Sabtu, 7 Disember 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Promosi makanan tepi jalan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Little India di Brickfields disaran supaya mempromosi jualan makanan tepi jalan bagi menarik pelancong.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohd. Nazri Abdul Aziz berkata, terdapat banyak restoran dan gerai makanan untuk dipilih di Brickfields dari nasi daun pisang, briyani, tosai dan lain-lain makanan yang berasal dari India selatan.

Melalui makanan, kita merayakan pelbagai kebudayaan dan perpaduan di kalangan kita yang menggambarkan makna sebenar tagline Perpaduan dalam Kepelbagaian.

Malah menerusi pelbagai makanan India, Little India boleh dipromosi sebagai tarikan pelancongan yang ikonik yang mempamerkan budaya unik masyarakat India yang tinggal secara harmoni dengan kaum lain di Malaysia," katanya pada majlis pelancaran Festival Makanan Jalanan 2013 sempena Festival Makanan 1Malaysia di Little India Brickfields di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Ong Yong Peng.

Mohd. Nazri berkata, pelbagai makanan yang disediakan boleh membantu menambah hasil pelancongan makanan selain menarik lebih banyak pelancong ke dalam negara.

Beliau berkata, festival itu yang diadakan serentak di 13 buah negeri di 18 lokasi di 250 pusat penjaja dan medan selera yang mengandungi 15,000 gerai di seluruh negara.

Kempen Makanan 1Malaysia yang dilancarkan sejak 2009, kali ini diadakan selama tiga bulan sejak Oktober lalu. Makanan yang dipromosi tahun ini ialah Nasi Goreng, Sup Tulang dan Popiah. - BERNAMA

Banjir: Pemuda UMNO WP salur bantuan

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

Tengku Adnan Tengku Mansor memegang bantuan makanan yang akan dihantar ke Rompin dalam Misi Bantuan Bencana Banjir anjuran Briged Kesatria Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Ketua Pemuda UMNO Seputeh, Mohd. Razlan Muhammad Rafii (dua dari kanan).

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Prihatin terhadap nasib yang menimpa mangsa banjir di Pantai Timur, Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan bernilai kira-kira RM25,000.

Ketuanya, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, sumbangan tersebut termasuk makanan dan barangan keperluan diri yang dibawa oleh 48 petugas Briged Kesatria Muda pergerakan berkenaan dengan menggunakan lima buah kenderaan pacuan empat roda.

"Dalam misi bantuan ini, kami memberi fokus di daerah Rompin, Pahang yang difahamkan antara kawasan yang paling terjejas, terutamanya bekalan makanan kerana semakin berkurangan.

"Justeru, lebih banyak bantuan perlu dihantar ke kawasan yang terjejas dan selepas banjir surut nanti kami juga akan menghantar misi bantuan kedua bagi membantu kerja-kerja membersihkan kawasan-kawasan seperti masjid dan rumah warga emas," katanya selepas hadir pada majlis pelepasan konvoi bantuan berkenaan yang disempurnakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Johari Ghani dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.

Sementara itu, Tengku Adnan melahirkan rasa bangga apabila Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutan menyahut cabaran dengan menghantar bantuan kepada mangsa yang ditimpa bencana banjir.

"Ini satu bentuk keprihatinan yang sangat dialu-alukan kerana sudah tentu meringankan beban mangsa-mangsa banjir di sana yang amat memerlukan bantuan," katanya.

NGO Selangor turut bantu mangsa banjir

Posted: 07 Dec 2013 09:59 AM PST

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor mengambil inisiatif menganjurkan program pengumpulan pakaian, makanan dan barang keperluan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara Isnin ini.

Pengerusi NGO-NGO Selangor, Datuk Jamal Md. Yunos berkata, program yang akan diadakan di Dewan Centrum Mara Setiawangsa berdekatan Restoran Sekinchan Ikan Bakar di sini itu menyasarkan sebanyak mungkin bantuan untuk mangsa bencana alam tersebut.

"Orang ramai yang prihatin dengan kesengsaraan mangsa banjir boleh memberi sumbangan sama ada dalam bentuk pakaian terpakai, makanan dalam tin atau peralatan membersih pada hari tersebut, pukul 3 petang.

"Program ini merupakan inisiatif kami, NGO-NGO Selangor dalam membantu mangsa-mangsa banjir di lima negeri iaitu di Terengganu, Pahang, Melaka, Johor dan Kelantan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, sumbangan daripada orang ramai itu akan disampaikan kepada NGO-NGO kawasan terlibat untuk diagihkan kepada mangsa selewat-lewatnya Khamis ini.

"Sebarang pertanyaan atau sumbangan juga boleh disalurkan kepada pihak kami menerusi talian 016-3039404 (Jamil), 014-6312249 (Soleh) dan 011-26264359 (Afham)," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved