Isnin, 4 November 2013

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Keunikan ladang ikan terbesar

Posted: 03 Nov 2013 10:34 PM PST

Pemandangan dasar laut yang menjadi habitat Karang.

SELAMA ini, aktiviti skuba dan memancing ikan mungkin dijalankan secara berasingan disebabkan beberapa halangan atau peraturan tertentu yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

Mereka yang menjalankan aktiviti skuba selalunya tertumpu di kawasan Taman Laut dengan dikelilingi ikan-ikan dan batu karang.

Namun, di kawasan Taman Laut, kegiatan menangkap ikan adalah dilarang sama sekali bagi memulihara khazanah laut yang ada.

Berbeza pula dengan kegiatan memancing, ia dilakukan di kawasan yang dibenarkan untuk berbuat demikian.

Namun, kita mungkin tidak terfikir apabila dua aktiviti berkenaan iaitu skuba dan memancing dapat dilakukan secara serentak di kawasan yang sama. Dengan kata lain, dapat dilakukan di kawasan yang dibenarkan.

Apabila perkara ini dapat dilakukan serentak, bagi para penyelam, mereka dapat melihat suasana yang berbeza kerana berpeluang melakukan aktiviti digemari sambil dikelilingi ikan-ikan komersial.

Bagi para pemancing pula, mereka pasti memperoleh hasil tangkapan yang lebih banyak memandangkan kawasan aktiviti tersebut terkenal sebagai lokasi pembiakan dan tumpuan ikan.

Sehubungan itu, di sekitar perairan Setiu, Terengganu, pihak Dorken Reef Resources yang pakar dalam menyediakan tukun dan unjam di seluruh negara, dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Setiu dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, telah mewujudkan lebih 80 tapak tukun dan unjam di situ.

Antara lain, tujuan asal mewujudkan tapak-tapak tukun dan unjam itu ialah bagi menambah pendapatan golongan nelayan.

Jangan terkejut jika diberitahu bahawa tukun dan unjam di perairan Setiu itu telah diwujudkan sejak 2005 dan kini ia berjaya membiak dan menghasilkan ribuan ikan-ikan komersial.

Berikutan kejayaan itu, satu daripada beberapa tapak tukun dan unjam itu kini dinamakan ladang Ikan.

Ladang ikan ini juga dianggap yang terbesar di seluruh negara berdasarkan keluasannya dianggarkan 5 kilometer persegi.

Gelaran Ladang Ikan dengan tukun dan unjam disediakan oleh Dorken Reef Resources itu juga berdasarkan terdapat ribuan ikan serta spesies hidupan laut lain yang mendiami kawasan berkenaan.

Buat pertama kalinya, Dorken Reef Resources, PNK Setiu dan LKIM Terengganu membuat pendedahan serta menguar-uarkan bahawa kawasan-kawasan tapak tukun dan unjam itu termasuk Ladang Ikan, kini sudah bersedia untuk menerima para tetamu luar termasuk penyelam dan kaki pancing.

Penyelaras Program Menyelam - Memancing di Ladang Ikan dan Unjam di Setiu, Mohd. Yussoff Ariffin memberitahu, selain didiami pelbagai jenis ikan komersial yang berjumlah ratusan ribu itu, kawasan-kawasan tukun dan unjam itu juga sesuai untuk aktiviti menyelam.

"Kawasan Ladang Ikan serta beberapa unjam lain seperti Unjam Jali, Tongkang Tenggelam dan Batu Timur, sesuai untuk aktiviti memancing dan menyelam.

"Malah, para penyelam akan mendapat kelainan apabila menjalankan aktiviti di kawasan ini kerana dapat menyelam bersama ikan-ikan komersial,'' katanya.

Setiap tukun dan unjam itu memiliki keunikan tersendiri.

Unjam Jali didiami oleh ikan-ikan komersial, Batu Timur pula memiliki terumbu karang semula jadi manakala Ladang Ikan itu sendiri didiami ikan-ikan bersaiz besar.

Menurut Mohd. Yussof, di kawasan berkenaan juga terdapat panorama yang menarik seperti kehidupan laut lain dalam bentuk mikro.

"Mulai sekarang, kawasan ini diperkenalkan kepada orang ramai untuk aktiviti menyelam dan memancing,'' katanya.

Malah, ikan-ikan komersial yang terdapat di kawasan ini juga ada yang bernilai tinggi di pasaran.

PNK Setiu bantu nelayan

Posted: 03 Nov 2013 10:34 PM PST

Tengku Anuar Tengku Mat sentiasa memantau projek ekonomi yang dilaksanakan pNK Setiu menerusi program turun padang.

SEBAGAI sebuah kawasan tepi laut, tidak dapat tidak mahu perlu diakui nadi pembangunan masyarakat kampung bergantung kepada usaha nelayan di kawasan Setiu

Terdapat 14 buah kampung yang terletak dalam kawasan pengurusan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Setiu yang ditubuhkan pada 1979.

Bagi semua PNK , matlamat penubuhan persatuan adalah jelas iaitu untuk meningkatkan taraf ekonomi dan sosial ahli serta keluarga , begitu juga PNK Setiu yang ahlinya berjumlah kira-kira 800 orang.

Pengurus Besar PNK Setiu, Tengku Anuar Tengku Mat berkata, bagi tujuan tersebut, persatuan tersebut banyak menjalankan projek dalam usaha menambah aktiviti ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup nelayan.

Terdapat sekurang-kurangnya tujuh projek ekonomi utama yang telah dan sedang dilaksanakan terutama berkaitan industri akuakultur.

Projek ternak air yang dijalan termasuk menternak ikan keli, puyu dan sepat yang dimulakan pada Disember 2011 dan beroperasi di Kg. Gong Batu.

Selain itu persatuan juga menjalankan penternakan tiram yang dimulakan pada 2009 tetapi tidak dikomersialkan, sebaliknya sebagai pelengkap kepada projek sedia ada.

Projek menternak ketam lembut pula cuba diperkenalkan Oktober 2011 sebagai projek percubaan dengan kerjasama sebuah universiti tempatan di negeri berkenaan.

Ketam diternak di dalam kotak gentian . Setiap set mempunyai 16 ruang dan mampu memuatkan ketam sebanyak 45 ekor setiap ruang dan terdapat empat set kotak ternakan.

''Projek ketam lembut kita jalankan dengan membuat percubaan pembenihan ketam nipah tetapi kurang berjaya disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu dan kualiti air yang tidak konsisten,'' ujarnya.

Beliau berkata, PNK Setiu juga mewujudkan projek ternakan ikan dalam sangkar iaitu ternakan siakap dan tilapia dan bermula sejak dua tahun lepas.

Menurut Tengku Anuar, sepanjang beroperasi, pendapatan daripada hasil jualan ikan mencecah RM60,000.

Satu lagi projek yang menarik dan berpotensi yang dilaksanakan oleh PNK Setiu ialah mewujudkan projek agropelancongan di pantai Rhu 10.

Ini termasuk membangunkan Nelayan Resort yang menyediakan kemudahan inap desa merangkumi pakej kursus, penginapan dan sajian makanan

Nelayan Resort mula operasi tahun 2000 dengan kemudahan 12 buah bilik penginapan (dorm dan bilik berhawa dingin), dewan kapasiti 150 orang serta padang rekreasi.

''Kita sedang menyediakan kertas kerja untuk membangunkan resort di atas tanah PNK dan menaiktaraf resort yangg sedia ada dengan menambah tempat riadah seperti pin ball dan kolam renang,'' ujarnya.

Sementara itu menurut Tengku Anuar projek nelayan yang telah dirancang berjalan seperti biasa.

Antara projek lain termasuk jualan minyak diesel, projek projek binaan dan juga Kumpulan Wanita Nelayan (Kunita )

Kunita antara yang aktif menjalankan aktiviti kedai dobi beroperasi di Nelayan Resort.

Pada masa sama PNK Setiu pernah mengadakan projek pemasaran lain termasuk udang dan membekal bahan mentah kepada resort

Beliau berkata, persatuan tersebut juga menawarkan pakej selam skuba untuk selama tiga hari dua malam bagi memperoleh lesen menyelam yang diiktiraf serta Dive D'Unjam iaitu program skuba ditapak unjam di perairan Setiu.

Pakej tersebut menjadikan kawasan di Rhu 10 dan Pulau Redang sebagai lokasi latihan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved