Rabu, 5 Februari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Alasan 'malas, hendak cepat'

Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusangroup.com.my

Beberapa aksi pejalan kaki yang sanggup menempuh bahaya semasa melintas jalan sempat dirakamkan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, berhampiran Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Pembinaan jejantas baharu dan laluan berbumbung yang menghubungkan beberapa bangunan di ibu kota membuktikan usaha kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah terhenti bagi keselamatan warga kota.

Kemudahan itu membolehkan orang ramai terutama pejalan kaki bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain tanpa terdedah risiko bahaya kemalangan.

Pembinaan jejantas di Jalan Raja Laut yang menghubungkan bangunan di ibu kota dari stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Jalan Sultan Ismail ke stesen Monorel Medan Tuanku, misalnya dilihat benar-benar memudahkan orang ramai berurusan di bangunan berhampiran.

Pembinaan jejantas sepanjang 680 meter itu dilaksanakan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) dengan peruntukan sebanyak 14.2 juta.

Selain itu cadangan pembinaan jejantas antara pusat beli-belah Sogo dan Kompleks Pertama, Maju Junction, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kompleks Pertama, bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan menara DBKL sendiri secara berperingkat tidak lain bertujuan memudahkan pergerakan orang ramai.

Tetapi adakah usaha itu memadai sekiranya sikap warga kota sendiri masih enggan memanfaatkan kemudahan itu.

Tindakan mereka bukan sahaja sahaja mengundang bahaya bahkan gambaran kepada sikap degil terhadap undang-undang serta tidak menghargai kemudahan disediakan.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa laluan tumpuan sekitar ibu negara terutama di Jalan Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Pudu dan Jalan Tun Razak mendapati masih ramai yang tidak menggunakan jejantas disediakan.

Jejantas di persimpangan Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur yang menghubungkan pusat membeli-belah Ampang Park dan bangunan berhampiran dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk tangga bergerak bagi kemudahan orang ramai. - UTUSAN/AZLIZA HAILANI

Lebih mengecewakan ada antaranya dilihat membimbing dan mendukung anak kecil untuk melintas jalan.

Rata-rata pejalan kaki yang ditemui berkata 'malas' dan 'hendak cepat' sebagai alasan mereka tidak menggunakan jejantas disediakan.

Selain itukeadaan jejantas yang kotor, tidak selamat dan dicemari pengemis turut dijadikan alasan.

Berdasarkan pemerhatian, kemudahan jejantas di sekitar ibu kota berada pada tahap memuaskan.

Misalnya, jejantas berbumbung yang menghubungkan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Hotel Impiana, dilengkapi kemudahan mesra pengguna.

Selain sebuah jejantas pejalan kaki tertutup, ia dilengkapi penyaman udara, kamera litar tertutup (CCTV), tangga bergerak dan lif di hujung kedua-dua bangunan.

Namun ada beberapa perkara yang perlu beri perhatian, antaranya mempertingkatkan rondaan oleh pihak berkuasa bagi membendung masalah kerosakan dan aktiviti vandalisme, jenayah ragut dan sebagainya.

Selain itu usaha memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menggunakan jejantas juga perlu diteruskan.

Tahap kesedaran masih kurang - DBKL

Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST

Warga kota harus memanfaatkan kemudahan jejantas disediakan untuk keselamatan mereka.

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menasihatkan orang ramai memanfaatkan jejantas disediakan bagi tujuan keselamatan dan kemudahan mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata, kurang kesedaran sivik merupakan faktor keengganan mereka menggunakan kemudahan itu.

Menurutnya, sebahagian pejalan kaki gemar membiarkan diri mereka terdedah kepada risiko berbahaya kerana tidak menggunakan jejantas untuk melintas biarpun kemudahan itu disediakan.

"Tidak rugi memanfaatkan kemudahan ini kerana ia untuk keselamatan dan memudahkan pergerakan ke satu tempat ke tempat lain,"katanya.

Beliau berkata, sikap segelintir warga ibu kota memang sukar diubah walaupun beberapa operasi dijalankan.

"Operasi bagi tujuan menyedarkan orang ramai mengenai penggunaan jejantas dan lintas pejalan kaki inidijalankan DBKL dengan kerjasama pihak polis dan Jabatan Keselamatan Jalan raya (JKJR) .

"Bagaimanapun operasi ini tidak dijalankan setiap hari memandangkan tenaga anggota penguat kuasa digunakan untuk menjaga persimpangan bagi mengurangkan kesesakan di ibu kota pada waktu puncak.

"Antaranya, persimpangan Jalan Raja Laut dan Jalan Sultan Ismail,"katanya.

Warga kota serbu kaunter saman

Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST

Warga kota tidak melepaskan peluang memanfaatkan tawaran pembayaran diskaun trafik sebanyak RM30 di kaunter DBKL, semalam.. - utusan/Wahidin Salim

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Warga kota yang mempunyai saman trafik tertunggak mula membanjiri kaunter Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini sempena tawaran kompaun trafik pada kadar rata sebanyak RM30.

Pemberian 'goodies' yang ditawarkan oleh DBKL kepada orang ramai itu sempena Hari Wilayah Persekutuan 2014 dan tawaran tersebut hanya sah bermula pada bulan ini hingga 8 Mac.

Sebelum ini, semua pesalah trafik yang dikenakan saman oleh DBKL perlu membayar kompaun antara RM50 hingga RM300 bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan dan pembayaran boleh dibuat di semua kaunter DBKL dengan membawa bersama-sama notis kompaun.

Tinjauan Utusan Malaysia di Menara DBKL, Jalan Raja Laut dekat sini hari ini mendapati, kaunter pembayaran kompaun trafik mula sesak dikunjungi orang ramai yang beratur menunggu nombor giliran masing-masing untuk membayar saman trafik selain pembayaran cukai pintu dan sebagainya.

Selain itu, DBKL juga turut menyediakan perkhidmatan kaunter pandu lalu bayaran pelbagai bagi memudahkan orang ramai dan mengelakkan kesesakan di kaunter.

Seorang pelajar, Ras Azeila Rezduan, 22, berkata, tawaran itu membuktikan keprihatinan DBKL kepada warga kota.

"Hari ini saya datang sebagai wakil kepada ayah dan ibu saya yang mempunyai kompaun trafik DBKL pada April dan November lalu. Saya pun baru mengetahui tawaran diskaun ini hari ini dan saya tidak melepaskan peluang terbaik sebegini," katanya.

Pemandu teksi, Mohd. Ridzuan Sumiri, 60, pula berkata, dia terkejut kerana mempunyai sejumlah 15 kompaun selepas menyemak semula rekod lampau samannya sebelum ini.

Menurutnya, ia merupakan kompaun motosikal dan kereta sejak 10 tahun lalu.

"Saya tidak mahu melepaskan peluang ini, walaupun menghadapi masalah mencari tempat letak kereta ketika ke sini,"katanya.

Pekerja swasta, Kamaruzaman Ashrof Hafiz, 27, pula menyifatkan perkhidmatan kaunter pandu lalu yang disediakan oleh DBKL untuk pelbagai pembayaran amat dialu-alukan.

Menurutnya, ia memberi kemudahan kepada warga kota sibuk.

"Kita tak perlu bersesak untuk membayar saman di kaunter dalam pejabat.

"Hari ini saya baru sahaja dikenakan kompaun bagi kesalahan tempat letak kereta.

"Tanpa berfikir panjang, saya terus datang ke sini untuk membayar saman itu selepas mendapat tahu daripada rakan berhubung diskaun tersebut," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved