Sabtu, 28 Disember 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Angin kencang, laut bergelora paling bahaya hingga Selasa

Posted: 28 Dec 2013 02:48 AM PST

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga (paling bahaya) di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur dijangka berterusan sehingga Selasa depan.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi, angin kencang timur laut dengan kelajuan melebihi 60 kilometer sejam itu boleh menyebabkan ombak mencapai ketinggian melebihi 5.5 meter.

Selain itu, kawasan pantai di negeri berkenaan turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut.

Kedua-dua keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk menangkap ikan, pekerja di pelantar minyak serta perkhidmatan feri.

Kenyataan itu menyebut aktiviti ribut petir juga berlaku di kawasan perairan Sarawak (Mukah, Bintulu dan Miri) yang dijangka berterusan sehingga lewat malam ini. - BERNAMA

Muhammad Ali Hashim kembalikan 3 darjah kebesaran Johor

Posted: 28 Dec 2013 02:22 AM PST

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Tokoh korporat Tan Sri Muhammad Ali Hashim hari ini memaklumkan, beliau telahpun mengembalikan kesemua tiga darjah kebesaran negeri Johor semalam kepada Jumaah Majlis Diraja Johor.

Tindakan itu diambil berikutan kenyataan Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli pada 5 Disember lepas berhubung artikel tulisan beliau dalam sebuah akhbar tempatan yang disiar pada 2 Disember lepas, kata Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Darjah kebesaran yang dikembalikan ialah Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang diterima pada 8 April 1996 dan Darjah Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang diterima pada 8 April 1984, kedua-duanya membawa gelaran Datuk, serta Darjah Setia Mahkota Johor (SMJ).

Muhammad Ali berkata, beliau menulis surat kepada Abdul Rahim pada 18 Disember lepas untuk memberi penjelasan berhubung artikel tulisan beliau bertajuk 'Menuntut hak, menebus masa silam', yang didakwa Abdul Rahim dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja negeri ini.

"(Saya) juga dengan tegas menolak dakwaan atau tanggapan bahawa sajak (tulisan anak bongsunya, Allahyarham Khaled yang meninggal dunia pada 23 November lepas yang disertakan bersama artikelnya itu) mengandungi apa-apa motif seperti yang digambarkan," katanya. - BERNAMA

90 peratus aduan awam ke BPA berjaya diselesaikan

Posted: 28 Dec 2013 12:35 AM PST

PETALING JAYA 28 Dis. - Biro Pengaduan Awam (BPA), Jabatan Perdana Menteri telah berjaya menyelesaikan 91.4 peratus atau 8,907 kes daripada 9,713 aduan yang diterima sepanjang tahun ini hingga Khamis lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mahani Tan Abdullah berkata, sementara 806 kes lagi, atau 8.3 peratus masih dalam tindakan BPA.

"Aduan mengenai kelewatan ataupun tiada tindakan yang diambil antara yang mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 50 peratus, kualiti perkhidmatan tidak memuaskan sebanyak 12.6 peratus, kegagalan penguatkuasaan (9 peratus), kekurangan kemudahan awam (8.8 peratus) dan aduan ke atas tindakan tidak adil (6.7 peratus), manakala 12.9 peratus lagi terdiri daripada lain-lain aduan.

"Daripada jumlah aduan yang diterima di seluruh negara, 6,080 aduan ataupun 63 peratus adalah terhadap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan persekutuan, manakala 3,633 ataupun 37 peratus adalah aduan terhadap kerajaan negeri," katanya semasa berucap di Program Mesra Rakyat BPA Tahun 2013 Daerah Petaling di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Penasihat BPA Tan Sri Abdul Halim Ali, Anggota Lembaga Penasihat BPA, Datuk N. Siva Subramaniam dan Pengarah Aduan Awam Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Tengku Nazaruddin Tengku Zainudin.

Sementara itu, Mahani ketika ditemui pemberita berkata, Program Mesra Rakyat yang merangkumi sesi dialog bersama penduduk setempat merupakan usaha BPA untuk memberi peluang kepada rakyat mengutarakan aduan secara bersemuka, selain berinteraksi bersama mereka.

"Sebanyak 24 soalan daripada penduduk setempat telah dikumpulkan menerusi sesi dialog ini dan kami akan menyalurkannya kepada badan-badan kerajaan yang berkaitan untuk diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Katanya, lebih daripada 20 jabatan kerajaan, pihak berkuasa serta badan berkanun telah mengambil bahagian dalam sesi dialog bersama penduduk antaranya Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). -BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved