Rabu, 20 November 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Amalan masak bubur asyura

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

Kumpulan De'Safa johan memasak bubur asyura mempamerkan kreativiti hiasan dan pakaian sempena pertandingan tersebut di Kampung Relong, Kuala Lipis, Pahang baru-baru ini.

KUALA LIPIS 20 Nov. - Bersempena dengan kemuliaan bulan Muharam, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Relong menerusi kerjasama pihak pengurusan masjid serta Rukun Tetangga mengadakan Karnival Bubur Asyura baru-baru ini.

Meneruskan tradisi itu, pertandingan memasak bubur tersebut berjaya menarik penglibatan 160 peserta dan dibahagikan kepada 16 kumpulan terdiri daripada ahli UMNO cawangan, perkumpulan wanita, pertubuhan belia, maahad tahfiz, Sekolah Kebangsaan (SK) Relong, koperasi dan penduduk kampung berdekatan.

Usaha itu juga menjadi tumpuan 1,500 penduduk dan pengunjung luar untuk menyaksikan pertandingan berkenaan yang bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir 12.30 tengah hari.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad yang bersama-sama memasak bubur asyura serta menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada pemenang.

Suasana itu bagaikan satu pesta dan dimeriahkan dengan nilai-nilai pemuafakatan.

Hakikatnya memasak bubur tersebut menuntut semangat gotong-royong kerana tidak cukup tenaga seorang individu untuk melakukannya.

Karnival itu memaparkan suasana kemeriahan dan keriangan penduduk kembali berkumpul dengan menyediakan ramuan, bergilir-gilir mengacau bubur sebelum bersama-sama menjamu selera selain turut dibawa pulang sebagai juadah istimewa masing-masing.

Ketua Kampung Desa Cemerlang Relong, Ishak Mohamad berkata, JKKK, masjid dan Rukun Tetangga terpanggil mengadakan program itu bagi mengeratkan hubungan sesama penduduk.

"Mesej kita iaitu memupuk semangat dan kerjasama antara pasukan yang bertanding serta meneruskan kesinambungan budaya memasak bubur Asyura secara berkumpulan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, karnival itu memaparkan komitmen peserta dalam menampilkan gaya kreatif menghiasi bubur itu seperti membuat bentuk kek cawan, kek lapis termasuk pakaian dan lain-lain.

Bubur yang sudah siap turut diagih-agihkan kepada 200 rumah sekitar kampung sebagai tanda ukhuwah dan memuliakan bulan Muharam.

Sementara itu, ketua panel hakim, Baharuddin Saaid berkata, setiap peserta bertanding mempunyai kemahiran tersendiri dalam menyediakan ramuan bubur hingga menyukarkan para hakim menentukan pemenangnya.

"Bagaimanapun kreativiti, disiplin dan kerja berpasukan tetap diambil kira untuk menjarakkan keputusan, sekali gus memilih kumpulan yang terbaik bagi pertandingan ini," katanya.

Tambahnya, pertandingan itu juga untuk mendidik para belia mempelajari cara memasak bubur asyura bagi mengambil alih daripada golongan berusia selain merapatkan hubungan sesama sanak saudara dari jauh dan dekat.

Dalam pertandingan itu, pasukan De'Safa muncul pemenang dan membawa pulang wang tunai RM100 manakala pasukan Maahad Tahfiz Relong kedua (RM80) dan Cucu Saaid, ketiga (RM70).

Dijadikan antara produk pelancongan di Lipis

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

KUALA LIPIS 20 Nov. - Kalangan pemimpin setempat menyambut baik penganjuran program Karnival Bubur Asyura di Kampung Relong di sini dan berharap menjadi salah satu aktiviti pelancongan di daerah ini.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, karnival itu boleh diperluaskan menerusi penyertaan agensi kerajaan dan Jawatankuasa Biro Agama dan Kebajikan UMNO Bahagian Lipis serta pentadbir mukim.

"Saya yakin penyertaan lebih ramai tentu lebih meriah dan memaparkan penyatuan umat Islam menerusi kegiatan di bulan Muharam setiap tahun," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis turut mencadangkan supaya karnival itu boleh dianjurkan dengan lebih meriah seperti diadakan di dataran bandar Kuala Lipis dengan membabitkan penyertaan agensi-agensi kerajaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh menjadi platform tarikan pelancong.

Pemangku Penghulu Mukim Telang, Abdullah Zawawi Kamaludin berkata, karnival berkenaan juga memupuk amalan penduduk saling bekerjasama dan semangat kerja berpasukan.

"Program ini menyemai semangat bergotong-royong dan menghayati budaya masyarakat Melayu dalam memasak bubur asyura sempena Maal Hijrah setiap tahun.

"Majlis ini juga menjadi pendedahan kepada anak-anak muda menyediakan masakan tersebut dengan dipantau golongan berusia selain mewujudkan suasana gembira menerusi pertandingan diadakan," katanya.

Bagi seorang warga emas, Jamiah Abdul Aziz, 59, beliau teruja melihat kesungguhan semua peserta yang memasak bubur itu kerana selama ini hanya dilakukan secara kecil-kecilan di masjid.

"Sebagai peserta, saya mementingkan ramuan memasak Asyura kerana diwarisi sejak sekian lama oleh orang tua mengikut tradisi masyarakat Melayu di sini," katanya.

Seorang belia Kampung Relong, Azmi Rais Akil, 30, pula menyifatkan pertandingan itu amat bertepatan untuk memupuk persaudaraan sekampung menerusi acara membabitkan ramai penyertaan dan pengunjung luar.

Paip perlukan RM4 bilion

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

KUANTAN 20 Nov. - Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) memerlukan peruntukan sebanyak RM4 bilion bagi tempoh 30 tahun untuk menyelesaikan segala masalah berkaitan bekalan air bersih di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM557.85 juta diperlukan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) iaitu sehingga 2015, manakala sehingga 2020 pula memerlukan sebanyak RM1.3 bilion dan RM2.1 bilion bagi tempoh 10 tahun berikutnya.

"Peruntukan tersebut melibatkan program antaranya meningkatkan 'reserve capacity', pembaikan sistem agihan, penggantian paip, penggantian paip komunikasi, mengadakan 'bundle storage', penggantian dan pembinaan tangki," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-13 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff (BN-Bebar) yang mahu kerajaan negeri menjelaskan jumlah peruntukan yang masih diperlukan Paip untuk mengatasi segala masalah berkaitan bekalan air bersih di Pahang.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Mohammad Fakhruddin mengenai tindakan kerajaan negeri dalam mengatasi masalah kualiti air yang dibekalkan penduduk di Nenasi, Pekan, Mohd. Soffi berkata, Paip telah mengambil tindakan jangka pendek bagi perkara itu.

Tambahnya, agensi itu telah melakukan pemulihan sistem rawatan air bagi menghilangkan masalah bau melalui sistem pengudaraan di Loji Air Nenasi.

"Bagaimanapun, masalah rasa dan mineral masih berlaku kerana air bawah tanah berada di paras yang rendah.

"Untuk jangka panjang, semua bekalan air di Nenasi akan diperoleh daripada sistem Loji Air Sepayang bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM48 juta," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved