Selasa, 10 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Penduduk minta MPKK bertindak

Posted: 09 Dec 2013 11:16 AM PST

Oleh HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my

SALAH satu daripada blok unit kediaman bekas pekerja am rendah yang sudah rosak dan terbiar lebih 25 tahun di Kuala Kangsar, Perak.

KUALA KANGSAR 9 Dis. - Lebih daripada 120 unit rumah yang pernah menjadi kediaman pekerja am rendah agensi kerajaan yang terletak di Jalan Taayah di sini yang terbiar sejak sekian lama, meresahkan penduduk sekitarnya.

Kawasan perumahan itu yang tidak berpenghuni sejak kira-kira 25 tahun lalu itu kini dipenuhi semak samun.

Difahamkan, kediaman itu dikosongkan selepas pekerja am agensi kerajaan berkenaan sudah memiliki kediaman sendiri.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati hampir semua bangunan di situ ditumbuhi pokok, semak dan rumput yang menjalar menutup sebahagian besar daripada rumah di situ.

Kebanyakan rumah di situ sudah rosak pada bahagian pintu dan tingkap manakala atapnya sudah pecah.

Berikutan itu, para penduduk menggesa Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) memberikan perhatian terhadap kawasan berkenaan kerana keadaannya menjejaskan imej bandar ini.

Seorang penduduk, Bahari Abdul Majid berkata, keadaan di kawasan perumahan itu menyakitkan mata dan ia tidak sepatutnya dibiarkan sedemikian.

"Ia terletak di kawasan kediaman penduduk dan sekolah, jadi sudah tentu ia menjadi perhatian penduduk sekitarnya.

"Kawasan ini perlu dibersihkan bukan terus dibiarkan. Ini boleh menimbulkan rasa kurang senang penduduk dan orang ramai yang tinggal atau melalui kawasan itu," katanya

Seorang penduduk yang menetap tidak jauh dari kawasan berkenaan, Harun Md. Said juga kesal kerana kawasan perumahan itu langsung tidak dijaga.

"Sudah sewajarnya kawasan itu diberikan perhatian memandangkan keadaan itu tidak menyenangkan penduduk," katanya.

Noh Hashim, 57, berkata, ramai penduduk yang tinggal di situ merungut dan bimbang terhadap ancaman binatang berbisa.

"Rumah terbiar itu juga menjadi tempat kegiatan yang tidak bermoral oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Raja Muda Perlis kagumi produk industri pertanian tempatan

Posted: 09 Dec 2013 11:16 AM PST

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail tertarik melihat anak ayam semasa melawat Ekspo Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Perlis di Dataran Sheikh Ahmad di Kangar, Perlis, baru-baru ini.

KANGAR 9 Dis. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melawat gerai pelbagai agensi kerajaan di bawah portfolio pertanian yang dipamerkan sempena Ekspo Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Perlis di Dataran Sheikh Ahmad di sini kelmarin.

Berangkat sama meninjau pelbagai produk dan koleksi terkini agensi-agensi terlibat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Keberangkatan baginda disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Negeri, Ahmad Bakri Ali.

Yang turut hadir Pengarah Pertanian Perlis, Zulkifli Amin Mat Jusoh dan Pengarah Veterinar Perlis, Dr. Ahmad Redzuan.

Baginda berdua dan puteranya menghabiskan banyak masa di pelbagai gerai Jabatan Veterinar kerana tertarik dengan pelbagai jenis haiwan yang dipamerkan.

Tuanku Syed Faizuddin turut memuji pihak penganjur kerana pelbagai produk industri hiliran berasaskan hasil pertanian itu terbukti berjaya menarik perhatian masyarakat setempat.

Baginda juga turut mengingatkan agensi-agensi terlibat supaya lebih aktif menjayakan program sedemikian secara berjadual bagi manfaat jangka panjang.

Raja Muda Perlis percaya melalui ekspo seumpama itu ia dapat menyuntik semangat kepada warga tempatan untuk terus aktif dalam industri pertanian. - BERNAMA

Belia raih hasil lumayan pertanian

Posted: 09 Dec 2013 11:16 AM PST

KUALA KANGSAR 9 Dis. - Seorang belia di sini membuktikan bahawa bidang pertanian mampu menghasilkan pendapatan yang lumayan jika ia diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Belia berkenaan, Ahmad Fadzil Mat Marzuki, 29, mengusahakan tanaman sayur-sayuran di kawasan seluas tiga hektar di Kampung Sayong Tebing dekat sini.

Menurutnya, beliau mula menjalankan pertanian secara komersial dengan menyewa tanah-tanah terbiar di kawasan berkenaan untuk tanaman pisang.

Katanya, dengan modal sebanyak RM6,000, beliau kemudiannya menukar tanamannya daripada pisang kepada sayur-sayuran.

"Saya menukar tanaman pisang kepada sayur-sayuran kerana kawasan ini mempunyai sumber air yang boleh disalurkan ke kebun.

"Setakat ini, saya menanam timun di kawasan seluas 0.9 hektar dan terung seluas 0.3 hektar yang masing-masing mengeluarkan hasil sebanyak 500 kilogram (kg) dan 300 kg sehari.

"Sayur-sayuran ini dijual secara borong ke pasar di bandar ini dan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)," katanya yang ditemui di sini hari ini.

Kesungguhan Ahmad Fadzil mendapat pengiktirafan apabila dia dipilih sebagai Peladang Muda Berjaya pada Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Kangsar, baru-baru ini.

Apa yang menarik, Ahmad Fadzil bukan berasal dari keluarga petani sebaliknya beliau pernah mengusahakan sebuah bengkel motosikal di Kampung Bendang Kering dekat sini selama empat tahun.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Kuala Kangsar di Padang Rengas itu pernah mengikuti kursus automotif di Institut Kemahiran Mara (IKM) di Kedah dan kursus pertanian.

"Penglibatan saya di bidang pertanian dilakukan atas semangat tidak mengenal jemu dan tanpa rasa malu.

"Saya memilih bidang pertanian walaupun ia kurang diminati namun saya akui ia bukanlah bidang yang mudah.

"Setiap hari saya terpaksa bermandikan peluh dan berpanas, namun ia sudah sebati dengan saya," katanya.

Menurutnya, beliau memilih untuk menanam sayur kerana tanaman itu mempunyai harga pasaran yang baik walaupun sering mengalami turun naik harga.

"Bagi memasarkan sayur-sayur ini, saya telah menandatangani perjanjian dengan FAMA di bawah program ladang kontrak, ini penting bagi menghadapi lambakan sayuran yang menyebabkan harganya jatuh," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved