Rabu, 20 November 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Nasib Rajagobal Ahad ini

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Hamidin Mohd. Amin

KUALA LUMPUR - Tanda tanya mengenai kedudukan Datuk K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya selepas kekalahan 0-1 pasukannya kepada Qatar kelmarin, kemungkinan besar bakal terlerai pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Ahad ini.

Sekalipun tampak kecenderungan khidmatnya tidak dilanjutkan selepas 31 Disember ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menganggap, terlalu awal untuk membuat kesimpulan sebelum mesyuarat itu.

Biarlah Tuanku Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) yang akan mempengerusikan mesyuarat Exco itu, memutuskan sama ada hendak melanjutkan khidmatnya atau sebaliknya.

Namun pada dasarnya, kontrak Datuk Rajagobal dengan FAM memang berakhir 31 Disember, malah satu klausa untuk beliau merundingkan semula khidmatnya sebulan sebelum tarikh itu, masih terpakai," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Hamidin turut menolak untuk mengulas walaupun hanya mengenai kekalahan perlawanan Kumpulan D di Stadium Shah Alam itu yang semakin memalapkan peluang Malaysia untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia, buat kali pertama sejak 1980.

Namun, beliau mengakui peluang Safiq Rahim dan rakan-rakan ke Australia begitu tipis dengan baki satu perlawanan yang wajib dimenangi di Yemen pada 5 Mac 2014 sambil berharapkan keputusan empat pasukan tempat ketiga Kumpulan A, B, C dan E, lebih rendah daripada mereka.

Ada baki satu perlawanan tahun depan, namun apa-apa kemungkinan pun (berhubung kedudukan ketua jurulatih negara) masih perlu diperhalusi dalam mesyuarat Exco," katanya.

Jelasnya, kedudukan Rajagobal dan KPI (Indeks Utama Prestasi) pasukannya iaitu layak ke Piala Asia telah dibincangkan sejak awal tahun ini lagi oleh Jawatankuasa Teknikal FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden persatuan, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Justeru Hamidin menolak sebarang keperluan untuk menyaring kedudukan jurulatih itu secara berperingkat-peringkat menerusi jawatankuasa itu mahupun Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sebelum diketengahkan kepada Exco.

Ada kemajuan tapi tak cukup

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong (gambar) mengakui masih ada kemajuan daripada segi persembahan skuad Harimau Malaya kelmarin, namun sesebuah perlawanan bola sepak tidak boleh dimenangi selagi tanpa jaringan gol.

Katanya, sehebat atau segah mana pun barisan bimbingan Datuk K. Rajagobal menguasai perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 dengan Qatar itu, hakikatnya mereka telah gagal mencapai misi meraih tiga mata berharga di gelanggang sendiri, Stadium Shah Alam.

''Dalam bola sepak, jika anda tidak menjaringkan gol, maka pasukan itu tidak akan menang.

"Saya rasa ramai yang sudah menonton perlawanan itu dan telah maklum. Kalau boleh saya pun tidak mahu mengeruhkan keadaan lagi kerana MSN masih mahu bekerjasama dengan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dalam pembangunan sukan itu.

"Walaupun ada banyak perubahan (prestasi skuad negara) dan beberapa kali mereka mencemaskan pintu gol Qatar, kesemuanya masih tidak menjamin kemenangan.

"Kadangkala anda juga perlukan tuah walaupun kita tidak boleh terlalu bergantung kepadanya," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Zolkples, tuah terbukti memainkan peranan ketika skuad bawah 23 tahun juga bimbingan Rajagobal dan memiliki beberapa tonggak Harimau Malaya sekarang, mengakhiri kemarau pingat emas Sukan SEA selama 20 tahun di Laos 2009.

"Anda tentu ingat bagaimana kita dikalahkan Vietnam (3-1) malah kita diserang Thailand bertubi-tubi sebelum masih menang emas Sukan SEA dengan gol sendiri Vietnam (1-0)," katanya tanpa menjelaskan keinginannya untuk melihat sama ada tuah mampu kembali mengiringi Harimau Malaya ke pusingan akhir Piala Asia di Australia 2015.

Tuah juga dikatakan banyak mempengaruhi Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF 2010 buat kali pertamanya biarpun ramai pemerhati tanah air mulai meragui kemampuan skuad Rajagobal sebaik sahaja dibelasah Indonesia 5-1 pada peringkat Kumpulan A.

Jika masih ingin ke Australia, Harimau Malaya perlu memenangi perlawanan terakhir dengan Yemen di tempat lawan, 5 Mac tahun depan sambil berharapkan tuah daripada pencapaian empat pasukan tempat ketiga A, B, C dan E agar lebih rendah daripadanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved