Jumaat, 25 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Sungai sempit punca bah besar

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my

Zambry Abdul Kadir melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Batu, Pantai Remis, Perak, kelmarin.

IPOH 24 Okt. - Kejadian banjir besar di Pantai Remis, Manjung yang menyebabkan lebih 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan ekoran banjir kelmarin didapati berpunca daripada sebatang sungai di kawasan tersebut tidak mampu menampung air yang terlalu deras.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau telah pun mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah Manjung supaya mengambil tindakan segera membesarkan laluan sungai berkenaan supaya masalah tersebut tidak berulang.

"Kita dapati ada sebatang sungai yang tidak mampu menampung laluan air yang deras di kawasan berkenaan iaitu di Parit Marikan di Sungai Batu.

"Pihak Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sendiri telah membuka laluan baharu untuk membolehkan air itu keluar. Masalah banjir besar di kawasan itu disebabkan air tidak boleh mengalir keluar apabila hujan lebat dan berlaku air pasang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Zambry yang turut meluangkan masa meninjau kawasan banjir berkenaan pada pukul 2 pagi semalam berkata, kerajaan negeri terus memantau situasi dan memberikan bantuan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri kepada mangsa-mangsa banjir.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota agensi kerajaan yang menunjukkan contoh yang baik bekerja sebagai satu pasukan sehingga mengatasi masalah itu dengan cara yang pantas," katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat Majlis Biodiversiti Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Zambry berkata, Pulau Sembilan, Pulau Jerjak dan Pulau Pangkor merupakan tiga buah pulau utama di negeri ini yang diberikan perhatian oleh Kerajaan Persekutuan dalam projek pemuliharaan terumbu karang.

Beliau berkata, di samping peruntukan yang akan diberikan oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri sedang menyediakan satu bajet bagi memulihara terumbu karang di kawasan berkenaan.

"Kita juga telah melaksanakan beberapa projek melalui pertubuhan termasuk Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia yang telah mewujudkan terumbu karang tiruan di kawasan berkenaan.

"Yang terbaharu, kerajaan negeri mendapat bantuan daripada syarikat Vale yang bersetuju bersama-sama membantu memulihara alam sekitar dan terumbu karang di kawasan sekitar Pulau Sembilan dan Pulau Pangkor," ujarnya.

Pasangan kekasih dicekup

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

Oleh AINSAFRE BIDIN
utusanperak@yahoo.com.my

Goh Kok Liang menunjukkan dua plastik berisi heroin yang dirampas daripada sepasang kekasih selepas ditangkap dalam sebuah kenderaan di pekan Langkap, Teluk Intan, Perak, semalam. - utusan/Ainsafre Bidin

TELUK INTAN 24 Okt. - Seorang lelaki dan teman wanitanya diberkas kerana disyaki terlibat dalam pengedaran pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM41,000 petang semalam.

Pasangan yang merupakan penganggur itu ditahan di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima pada pukul 2.45 petang di hadapan sebuah restoran di pekan Langkap di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis menemukan dadah jenis heroin dan syabu yang disembunyikan dalam sebuah beg berwarna biru di belakang tempat duduk kenderaan tersebut.

"Sebaik sahaja diperiksa kita menjumpai dua plastik lutsinar disyaki heroin dan syabu yang disorokkan di bahagian tempat duduk.

"Setiap satu mempunyai berat 755.6 gram dan 65.2 gram. Kita percaya ia belum sempat dijual di sekitar kawasan ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini hari ini.

Tambah beliau, suspek lelaki itu berusia 27 tahun dan mempunyai beberapa rekod jenayah manakala pasangannya berusia 26 tahun.

"Kita percaya mereka telah bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu dan kedua-dua berasal dari Pulau Pinang," katanya.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

2 ditahan cuba seludup keluar 876 ayam proses

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

Pembantu Hal Ehwal Islam Bahagian Penyelidikan Halal dan Hab Halal Jabatan Agama Islam Perlis, Dharulkhizan Mohamad (kanan) menunjukkan bahagian leher ayam tidak dipotong mengikut cara Islam kepada Zakaria Abd. Rahman (kiri) sambil dibantu Komander UPP Chuping, Asisten Supritendan, Syed Basri Syed Ali di Kompleks UPP Chuping, Padang Besar, Perlis, kelmarin.

PADANG BESAR 24 Okt. - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Chuping merampas 146 kotak berisi 876 ekor ayam siap diproses yang cuba diseludup ke negara jiran setelah menahan sebuah lori muatan lima tan di Ulu Pauh, Arau dekat sini kelmarin.

Dalam rampasan pukul 10.30 pagi itu, pasukan tersebut turut merampas 253 kotak hati ayam dan itik juga telah siap diproses yang kesemuanya diisi di dalam 40 guni plastik putih.

Komander UPP negeri, Deputi Supritendan Zakaria Abd. Rahman berkata, lori itu ditahan untuk pemeriksaan di Kilometer 24, Ulu Pauh ke Padang Besar.

"Hasil pemeriksaan menemukan ayam serta hati ayam dan itik yang siap diproses. Meskipun di luar kotak tertera logo halal tetapi kita mengesyaki haiwan itu tidak disembelih mengikut syarak.

"Berikutan itu, pemandu dan kelendan lori berusia 29 dan 30 tahun tersebut ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di UPP Chuping dekat sini hari ini.

Zakaria berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat mengesahkan sumber bekalan haiwan tersebut diperoleh dan kedua-duanya akan disiasat atas kesalahan salah guna logo halal di bawah Akta Perihal Perdagangan 2011.

Tambahnya, bagi individu, mereka yang melakukan kesalahan boleh dihukum denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali jika didapati bersalah.

Katanya, bagi kesalahan untuk syarikat pula, denda RM250,000 bagi kesalahan kali pertama manakala RM500,000 bagi kesalahan kedua.

Beliau berkata, kes itu akan diserahkan untuk tindakan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perlis.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved