Isnin, 4 November 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


PRK DUN Sungai Limau: 85.5 peratus keluar mengundi

Posted: 04 Nov 2013 01:56 AM PST

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

JERAI 4 Nov - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang berlangsung hari ini menyaksikan 23,249 atau 85.5 peratus daripada 27,222 orang pemilih keluar mengundi selepas 17 pusat pengundian ditutup pada pukul 5 petang tadi.

Jumlah itu menyaksikan penurunan peratusan keluar mengundi berbanding 89.3 peratus atau 24,406 orang pemilih keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Mei lalu.

Pengiraan undi dijangka bermula 6 petang di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan di sini.

SPR sebelum ini dilaporkan berkata, keputusan PRK DUN Sungai Limau akan diketahui selewat-lewatnya 9 malam ini.

PRK DUN Sungai Limau diadakan untuk mengisi kekosongan kerusi selepas kematian ADUNnya Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar.

Daripada 27,222 pengundi layak berkenaan 93 peratus Melayu, enam peratus Cina manakala selebihnya adalah kaum India dan kaum-kaum lain. - UTUSAN ONLINE

PRK DUN Sungai Limau: Pengiraan undi bermula

Posted: 04 Nov 2013 01:51 AM PST

YAN 4 Nov. - Pengiraan undi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau bermula pukul 5.30 petang di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan rasmi dapat diketahui seawal 9 malam ini.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertembungan antara calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim dan calon Pas, Mohd. Azam Abdul Samat.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong berikutan kematian Tan Sri Azizan Abdul Razak yang merupakan wakil rakyat kawasan itu sejak 1995.

DUN Sungai Limau mempunyai 27,222 pemilih berdaftar, meliputi 25,323 orang atau 93 peratus pengundi Melayu, 1,842 orang atau 6.7 peratus (Cina), 15 orang atau 0.6 peratus (India) dan selebihnya kaum lain. - BERNAMA

Muhyiddin mahu umat Islam pertahankan kesucian agama

Posted: 04 Nov 2013 01:43 AM PST

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Umat Islam diseru untuk menginsafi nikmat yang telah diperoleh dan terus mempertahankan kesucian Islam dengan menguatkan ukhuwah di kalangan mereka sempena bermulanya tahun baharu 1435 Hijrah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini sekali gus akan menjadikan Malaysia terus unggul sebagai sebuah negara Islam yang dihormati dan disegani.

"Saudara kita di negara lain yang umat Islam adalah minoriti, turut menyaksikan mereka tidak mampu memperjuangkan hak mereka.

"Sedangkan kita di Malaysia amat bertuah kerana menjadi negara Islam yang mendukung kesucian agama dan meletakkan Islam di tempat tertinggi," katanya dalam perutusan Maal Hijrah 1435H yang disambut esok.

Menurutnya, cabaran yang harus dihadapi bukan sahaja datang dari luar malah unsur dalaman perlu diberi perhatian supaya perjuangan selama ini untuk terus memelihara kesucian umat Islam dapat diteruskan.

Jelas Muhyiddin, apa yang paling penting semoga kedatangan Tahun Baharu Hijrahc ini akan menyuntik semangat serta kekuatan kepada umat Islam untuk bersatu ke arah menjadi umat yang terbaik.

"Semangat dan kekuatan itu mesti ada dalam kalangan umat Islam sekarang ini. Malah roh perjuangan pejuang-pejuang Islam terdahulu mesti subur di jiwa umat Islam agar martabat agama Islam terus dipelihara dan tidak dihina oleh sesiapa pun.

"Ini kerana musuh-musuh Islam tidak pernah berhenti untuk merosakkan agama kita. Ancaman zionis, kuasa barat dan timur sentiasa mencari peluang untuk menindas umat Islam tidak kira di ceruk dunia mana sekali pun," katanya.

Sambil mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharram 1435H kepada umat Islam, Muhyiddin berharap umat Islam menghayati dan menjadikan penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W. dari kota Makkah ke Madinah sebagai satu ilham dalam hidup mereka.

Katanya, ia penting untuk transformasi diri, keluarga dan masyarakat dalam menjadikan agenda Islam itu sebagai cara hidup yang mencakupi semua aspek. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved