Sabtu, 7 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Helikopter hantar bantuan makanan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
pengarang@utusan.com.my

JERANTUT 7 Dis. - Helikopter digunakan untuk menghantar bantuan makanan tambahan seberat 10 tan ke pangkalan hadapan di enam kampung di pesisiran Sungai Tembeling, Mukim Hulu Tembeling, Jerantut hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, bantuan fasa pertama bernilai RM50,000 telah dihantar pada akhir bulan lalu ke pangkalan hadapan Kampung Kuala Tahan, Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantai, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai menggunakan bot penambang.

Beliau berkata, bantuan hari ini diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jerantut, iaitu barangan keperluan seperti beras, susu pekat, sardin, bihun, gula, kopi, teh, minyak masak, garam, cili, sos, kicap, bawang, biskut dan susu bayi.

"Bekalan tambahan ini diperoleh menerusi pemborong di bandar ini dan dihantar kerana keseluruhan penduduk di kawasan tersebut terputus hubungan ekoran kedudukan paras bahaya air Sungai Tembeling hari ini.

"Kita menggunakan helikopter kerana laluan ke Taman Negara Kuala Tahan ditenggelami banjir dan bantuan segera ini amat penting untuk 4,974 penduduk pesisiran Sungai Tembeling termasuk Orang Asli di Kampung Sungai Kucing di kawasan tersebut,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat 95 mangsa di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pedah di sini.

Menurut beliau, bekalan makanan itu adalah untuk seminggu dan ditempatkan di stor balai raya kampung berkenaan.

Katanya, segala urusan pengagihan akan dilakukan oleh ketua kampung masing-masing kepada mangsa banjir.

Beliau berkata, urusan penghantaran fasa pertama pada akhir bulan lepas menggunakan bot penambang dan kenderaan pacuan empat roda, tetapi hari ini helikopter digunakan sepenuhnya kerana semua jalan ditenggelami banjir dan pengangkutan darat lumpuh.

"Jika hujan berterusan dan banjir melanda di kampung pesisiran sungai, penghantaran menerusi helikopter adalah alternatif bagi operasi bantuan lebih cepat dan selamat.

"Felda juga sudah bersedia untuk menghantar bantuan makanan kepada peneroka Felda Sungai Retang dan Felda Padang Piol yang terputus bekalan jika jalan perhubungan ke bandar ini masih ditenggelami banjir," ujarnya.

Wan Amizan yang juga Timbalan Ketua UMNO Jerantut berkata, kerajaan menerusi Pejabat Daerah serta semua agensi telah membuat persiapan rapi sejak awal bulan ini berikutan cuaca yang tidak menentu di Hulu Tembeling berikutan hujan berterusan hingga awal Januari.

Beliau menambah, bekalan makanan tambahan akan dihantar ke Hulu Tembeling berdasarkan keperluan penduduk yang terbabit dengan pemindahan di tempat masing-masing kerana keadaan banjir semakin buruk dan terputus hubungan dengan luar.

30 sukarelawan UMNO Lipis sumbang makanan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

Abdul Rahman Mohamad (enam dari kiri) dan Mohd. Soffi Abdul Razak (tiga dari kiri) bergotong-royong memunggah barang makanan ke pusat pemindahan banjir di jeti Kampung Kuala Kenong, Kuala Lipis, semalam.

KUALA LIPIS 7 Dis. - Sebanyak 30 sukarelawan UMNO Bahagian Lipis menyumbang 50 bungkusan makanan kepada mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan di Mukim Cheka di sini hari ini.

Bantuan makanan harian yang dipunggah menggunakan bot gentian Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lipis diketuai Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad bersama-sama skuad sukarelawan berkenaan.

Turut hadir Ketua Polis Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan; Ahli Dewan Undangan Benta, Datuk Mohd. Soffi Abdul Razak; Ketua Pemuda UMNO Lipis, Mohd. Farid Mohamad Noor dan Setiausaha Kerja UMNO Lipis, Amir Marwan Abu Kassim.

Bantuan itu diserahkan kepada mangsa banjir di Kampung Jeram Buluh, Kampung Jeram Landak, Kampung Ganding, Kampung Tanjung Bungor, Kampung Limau Purut dan Kampung Lentang.

Menurut Abdul Rahman, UMNO Lipis berasa terpanggil untuk menzahirkan keprihatinan kepada mangsa banjir di Mukim Cheka menerusi bantuan itu dan berharap mangsa berkenaan bersabar menghadapi dugaan bencana banjir tahun ini.

"Walaupun mereka (mangsa) sudah mendapat bantuan JKM Lipis, tetapi UMNO Lipis tetap mengingati dan berasa simpati dengan menghulurkan sumbangan ini walaupun sukar memunggah dengan bot gentian dari bandar Lipis.

"Inilah keupayaan kita (UMNO), tetap bersedia pada bila-bila masa untuk membantu mangsa bencana sambil berharap mereka sedikit selesa di pusat pemindahan ini sebelum keadaan kembali pulih," katanya kepada pemberita di Kampung Lentang dekat sini semalam.

Menurut Abdul Rahman, dia bergegas pulang dari menghadiri Persidangan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) apabila mendapat maklumat banjir sudah menenggelami kediaman penduduk dan membabitkan pemindahan mangsa di kawasan Cheka.

Katanya, dia yakin usaha pemindahan dan penempatan dilaksanakan dengan baik dan teratur berdasarkan kecekapan anggota Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), anggota polis, bomba dan pasukan beruniform lain, termasuk penyelenggaraan bantuan makanan daripada JKM Lipis.

Beliau yang juga Ketua UMNO Lipis berkata, kebanyakan penduduk kawasan Cheka tersekat laluan ke bandar Lipis dan Jerantut berikutan jalan raya berdekatan SMK Kerambit dan Kampung Tanjung Bungor masih ditutup untuk semua jenis kenderaan setelah digenangi air sejak beberapa hari lalu.

"Saya berharap mangsa berkenaan bersabar dengan dugaan ini dan mematuhi arahan pihak berkuasa, di samping menjaga kesihatan semasa berada di pusat pemindahan ini," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved