Rabu, 5 Februari 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Rodriguez tak cedera - Irfan

Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
sukan@utusan.com.my

Irfan Abd. Ghani, mengadakan sidang media selepas memberi kenyataan kepada pihak polis di Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

JOHOR BAHRU - Perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu seharusnya diteruskan kerana tiada sebarang insiden tidak diingini terjadi seperti didakwa sebelum ini.

Pemain T-Team, Muhd. Irfan Abdul Ghani berkata, walaupun tidak melihat sendiri insiden yang hangat diperkatakan itu, namun sewaktu berada dalam bilik persalinan, dia tidak nampak sebarang kecederaan pada individu yang terbabit.

"Saya berada di tepi padang ketika mereka berjalan masuk terowong dan apa yang saya lihat adalah jurulatih kecergasan T-Team menolak jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jiminez.

"Apa yang terjadi di dalam terowong saya tidak nampak, namun sewaktu berada dalam bilik persalinan, tiada sebarang kecederaan di bahagian muka Elvaldo Rodriguez yang dikatakan ditumbuk sehingga hidungnya berdarah.

"Malah individu yang dikatakan tercedera dalam insiden tersebut juga hadir dalam sesi latihan keesokan hari tanpa sebarang masalah," katanya.

Muhd. Irfan, yang dahulunya bekas pemain JDT, berkata demikian kepada wartawan selepas memberi keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini semalam.

Dia menegaskan kenyataannya itu dibuat dengan kerelaan hati tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan dia bersedia menerima sebarang tindakan daripada pihak pengurusan T-Team.

Perlawanan pusingan kedua Piala FA yang berlangsung di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos itu dihentikan pada separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Beberapa saksi mendakwa Rodriguez ditumbuk oleh pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), manakala Stefano Impagliazzo pula disepak di bahagian kemaluannya.

Muhd. Irfan memberitahu, rata-rata pemain bersedia untuk meneruskan permainan pada separuh masa kedua, namun penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar membuat keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan.

"Alasan diberikan kerana isu keselamatan para pemain tetapi menurut pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pihak keselamatan, tidak timbul isu sedemikian.

"Sebagai pemain, kami semua hanya menurut keputusan yang dibuat apatah lagi jurulatih, Azraai Khor Abdullah juga tidak berkata apa-apa berhubung keputusan tersebut," katanya.

'Irfan tidak tahu keadaan sebenar'

Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan NOR AZAN FITRI
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Muhd. Irfan Abdul Ghani yang menyatakan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku pada perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan T-Team yang ditangguhkan Sabtu lalu.

Beliau menegaskan, Muhd. Irfan tidak nampak kejadian sebenar yang berlaku di dalam terowong kerana ketika kejadian pemain itu berada di padang dan dia hanya masuk ke bilik persalinan selepas pihak pengurusan pasukan membuat keputusan untuk tidak menyambung permainan.

Katanya, pemain itu tidak nampak sebarang kecederaan yang berlaku ke atas Elvaldo Rodriguez kerana selepas kejadian pasukan perubatan T-Team sudah menjalankan rawatan ke atas pemain import itu.

Beliau memberitahu, pihaknya mempunyai ramai saksi berhubung kejadian itu tetapi mengalu-alukan kehadiran saksi luar untuk membantu siasatan kes itu.

"Dia tidak nampak kecederaan yang berlaku terhadap Elvaldo dan segala keputusan yang dibuat oleh kesebelasan utama pasukan dia tidak tahu kerana dia merupakan pemain simpanan.

"Pemain rasa tidak selamat selepas apa yang berlaku ke atas Elvaldo dan ketika perjalanan masuk ke bilik persalinan mereka dihalang, dicaci dan dimaki. Sebagai ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), saya tahu apa yang patut dilakukan dan kami tiada niat jahat, kami tidak ambil gambar kejadian dan tidak merancang apa-apa pun ketika kejadian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Perlawanan pusingan kedua Piala FA yang berlangsung di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Johor Bahru itu dihentikan pada separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Beberapa saksi mendakwa Rodriguez ditumbuk oleh pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), manakala Stefano Impagliazzo pula disepak di bahagian kemaluan.

Azlan turut memberitahu, pihak pengurusan pasukan juga tidak mengetahui mengenai tindakan Muhd. Irfan kerana pemain itu memaklumkan kepada jurulatih, Azraai Khor Abdullah pada Isnin lalu bahawa ibunya kemalangan di Johor dan mengalami kecederaan serius di kepala.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin pada Isnin lalu menjelaskan status keputusan perlawanan antara JDT dan T-Team yang ditangguhkan akan ditentukan pada hari ini setelah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved