Rabu, 20 November 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


UTHM perkenal 1Penghuni 1Sukan

Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
utusan.johor@gmail.com

SEBAHAGIAN daripada warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia menyertai pelancaran program 1Penghuni 1Sukan di Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.

BATU PAHAT 19 Nov. - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melancarkan program 1Penghuni 1Sukan dalam kalangan warganya bagi mewujudkan persekitaran dan penuntut yang sihat baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat UTHM, Shafry Salim berkata, program itu diperkenalkan oleh Kolej Kediaman Perwira bagi mengiringi polisi 1Murid 1Sukan yang dilancarkan kerajaan khusus untuk para pelajar di peringkat sekolah.

"Majlis pelancaran program itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Prof. Madya Dr. Ahmad Rizal Madar di Dataran Blok A, Kolej Kediaman Perwira di sini.

"Polisi 1Penghuni 1Sukan juga disemarakkan dengan konsep rumah sukan yang turut mula dikembangkan pada September lalu dengan semua penghuni di Kolej Kediaman Perwira menganggotai rumah sukan sama ada Scarlet (merah), Azure (biru), Harlequin (hijau) atau Aureolin (kuning)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pelancaran polisi itu dimulakan dengan aktiviti senamrobik, larian obor oleh penyelaras program sebelum diikuti ketua rumah-rumah sukan serta gimik perasmian dengan kemunculan skuad 'all-terrain vehicle' (ATV).

Tambahnya, majlis itu diteruskan dengan Kejohanan Merentas Desa Piala Pengetua Kolej yang diwakili oleh rumah sukan masing-masing.

"Iltizam utama polisi 1Penghuni 1Sukan adalah ke arah meningkatkan gaya hidup sihat dalam kalangan penghuni kolej kediaman.

"Program ini juga secara langsung dapat menjayakan Pelan Transformasi Mahasiswa Holistik Perwira dengan wawasan untuk melahirkan penghuni yang bukan sahaja cergas fizikal, malah cerdas minda," katanya.

78 pelajar Pontian sertai Kem Pendidikan 1Malaysia

Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST

SEBAHAGIAN daripada 78 pelajar bersama fasilitator menyertai program Kem Pendidikan anjuran Kolej Perdana UTM, dan YPJ di Kem Dayang, Pekan Nanas, Pontian, Johor, baru-baru ini.

PONTIAN 19 Nov. - Seramai 78 pelajar tingkatan 2, 3 dan 4 dari sekolah di daerah Johor Bahru menyertai Kem Pendidikan 1Malaysia peringkat negeri di Kem Dayang, Pekan Nanas, di sini baru-baru ini.

Program tahunan selama tiga hari anjuran Kelab Kem Pendidikan, Kolej Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu dibantu oleh 27 pemudah cara dari UTM.

Pengarah Projek, Muhammad Syafi Supa'at berkata, program tersebut turut mendapat kerjasama kerajaan negeri, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Awesome Minds dan 1Malaysia Fouth Youth (IMFU).

Beliau berkata, antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusajaya, SMK Selesa Jaya 2, SMK Skudai, SMK Taman Universiti 1 dan 2, SMK Kangkar Pulai, SMK Taman Pelangi dan Sekolah Tun Fatimah (STF).

"Selain aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK), turut disediakan aktiviti lasak seperti merentas hutan, 'flying fox' dan aktiviti yang menguji kekuatan mental dan fizikal setiap peserta semasa melakukan tugasan tersebut.

"Kami berharap pembaharuan yang dilakukan mampu meningkatkan keyakinan diri pelajar serta daya saing mereka dalam mengharungi cabaran dalam dunia pendidikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Muhamad Syafi berkata, program tersebut juga melibatkan modul motivasi seperti kemahiran berkomunikasi, kepimpinan serta kemahiran menjalankan LDK di bawah kendalian penuntut UTM.

"Penganjur berharap setiap aktiviti yang dilaksanakan mampu membina jati diri selain memupuk silaturahim dan kerjasama berpasukan antara peserta yang datang dari sekolah berlainan," katanya.

Menurutnya, program itu mampu menyedarkan peserta tentang pentingnya pendidikan pada masa depan serta meningkatkan pengetahuan dalam bidang komunikasi, kepimpinan dan interaksi bersama rakan sebaya.

Majlis penutupan program itu disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar YPJ, Mohd. Shukri Mohd. Masbah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved