Rabu, 5 Februari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Ingatkan rakyat hak Melayu

Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

Mohd. Mansur Abdullah (tengah) mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat di DPMP Maran Hill Golf Resort, Maran, kelmarin.

MARAN 5 Feb. - Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) merancang mengadakan kolokium bagi mengupas kedudukan orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun ini berikutan terdapat usaha pihak-pihak tertentu yang ghairah mencabar perkara tersebut.

Ketua Satu DPMP, Datuk Dr. Mohd Mansur Abdullah berkata, selaku badan sastera tertua, pihaknya terpanggil mengadakan kolokium tersebut khususnya mengenai hak istimewa Melayu dan bahasa kebangsaan bagi mengingatkan rakyat tentang keperluan mempertahankan Perlembagaan.

Tegasnya, generasi muda semua kaum khususnya orang Melayu perlu disedarkan dari mimpi di siang hari akan kepentingan Perlembagaan yang menjamin secara langsung mengenai survival orang Melayu di negara bertuah ini.

"Orang Melayu Islam perlu peka akan kepentingan bangsa dan jangan terlalu asyik berpolitik sehingga terabai untuk mempertahankan kedudukan tiang seri Perlembagaan yang sedang dirobek-robek pihak tertentu.

"Ini kerana telah wujud ancaman pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menggugat ketenteraman awam, hak istimewa orang Melayu, isu agama Islam, kalimah Allah dan isu bahasa Melayu yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan," katanya.

Mohd. Mansur berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat kali pertama di Maran Hill Golf Resort di sini semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua 1 Datuk Zainuddin Jumaat dan dan Timbalan Ketua 2, Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil.

Tegasnya, DPMP merupakan badan yang memperjuangkan martabat bahasa dan budaya di negeri ini dan akan terus ke hadapan dalam mengangkat bahasa dan kebudayaan yang merupakan teras dalam pembentukan negara.

Tambah beliau, aktiviti perdana lain yang diputuskan ialah untuk mengadakan program diskusi buku penulis Pahang, bengkel penulis untuk pelukis lama dan baharu.

Menurutnya, DPMP Pusat turut bersetuju menganjurkan sayembara penulisan syair, baca puisi merdeka sempena bulan kemerdekaan ke-57 pada bulan Ogos kelak.

"Ketetapan lain yang dipersetujui ialah menganjurkan anugerah penulis serta sasterawan Pahang selain itu Jawatankuasa Pusat akan turun ke seluruh kawasan-kawasan DPMP di negeri ini untuk berjumpa dengan ahli-ahli," ujarnya.

Jadikan barangan keperluan setiap kaum sebagai barang kawalan

Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST

RAUB 5 Feb. - Kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan barangan keperluan asas berdasarkan keperluan pelbagai kaum sebagai barang kawalan dan tidak terhad kepada keperluan secara umum sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, langkah itu penting bagi memastikan kepentingan pengguna setiap kaum sentiasa terbela sekali gus mengelakkan peniaga menaikkan barangan berkenaan sesuka hati.

"Kerajaan sudah menyenaraikan sebahagian barang keperluan seperti gula, tepung, minyak, dan beras sebagai barang kawalan, tetapi masih ada barangan yang menjadi keutamaan sesetengah kaum tidak disenaraikan menyebabkannya dinaikkan sesuka hati oleh peniaga.

"Sebagai contoh, kacang dal, terung bulat dan beberapa jenis barangan menjadi kegemaran masyarakat India dan harganya naik tanpa kawalan kerajaan," katanya di sini semalam.

Menurut Shahiruddin, jika langkah itu dapat dilaksanakan sudah tentu peniaga tidak dapat menaikkan harga barangan tersebut sesuka hati sekali gus tidak membebankan pengguna terbabit.

Katanya, meskipun pengguna berkuasa menentukan harga, kerajaan perlu sentiasa proaktif dan tegas ke atas peniaga rakus yang sengaja menaikkan harga barang.

"Pegawai penguat kuasa dan skuad pemantau penguna perlu bekerjasama dan turun padang memantau harga serta jangan sekadar memberi amaran, sebaliknya bertindak tegas ke atas mereka yang melakukan kesalahan mengikut akta sedia ada.

"Amaran semata-mata tanpa tindakan menyebabkan peniaga semakin berani menaikkan harga barang kerana mereka tidak takut dengan undang undang," katanya.

RISDA teruskan program Kelas Tuisyen Desa

Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST

Wan Salman Wan Ismail (tiga dari kanan) menyampaikan beg sekolah kepada peserta Kelas Tuisyen Desa RISDA di SMK Seri Jengka di Maran, kelmarin. Turut kelihatan, pengetua sekolah berkenaan, Datin Fatimah Kasim (kanan).

MARAN 5 Feb. - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Pahang memperuntukkan sebanyak RM37,500 bagi melaksanakan program Kelas Tuisyen Desa di lokasi sekolah terpilih di daerah ini tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail berkata, peruntukan itu membuktikan agensi terbabit peka dengan kepentingan pendidikan anak- anak pekebun kecil di luar bandar.

Menurutnya, sekolah yang melaksanakan program tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Jengka, SMK Maran dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudi.

Tambahnya, sebelum ini program tersebut telah dilaksanakan tahun lalu melibatkan SMK Chenor, SMK Chedung Jaya dan SMK Maran 2.

"Program ini bermula sejak 2007 dengan memilih sekolah yang berbeza setiap tahun bertujuan memberi pendidikan percuma khususnya kepada anak-anak pekebun kecil.

"Pendekatan yang diambil ini bagi membentuk generasi kedua berpendidikan dan lebih berdaya saing serta kreatif dalam menghadapi cabaran besar di peringkat global," katanya selepas melancarkan program berkenaan di SMK Seri Jengka di sini semalam.

Wan Salman berkata, pelaksanaan program itu akan memberikan manfaat kepada pelajar untuk meningkatkan nilai tambah dan pencapaian mereka dalam pelajaran.

Dalam pada itu, beliau memuji agensi terbabit kerana komited dalam meneruskan program menggunakan peruntukan Kumpulan Wang RISDA (KWR).

"Kumpulan sasar program ini ialah anak-anak pekebun kecil yang tinggal di luar bandar dan keutamaan diberikan kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved