Selasa, 10 Disember 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Bekalan elektrik pulih sepenuhnya di Terengganu

Posted: 10 Dec 2013 02:22 AM PST

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Bekalan elektrik di Terengganu dan beberapa kawasan di Pahang kembali pulih sepenuhnya, sehingga jam 11 pagi ini.

Menurut kenyataan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini hari ini, sejumlah 30 pencawang elektrik di kedua-dua negeri itu dihenti tugas melibatkan 2,270 akaun pengguna.

Di Terengganu, katanya bekalan elektrik di Cukai, Al-Muktafi Billah Shah, Cheneh, Kuala Berang dan Dungun telah pulih sedia kala, hanya dua pencawang elektrik di Geliga yang masih dihenti tugas melibatkan dua akaun pengguna.

Katanya 13 set janakuasa telah dibekalkan di Kemaman.

Katanya di Pahang, bekalan elektrik di beberapa daerah di negeri itu iaitu Kuantan, Gebeng, Rompin dan Muadzam telah kembali pulih.

Namun, sejumlah 28 pencawang elektrik masih dihenti tugas antaranya di Pekan (6), Jerantut (7), Triang (11) dan Temerloh (4).

Hanya sebilangan kecil bekalan elektrik di Lipis dan Maran masih dihenti tugas.

Menurut kenyataan itu, jumlah akaun pengguna yang tiada bekalan elektrik adalah 2,198.

Katanya sebanyak 22 set janakuasa dibekalkan di Kuantan, Jerantut dan Triang. - BERNAMA

Banjir: PTPTN sedia tangguh pembayaran balik

Posted: 10 Dec 2013 02:03 AM PST

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersedia menangguhkan pembayaran balik kepada peminjam yang terjejas dengan bencana banjir di Pantai Timur dan Johor sejak seminggu lalu.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, keputusan PTPTN ini juga selaras dengan arahan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta semua agensi terlibat menangguhkan pembayaran balik melibatkan mangsa banjir di Pantai Timur dan Johor sehingga keadaan pulih sepenuhnya.

"Penangguhan pembayaran ini akan diutamakan kepada peminjam yang terlibat dengan bencana banjir. Selain itu, peminjam yang berada di luar kawasan tetapi mempunyai keluarga sedang menghadapi banjir turut dipertimbangkan," katanya dalam sidang akhbar Sumbangan PTPTN Kepada Misi Sukarelawan Siswa Banjir 2013 di sini hari ini.

Sebanyak RM50,000 telah diserahkan kepada Sekretariat Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (Maskum) untuk disumbangkan kepada mangsa banjir. - UTUSAN ONLINE

Tingkat kadar hukuman hilang MyKad telah dicadang

Posted: 10 Dec 2013 01:19 AM PST

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Kerajaan telah mengemukakan cadangan kepada Peguam Negara untuk meningkatkan kadar hukuman terhadap individu yang didapati bersalah menghilangkan kad pengenalan MyKad mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata cadangan itu adalah untuk individu yang tidak mempunyai bukti atau penjelasan khusus mengenai kehilangan MyKad.

"Kita (telah mencadangkan supaya) meningkatkan caj kehilangan MyKad terhadap mereka yang tidak mempunyai bukti dan penjelasan khusus, melainkan kehilangan berlaku berpunca daripada insiden yang tidak boleh dielakkan seperti kebakaran," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Rahman Bakar di Dewan Negara di sini hari ini.

Abdul Rahman bertanya sama ada kerajaan bercadang mengenakan hukuman lebih ketat bagi mereka yang hilang kad pengenalan terutama yang hilang berulang kali supaya dijadikan pengajaran.

Selain itu, Wan Junaidi berkata kementerian akan mempertimbang cadangan untuk mengembalikan semula keperluan membuat laporan polis terhadap kes kehilangan MyKad.

Beliau berkata pemansuhan keperluan itu sebelum ini telah mengakibatkan kesukaran pihak berkuasa membuat siasatan lanjutan sama ada kes kehilangan itu benar atau palsu.

Menjawab soalan asal Senator Dr Ariffin Omar (DAP-Pulau Pinang), Wan Junaidi berkata kewujudan sindiket memperdagang MyKad belum dapat dibuktikan walaupun berlaku peningkatan kes kehilangan kad-kad tersebut sejak kebelakangan ini.

"Meskipun berlaku peningkatan jumlah kehilangan kad tersebut dari tahun ke tahun, kehilangan itu tidak mendadak dan masih belum ada bukti terperinci kewujudan mereka.

"Melalui beberapa serbuan hasil kerjasama agensi-agensi di bawah kementerian, didapati kebanyakan kes menunjukkan individu terbabit menggunakan MyKad yang diubah suai daripada kad asli," katanya.

Menurutnya kerajaan mengubahsuaian MyKad tahun ini dengan menggunakan cetakan turisan laser, penggunaan nombor siri cip yang unik dan mempunyai ghost image yang jelas, menunjukkan keberkesanan berikutan imej yang ada tidak dapat diubah suai oleh pihak tidak bertanggungjawab. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved