Sabtu, 23 November 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


YAS: Hapuskan Ayahanda palsu

Posted: 23 Nov 2013 10:07 AM PST

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
badrul.isa@utusan.com.my

Syed Husain Al Shahab ketika berucap dalam Majlis Perasmian Seminar Kepimpinan Ayahanda-ayahanda SeMalaysia Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Yayasan Ayahanda SeMalaysia (YAS) mahu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas menerusi Op Cantas Khas terhadap pertubuhan-pertubuhan Ayahanda palsu ataupun individu menggelar diri sebagai Ayahanda yang terlibat dalam aktiviti jenayah termasuk kongsi gelap dan gangsterisme.

Pengerusi Eksekutif YAS, Syed Husain Al Shabab berkata, gesaan itu bagi membersihkan nama pertubuhan-pertubuhan Ayahanda lain serta mengembalikan imej gelaran itu yang kini dipandang serong oleh masyarakat.

"Apa yang dilaksanakan PDRM menerusi Op Cantas Khas dilihat amat berkesan, jadi selepas ini kami mahu pihak berkuasa bertindak lebih tegas terhadap kumpulan-kumpulan Ayahanda sama ada dari dalam kumpulan itu sendiri ataupun mereka yang tidak mempunyai pertubuhan.

"YAS akan memberi kerjasama kerana kami ada senarai nama pertubuhan-pertubuhan Ayahanda yang akan diserahkan kepada pihak PDRM," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Ayahanda-ayahanda SeMalaysia Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Beliau turut meminta pihak yang menggunakan gelaran Ayahanda supaya mengisytiharkan pertubuhan mereka.

"Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, kami akan meminta kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya mengambil tindakan dari sudut penguatkuasaan agama," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, penganjuran seminar yang julung kali diadakan itu adalah untuk menjenamakan semula pertubuhan-pertubuhan bertaraf Ayahanda di negara ini.

Tambah Syed Husain, situasi semasa memperlihatkan pertubuhan-pertubuhan Ayahanda berada dalam keadaan berkecamuk ekoran terdapat segelintir yang menggelar diri sebagai Ayahanda telah melakukan perkara negatif serta di luar batas agama.

"Ada yang menggelar diri antaranya sebagai 'Ayahanda Black' dan 'Ayahanda Tiger', malah dalam kalangan mereka dilihat mempunyai moral dan imej tidak baik seperti berambut panjang, bertindik telinga, mabuk serta terlibat dengan aktiviti kongsi gelap.

"Mereka ini tidak ada wadah perjuangan yang tepat tetapi hanya menggunakan gelaran Ayahanda tanpa hala tuju yang sebenar,'' katanya.

Isu kalimah: IRIMM lapor polis

Posted: 23 Nov 2013 10:07 AM PST

Amir Amsaa Alla Pitchay (tengah) bersama beberapa ahli IRIMM menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap seorang pemilik blog dan Wee Ka Siong berhubung isu kalimah Allah di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan seorang pemilik blog dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong berkenaan isu kalimah Allah.

Presidennya, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, pemilik blog berkenaan yang memaparkan imej seorang wanita memakai pakaian seperti syaitan bertanduk dua dan memegang tongkat sambil menyebut perkataan AAAAAAaaaaaaaLLLLLLlllllllll ... merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, artikel yang bertajuk 'Can Sing But Cannot Read Allah In Selangor' yang disiarkan dalam laman blog itu pada 17 November lalu dilihat menghina dan mempersendakan agama Islam.

"Tindakan blogger ini seolah-olah menyindir dan mempersendakan kalimah Allah serta sengaja menyentuh sensitiviti umat Islam.

"Mereka juga bertindak melampaui batas dan tidak menghormati umat Islam kerana sengaja menggunakan imej wanita bertanduk sambil menyebut perkataan yang berbunyi seperti Allah," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 11 pagi ini.

"Sementara itu, Amir Amsaa turut membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong yang tidak bersetuju dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung perkara itu.

Menurut beliau, Ka Siong dalam kenyataan kepada sebuah portal pembangkang pada 15 November lalu menyatakan tidak bersetuju dengan titah baginda yang melarang orang bukan Islam di negeri itu menggunakan kalimah Allah.

"Tindakannya yang mengeluarkan kenyataan seperti itu dianggap tidak menghormati pemerintah tertinggi di negeri Selangor.

"Baginda telah mewartakan bahawa penggunaan kalimah Allah hanya eksklusif untuk orang Islam sahaja dan bukan untuk agama lain. Jadi, Ka Siong seharusnya mengetahui perlembagaan dan enakmen yang tertakluk di negeri itu," katanya.

Banjir kilat berulang diatasi

Posted: 22 Nov 2013 11:24 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Johari Abdul Ghani (kanan) bersalaman dengan sebahagian penduduk Kampung Baru selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir kilat di Kampung Baru, Kuala Lumpur, malam semalam.

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Kebimbangan penduduk di Kampung Baru di sini mengenai masalah banjir kilat yang melanda kampung mereka bakal berakhir apabila peruntukan bagi menyelesaikan masalah itu diluluskan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, peruntukan sebanyak RM3.5 juta itu bagi membolehkan kerja-kerja penggantian rumah pam di Rumah Pam Kampung Baru yang sudah berusia lebih 15 tahun dilaksanakan.

Menurutnya, kegagalan rumah pam di situ berfungsi dengan sempurna menjadi punca banjir kilat di beberapa kawasan di Kampung Baru di sini berulang.

"Saya berharap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat melaksanakan kerja-kerja penggantian pam tersebut dalam tempoh terdekat dengan segera," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 130 keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir kilat di kawasan Kampung Baru pada 13 November lepas.

Pada majlis tersebut, setiap keluarga menerima sumbangan sebanyak RM300 melalui peruntukan khas daripada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi meringankan beban yang ditanggung ekoran kejadian.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), Naharudin Abdullah.

Sebelum ini dalam beberapa siri lawatan Johari ke Rumah Pam Kampung Baru dan beberapa buah kampung di Kampung Baru mendapati punca utama kejadian banjir kilat berulang disebabkan kegagalan rumah pam itu berfungsi dengan sempurna.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved