melalui media sosial bagi memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya.

20 lokasi di Kuala Kangsar dipasang CCTV

Posted: 04 Feb 2014 11:29 AM PST

KUALA KANGSAR 4 Feb. - Sebanyak 20 lokasi dikenalpasti untuk dipasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi membanteras kegiatan jenayah di sekitar bandar diraja ini.

Ketua Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Muhamad berkata, peruntukan memasang CCTV tersebut adalah dari kerajaan dan kerja pemasangan akan dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

Menurut beliau, antara kawasan yang akan dipasang dengan kemudahan itu termasuklah pusat beli-belah, bank dan tempat meletak motosikal kerana berpotensi berlaku kegiatan jenayah ragut atau kecurian motosikal.

"Kawasan dipilih merupakan kawasan tumpuan dan berpotensi untuk jenayah berlaku.

"Pemasangan CCTV ini merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk mencegah jenayah di daerah ini," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar di sini hari ini.

Majlis turut disaksikan Ketua Jabatan Pengurusan Polis Perak, Datuk Zulkifli Mohamad.

Abdul Ghafar yang akan bersara menyerahkan tugas berkenaan kepada Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Guan Beng Kang sebagai Pemangku Ketua Polis Daerah yang baharu.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, statistik jenayah di daerah ini tahun lalu meningkat dua kes iaitu 298 kes berbanding 296 kes pada tahun sebelumnya manakala jenayah jalanan, menurun kepada 26 kes daripada 37 kes pada 2012.

"Walaupun terdapat penurunan indeks jenayah jalanan, tetapi kita perlu teruskan usaha-usaha membanteras jenayah lebih-lebih lagi dengan pindaan Undang-undang Pencegahan Jenayah yang baharu iaitu Akta Pencegahan Jenayah 1958 dan Akta Pertubuhan 1960 yang akan memberi impak aktiviti membanteras jenayah.

"Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh warga daerah ini supaya terus mempertingkatkan lagi usaha-usaha pencegahan terutama ke arah mengurangkan jenayah jalanan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved