Isnin, 4 November 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Mata pelajaran al-Quran di sekolah menengah, IPT

Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Kementerian Pendidikan dicadang memperkenalkan mata pelajaran al-Quran kepada pelajar Islam di peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi melahirkan golongan celik al-Quran.

Menurut Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abdul Rauf Hassan, pelaksanaan program Jawi, Quran dan Fardu Ain (JQaf) di semua sekolah rendah kepada murid beragama Islam perlu diperluaskan ke peringkat menengah dan IPT.

"Kebanyakan pelajar sekolah rendah boleh membaca al-Quran tetapi apabila beralih ke peringkat menengah dan IPT, mereka lupa cara membaca al-Quran dengan hukum tajwid yang tepat," katanya.

Beliau mengulas tentang masalah buta huruf al-Quran di negara ini yang membimbangkan kerana masih ramai umat Islam lemah dari segi bacaan tajwid yang betul.

Perkara itu didedahkan Pengarah Pusat Penyelidikan Al-Quran Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff dalam Seminar Memperkasakan Pengajian Ilmu Al-Quran di Akademi Pengajian Islam UM semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rauf berkata, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu mengambil langkah mewujudkan modul pembelajaran al-Quran yang mudah, cepat dan konsisten sebagai bahan pembelajaran.

"Kegagalan umat Islam di sini untuk menguasai tajwid dan sebutan huruf al-Quran yang betul kerana kebanyakannya menyebut huruf al-Quran dengan sebutan Melayu.

"Sebab itu, selain sekolah dan IPT, kita mesti menggalakkan setiap masjid mengadakan kursus belajar al-Quran dengan menggunakan satu modul atau silibus pengajaran yang betul dan sistematik," ujarnya.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad berkata, masalah buta huruf al-Quran boleh diatasi jika umat Islam menjadikan al-Quran sebagai penawar kepada penyakit hati.

"Usaha melahirkan golongan yang celik al-Quran penting kerana jika tidak ada usaha ke arah itu, jiwa umat Islam terutamanya golongan remaja kini akan menjadi kosong dan mudah terpengaruh kepada kemungkaran.

"Orang Islam perlu sedar bahawa al-Quran adalah petunjuk kepada orang mukmin dan Allah telah berfirman bahawa ubatilah hati kamu dengan dua benda iaitu al-Quran dan madu," katanya.

Menurutnya, masalah lemah bacaan tajwid bukan sahaja berlaku kepada kanak-kanak, malah remaja dan golongan dewasa.

"Penumpuan kepada pengajian al-Quran kini semakin kurang dan ada sesetengahnya boleh membaca al-Quran ketika kecil tetapi amalan itu tidak terus dihidupkan, akhirnya lupa untuk membacanya apabila meningkat dewasa," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved