Sabtu, 23 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Usul haramkan pokok ketum

Posted: 22 Nov 2013 11:25 AM PST

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

MUKHRIZ Mahathir (tengah) memotong pokok ketum sebagai gimik pelancaran perasmian program Percambahan Minda: Dadah dan Daun Ketum Pemusnah Senyap Anak Bangsa di Dewan Kodiang, Jerlun, Kedah, semalam. Turut kelihatan Hakimi Hamidon (kiri). - BERNAMA

JERLUN 22 Nov. - Kerajaan Kedah akan berbincang dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan ahli-ahli Parlimen dari negeri ini untuk mengusulkan pengharaman penanaman daun ketum dalam usaha menyekat penyalahgunaan bahan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya memandang serius kegiatan menanam pokok ketum yang dilaporkan dilakukan secara berleluasa terutama di kawasan kampung dan pedalaman sehingga menyumbang kepada peningkatan jumlah penagih air ketum di negeri itu.

"Kita akan minta kerajaan supaya memberi perhatian dengan meminda atau mengubah undang-undang sedia ada untuk mengharamkan terus penanaman pokok ketum ini," katanya berucap dalam majlis penutup Program Percambahan Minda: Dadah dan Ketum Pemusnah Senyap Anak Bangsa anjuran AADK Daerah Kubang Pasu di Dewan Pekan Kodiang, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif dan Pengarah AADK negeri, Hakimi Hamidon.

Seramai 200 penduduk setempat hadir dalam program itu yang melibatkan pelbagai aktiviti termasuk tayangan video dan dokumentasi penagihan ketum, bicara ilmu dan pameran AADK.

Kata Mukhriz, beliau melihat sendiri pokok-pokok ketum ditanam di bahagian belakang rumah penduduk, walau bagaimanapun tindakan tidak dapat diambil kerana undang-undang sedia ada tidak begitu jelas mengenai penanaman pokok tersebut.

"Kalau ambil daun dan proses, itu baru salah mengikut undang-undang (Akta Racun 1951) dan jika nak bendung masalah ini kena bermula daripada proses penanaman (pengharaman)," ujarnya.

Sementara itu Hakimi memberitahu, AADK akan terus mengadakan program seumpama itu dengan memfokuskan isu penagihan ketum di kawasan-kawasan berisiko termasuk di Jerlun.

"AADK akan mengadakan program-program pencegahan dalam memastikan gejala penagihan air ketum ini dapat dikurangkan seterusnya dibanteras," katanya.

8 sertai program pertukaran pelajar di Jepun

Posted: 22 Nov 2013 11:25 AM PST

ROSHIDI Hashim beramah mesra dengan pelajar-pelajar yang akan mengikuti program pertukaran di Fukuoka, Jepun dalam satu majlis meraikan lapan pelajar berkenaan di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh, kelmarin.

IPOH 22 Nov. - Sebanyak lapan lagi pelajar dari sekolah sekitar bandar raya ini terpilih mengikuti program pertukaran pelajar di Fukuoka, Jepun sekali gus merapatkan lagi hubungan bandar berkembar yang telah terjalin sekian lama sejak 1989.

Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim berkata, pelajar-pelajar berkenaan yang akan berada di sana selama sembilan hari bermula 4 Disember ini, diharap dapat mempromosi negara terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Pada tahun ini, pemilihan pelajar yang dibuat semakin sengit dan mereka dinilai berdasarkan pelbagai kebolehan dan bukannya berpandukan kepada pencapaian akademik semata-mata.

"Oleh itu, saya berharap mereka yang terpilih ini dapat membuat persiapan rapi secukupnya sebelum berangkat ke Jepun kerana mereka membawa nama dan imej Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis meraikan lapan pelajar berkenaan di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), di sini semalam.

Mereka yang terpilih kali ini ialah Ahmad Imran Abdul Jalil, Kyle Loh Cheng Woh, Kee Tze Pheng, Nor Firzanah Mohd Tafkir, Hew Kee Siang, Ahmad Muhseen Firdaus Mohd Fidaus, Nurul Athirah Aminuddin dan Syarifah Syafiqah Said Zaidi.

Program pertukaran pelajar yang dinamakan Sister City Student Exchange 2013 itu dianjurkan secara bergilir-gilir antara bandar raya Ipoh dan Fukuoka pada setiap tahun dengan anjuran bersama MBI, Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Fukuoka City Council dan Fukuoka International Association.

Dalam pada itu, Roshidi berharap, pelajar-pelajar berkenaan dapat menimba pengalaman menarik serta mempelajari cara hidup dan budaya masyarakat Jepun di sana.

Beliau berkata, nilai-nilai murni masyarakat Timur itu wajar dijadikan teladan untuk lebih cemerlang dan berdaya saing pada masa hadapan.

"Insya-Allah sekiranya tiada halangan, saya juga akan turut bersama-sama pelajar berkenaan ke Fukuoka pada kali ini bagi menunjukkan sokongan dan komitmen MBI terhadap hubungan yang telah sedia terjalin," katanya.

Petani disaran ceburi kaedah organik

Posted: 22 Nov 2013 11:25 AM PST

PULAU PINANG 22 Nov. - Pengusaha pertanian komersial disaran menaik taraf kaedah yang digunakan kepada pertanian organik bagi membantu negara menghasilkan produk makanan selamat dan berkualiti selain memulihara alam sekitar.

Pengarah Bahagian Kualiti Tanaman Jabatan Pertanian, Halimi Mahmud berkata, produk organik mempunyai masa depan cerah berikutan permintaan di pasaran masih belum dipenuhi.

Menurutnya, selain itu harga produk pertanian organik juga lebih tinggi daripada produk konvensional iaitu dua hingga tiga kali ganda.

"Jabatan Pertanian berharap pengusaha pertanian secara komersial akan bersedia menaik taraf kepada kaedah pertanian organik seterusnya memperolehi sijil Skim Organik Malaysia (SOM) dan sijil Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (MyGAP)," katanya berucap merasmikan Bengkel Pertanian Semulajadi ke Arah Kehidupan Mapan, di sini semalam.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris.

Kira-kira 100 peserta menghadiri bengkel tiga hari anjuran CAP itu.

Halimi memberitahu, setakat ini terdapat 125 pengusaha tanaman organik di Malaysia membabitkan keluasan ladang kira-kira 600 hektar mempunyai sijil SOM.

Jelasnya, pensijilan SOM bertujuan memastikan hasil pertanian menepati standard MS 1529:2003 dan tidak mengandungi sisa racun.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved