Jumaat, 25 Oktober 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Liong Sik bebas tuduhan tipu

Posted: 25 Oct 2013 12:09 PM PDT

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

Ling Liong Sik di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam selepas dibebaskan daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung projek PKFZ.

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia membabitkan pembelian tanah seluas 335.8 hektar berjumlah RM1.08 bilion bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan demikian setelah mendapati bekas menteri Kabinet itu yang diwakili oleh peguam Wong Kian Kheong berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan utama dan dua pertuduhan pilihan yang dihadapi tertuduh.

Bekas Presiden MCA berusia 70 tahun itu didakwa menipu kerajaan dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd., (KDSB) di Pulau Indah, Klang bagi projek tersebut.

Dalam alasan penghakiman setebal 42 muka surat, Hakim Ahmadi antaranya menyatakan: "Liong Sik tidak boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang kesilapan, peninggalan, penyembunyian maklumat yang mengelirukan atau tidak tepat sama ada sengaja dilakukan ataupun sebaliknya seperti yang telah dibentangkan di dalam dua bahan bukti meskipun beliau menandatanganinya.

"Sebaliknya jika ada, kesalahan itu hendaklah diletakkan ke atas pegawai-pegawai Kementerian Pengangkutan yang merangka dan menyediakan dokumen tersebut.''

Hakim itu menyifatkan, Liong Sik dalam konteks pembelian tanah tersebut ternyata bukan satu-satunya di dalam Kementerian Pengangkutan sebaliknya beliau sekadar penghantar maklumat.

Liong Sik didakwa pertama kali di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 29 Julai 2010 dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan.

Beliau didakwa atas pertuduhan utama, dengan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sehingga mendorong persetujuan Jemaah Menteri membeli tanah tersebut.

Selain didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan, Liong Sik turut dibicarakan atas dua pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 417 kanun sama.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Dalam penghakimannya, Hakim Ahmadi turut menegaskan, tiada alasan yang cukup menyakinkan bagi beliau untuk menolak keterangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Dr. Fong Chan Onn.

Ini kerana, mereka bertiga adalah menteri yang menganggotai Kabinet ketika itu dan Kabinet membuat keputusan muktamad berdasarkan nota Kementerian Pengangkutan kepada Kabinet bertarikh 29 Oktober 2002.

Katanya, harga tanah RM25 skp bukanlah harga muktamad kerana kadar faedah terpaksa dibayar dan perlu ditambah melebihi harga pembelian tanah dan nilai terakhir tidak dapat ditentukan disebabkan tempoh pembayaran balik.

Oleh yang yang demikian, berdasarkan keterangan mereka, manfaat daripada keraguan mestilah diberikan dan memihak kepada Liong Sik.

Apabila Kabinet memutuskan untuk meluluskan pembelian tanah tersebut oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) daripada KDSB, Kabinet menyedari harga tanah RM25 skp tidak termasuk jumlah keseluruhan faedah yang perlu dibayar.

Justeru ujar Hakim Ahmadi, sekali lagi tiada sebarang kesilapan, peninggalan dan penyembunyian maklumat yang mengelirukan atau tidak tepat mengenai kadar faedah berhubung pembelian tanah yang didakwa dilakukan oleh Liong Sik.

Terdahulu, Liong Sik hadir di mahkamah pada pukul 9 pagi dengan ditemani oleh isterinya, Toh Puan Ena Ling dan dua anak lelaki mereka, Datuk Ling Hee Leong dan Ling Hee Kiat bersama isteri masing-masing serta rakan-rakannya.

Keputusan tersebut disambut dengan tepukan gemuruh oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya sebelum sempat Hakim Ahmadi bangun masuk ke kamar beliau.

Sementara itu, ketika disoal oleh pemberita mengenai pembebasan tersebut, Liong Sik sambil meletakkan jari telunjuk ke bibirnya hanya menyatakan: "Tiada komen.''

Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abd. Majid Tun Hamzah yang mengetuai barisan pendakwaan tidak hadir kerana masih bercuti selepas menunaikan ibadah haji di Mekah.

Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup yang turut mengendalikan pendakwaan kes itu pula memberitahu pemberita, pihaknya akan meneliti penghakiman tersebut terlebih dahulu sebelum memutuskan soal rayuan.

Haji Ekspres: 2 kakitangan TH diperintah bela diri

Posted: 25 Oct 2013 12:09 PM PDT

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan dua kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) membela diri atas pertuduhan mengubah suai kandungan pangkalan data sistem haji dan menerima rasuah untuk melangkau giliran mengerjakan ibadah haji atau 'Haji Ekspres', tiga tahun lalu.

Hakim Mat Ghani Abdullah memutuskan demikian terhadap juruanalisis kanan, Afizul Md. Yasin, 34, dan kerani, Roslan Mohamed Som, 47, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mahkamah menetapkan 29 November ini untuk kedua-dua tertuduh mula memberi keterangan membela diri. Pihak pembelaan dijangka mengemukakan enam saksi.

Afizul yang bekerja di Jabatan Teknologi Maklumat TH itu didakwa atas tiga tuduhan menggunakan komputer yang didaftarkan dengan model Elite Book 6930p membuat capaian ke pangkalan data TH dan memasukkan rekod jemaah haji dengan menggunakan program khas Win SQL tanpa kuasa.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya sedangkan dia mengetahui akan menyebabkan pengubahsuaian kandungan pangkalan data sistem haji untuk syarikat itu.

Roslan yang bertugas di bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Tabung Haji pula didakwa menerima suapan RM6,750 daripada Samsudin Ibrahim sebagai upah menolong melayakkan jemaah haji yang tidak layak menunaikan haji pada 2010 supaya dapat menunaikan ibadat itu pada tahun tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 3.30 petang dan 4 petang, 15 Julai 2010 di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved