Selasa, 10 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Nuri hantar bekalan makanan

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

SEBAHAGIAN daripada penduduk memunggah bekalan makanan yang dihantar menggunakan helikopter Nuri TUDM di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang, kelmarin.

JERANTUT 10 Dis. - Sebanyak 29 tan bekalan makanan telah dihantar ke beberapa kampung yang terjejas dengan banjir di kawasan Ulu Tembeling dengan menggunakan helikopter Nuri SK61 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, penduduk di Kampung Bantal, Kampung Pagi, Kampung Gusai, Kampung Kuala Sat, Kuala Tahan dan Kampung Mat Daling kini boleh menarik nafas lega kerana bekalan makanan sudah sampai di sana.

"Kita terpaksa menggunakan khidmat helikopter Nuri milik TUDM untuk menghantar bekalan makanan kerana kawasan pedalaman tersebut telah terputus hubungan sejak beberapa hari lalu.

"Saya harap bekalan ini mencukupi dan kita akan menghantar stok tambahan sekiranya banjir berterusan," katanya kepada pemberita ketika menyertai misi menghantar bekalan makanan sebanyak 1.3 tan ke Kampung Bantal dan Kuala Tahan dekat sini semalam.

Menurutnya, penduduk di kawasan Ulu Tembeling dan Kuala Tahan terputus hubungan apabila air Sungai Tembeling naik mendadak sehingga membahayakan mereka untuk keluar ke bandar.

"Laluan utama Jerantut ke Kuala Tahan pula ditutup kepada semua jenis kenderaan apabila air sungai Jerantut di Kampung Paya Garuk melimpahi jalan sehingga 2.5 meter jadi mereka tidak dapat keluar untuk mendapatkan bekalan," ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Bantal, Japrun Ali, 56, berkata, beliau amat bersyukur apabila bekalan makanan dihantar tepat pada masanya.

"Kami hanya mempunyai sedikit bekalan dan bantuan yang baru tiba ini membolehkan kami bertahan untuk beberapa hari lagi sementara menunggu banjir surut.

"Kami tidak dapat keluar kerana air terlalu deras dan amat bahaya kepada bot-bot penumpang, lagipun perjalanan ke Kuala Tahan mengambil masa kira-kira tiga jam," jelasnya.

Mangsa banjir terus dibantu

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

ISMAIL Mohamed Said (dua dari kanan) dan Wan Salman Wan Ismail (kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Felda Jengka 14, Pahang, semalam. - utusan/SALEHUDIN MAT RASAD

KUALA KRAU 10 Dis. - Bantuan kerajaan kepada mangsa banjir termasuk bayaran RM500 membuktikan keprihatinan pemimpin negara bagi meringankan beban rakyat yang terlibat dengan bencana ini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, bantuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu amat melegakan mangsa banjir setelah banyak harta benda mereka rosak akibat bencana itu.

Katanya, pengecualian bayaran bil air di negeri ini dan penangguhan bayaran pinjaman di bawah kelolaan agensi kerajaan kepada mangsa banjir tanpa mengira fahaman politik satu lagi keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.

''Bantuan-bantuan ini membuktikan kerajaan kita bersedia tanpa berlengah dalam mencari inisiatif bagi meringankan beban rakyat yang ditimpa musibah.

''Sehubungan itu, jika ada lagi bantuan yang diperlukan, mangsa banjir boleh tampil berbincang dengan agensi terlibat kerana dasar kita jelas untuk meringankan beban rakyat terlibat.

''Pada masa sama, mangsa banjir perlu banyak bersabar dengan musibah di samping mengutamakan keselamatan dan kesihatan ahli keluarga,'' katanya.

Ismail bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail ditemui selepas menyampaikan bantuan banjir kepada peneroka Felda Jengka 11, Jengka 14, Jengka 15 dan Jengka 16 di sini hari ini.

Bantuan tersebut meliputi barangan keperluan harian seperti beras, gula, minyak masak, kopi, susu, tepung dan lain-lain.

Sementara itu, Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau bersyukur kerana pelbagai pihak tampil membantu mangsa termasuk sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekali gus menunjukkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Ketua Kampung Felda Jengka 15, Adnan Darus berkata, penerima bantuan berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada kedua-dua wakil rakyat atas bantuan yang diberikan.

''Walaupun ada penduduk yang yang terjejas banjir, namun kami tetap bersyukur kerana banyak pihak prihatin menghulurkan sumbangan sekali gus dapat meringankan beban penduduk terlibat,"

Jana sosioekonomi Pahang

Posted: 10 Dec 2013 10:27 AM PST

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
utusanktn@gmail.com

ADNAN Yaakob (kiri) melancarkan Trans-B yang dilaksanakan oleh UMP dan PKNP di Kampung Pagi, Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

KUANTAN 10 Dis. - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) membangunkan Modul Program Transformasi Belia (Trans-B) yang menampilkan program kemasyarakatan bagi memenuhi tanggungjawab sosial khususnya dalam melaksanakan agenda pembangunan sosioekonomi di negeri ini.

Pelancaran program itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob di Kampung Pagi, Mukim Ulu Tembeling, Jerantut dan dihadiri oleh Ketua Eksekutif PKNP, Datuk Alias Mohd. Noor, baru-baru ini.

Menurut pengarah program, Imaduddin Abidin, modul itu merupakan salah satu program untuk dijadikan platform bagi golongan belia berinteraksi dan berkongsi pengalaman daripada segi aspek pengurusan persatuan belia.

"Sebanyak enam modul kemahiran dirangka bagi melancarkan program tersebut antaranya kemahiran menulis kertas kerja, pengurusan aktiviti atau projek, pengurusan kewangan, mengendalikan mesyuarat, komunikasi dan berfikir," katanya dalam kenyataan di sini.

Imaduddin berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 40 pemimpin belia kampung dari 11 kampung yang dikenal pasti PKNP bagi menyertai program ini.

Menurutnya, antara kampung tersebut ialah Kampung Pagi di Jerantut, Kampung Sungai Temau (Lipis) dan Kampung Cherok Paloh di daerah ini.

Tambahnya, bagi kawasan Pekan pula, kampung yang menyertai program itu ialah Kampung Tanjung Agas, Kampung Pasir Panjang, Kampung Lubuk Paku, Kampung Ganchong Hulu, Kampung Ganchong Tengah, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Kiambang.

"Peserta akan memperoleh ilmu dan kemahiran organisasi serta mengaplikasikannya dalam persatuan belia di setiap kampung," ujarnya.

Selain itu, katanya, usaha itu akan membentuk barisan belia yang mempunyai nilai kepimpinan tinggi, berdaya maju, lebih produktif dan berdaya saing.

Beliau berharap program itu bakal menjadikan persatuan belia sebagai organisasi yang sentiasa relevan, signifikan dan menjadi peneraju terhadap kemajuan sesebuah kampung.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved