Jumaat, 25 Oktober 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Bajet 2014: RM1.8 bilion dilabur untuk fasa kedua HSBB

Posted: 25 Oct 2013 03:06 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Kerajaan akan melaksana fasa kedua projek Jalur Lebar Kelajuan Tinggi (HSBB) dengan usaha sama sektor swasta melibatkan pelaburan RM1.8 bilion bagi meluaskan liputan ke bandar-bandar utama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata inisiatif itu bakal memberi tambahan liputan dan kemudahan kepada masyarakat, terutama di kawasan luar bandar merangkum 2.8 juta isi rumah di seluruh negara dan kelajuan Internet akan ditambah kepada 10 Mbp.

"Rangkaian HSBB akan diperluas ke kawasan pinggir bandar pada kos RM1.6 bilion, dengan capaian Internet ditambah kepada antara empat dan 10 Mbp, yang akan memberi manfaat kepada dua juta pengguna, katanya semasa membentangkan Bajet 2014 di Parlimen hari ini.

Bagi meningkatkan liputan Internet di kawasan luar bandar, Najib berkata 1,000 menara telekomunikasi akan dibangunkan dalam tempoh tiga tahun akan datang melibatkan pelaburan RM1.5 bilion.

"Bagi meningkatkan akses Internet di Sabah dan Sarawak, pemasangan kabel dasar laut baharu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun pada kos RM850 juta.

"Pelaburan ini akan menggunakan Dana Peruntukan Perkhidmatan Sejagat yang dikelola Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia," katanya. - BERNAMA

Bajet 2014: Tabung khas insfrastruktur pelancongan

Posted: 25 Oct 2013 02:57 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Tabung Khas Infrastruktur Pelancongan dengan peruntukan sejumlah RM2 bilion akan disediakan di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad bagi membiayai kos pembinaan infrastruktur berkaitan sektor pelancongan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini, berkata tabung tersebut akan menyediakan pinjaman mudah dengan kadar faedah rendah antara empat hingga enam peratus, di mana kerajaan memberi subsidi sebanyak dua peratus.

"Tabung ini dapat membiayai kos pembinaan infrastruktur seperti hotel, pusat peranginan, taman tema serta pembelian dan penggantian peralatan yang berkaitan dengan sektor pelancongan," katanya.

Bagi terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan, Najib berkata kerajaan akan meneruskan galakan pelaburan terutama bagi hotel baharu bertaraf empat dan lima bintang.

"Langkah ini dapat membantu menyediakan penginapan bertaraf antarabangsa yang mencukupi, sekali gus menarik kedatangan pelancong, terutamanya daripada kategori mewah dan berbelanja tinggi.

"Menyokong usaha ini, kerajaan mencadangkan tempoh permohonan galakan Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan dilanjutkan selama tiga tahun lagi sehingga 31 Disember 2016," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Sebagai usaha berterusan menggalakkan kemasukan pelancong, Najib mengumumkan tahun 2015 sebagai Tahun Perayaan dengan penganjuran dan pameran pelbagai program budaya dan perayaan di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion bagi tahun ini dan tahun depan dengan merangkumi aspek pengurusan dan pembangunan meliputi program promosi dan pengiklanan.

Beliau berkata Malaysia menyasar 28 juta pelancong pada Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014).

"Sektor pelancongan telah menjana pendapatan sebanyak RM65 bilion pada tahun ini dan berpotensi untuk dipertingkatkan," katanya. - BERNAMA

Bajet 2014: RM6 bilion untuk program pertanian

Posted: 25 Oct 2013 02:53 AM PDT

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6 bilion untuk pelaksanaan program pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi dan berdaya komersil.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata antara inisiatif utama ialah menubuhkan Food and Angro Council for Export (FACE) yang akan dipengerusikan oleh menteri pertanian dan industri asas tani yang bertindak sebagai pemudah cara untuk meningkatkan eksport produk pertanian tempatan.

Beliau berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) juga akan diperkukuh untuk memainkan peranan yang lebih strategik dengan konsep dari ladang ke pasaran eksport.

Najib berkata untuk memastikan kesegaran produk pertanian, kerajaan akan menyediakan kemudahan bilik sejuk di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Beliau berkata selain daripada meningkatkan eksport negara, ia juga dapat memberi pulangan yang lebih tinggi kepada para petani.

"Memandangkan permintaan dan harga yang tinggi, kita juga akan berusaha untuk meningkatkan eksport durian ke pasaran China," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sebanyak 60 pasar tani, 50 pasar ikan dan 50 karavan tani akan dibuka selain memperluas 100 buah gerai buah-buahan segar di seluruh negara yang akan dikendalikan oleh Fama dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang dapat memberi kemudahan kepada peniaga menjual secara langsung produk makanan kepada pengguna.

Beliau berkata kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM2.4 bilion bagi meneruskan bantuan subsidi dan insentif yang merangkumi subsidi baja, benih dan harga padi, insentif pengeluaran dan peningkatan hasil padi, subsidi harga beras serta insentif hasil tangkapan nelayan.

"Di samping itu, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM243 juta bagi tujuan pelaksanaan program tanaman semula getah, kelapa sawit dan koko serta program ladang hutan," katanya.

Najib berkata kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM634 juta di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara bagi meningkatkan produktiviti serta menghasilkan produk pertanian yang mempunyai permintaan tinggi.

Beliau berkata kerajaan juga akan melaksanakan projek ternakan udang kara di Semporna, Sabah dengan kerjasama syarikat multinasional untuk menghasilkan sebanyak 18,000 tan metrik yang dijangka dapat mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan dan membantu lebih 6,000 pengusaha tempatan pada jangka panjang serta meningkatkan pendapatan sehingga RM4,000 sebulan. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved