Rabu, 2 Oktober 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Cukai taksiran dinilai semula

Posted: 01 Oct 2013 11:19 AM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

AHMAD Phesal Talib (tengah) menjawab soalan peserta dalam Majlis Dialog Bajet 2014 Bersama Warga Kota di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menilai semula cukai taksiran terhadap 500,000 pegangan unit hartanah di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, penilaian kali terakhir yang dilaksanakan pada 1992 perlu dilakukan semula untuk menyelaras dan mengemas kini kepada paras nilai pasaran hartanah semasa.

"Setelah 21 tahun tidak dilaksanakan, penilaian semula itu perlu kerana ketidakseimbangan dalam nilai tahunan yang merupakan asas penentuan cukai taksiran di sesuatu kawasan hendaklah diperbetulkan.

"Langkah itu juga membolehkan DBKL meningkatkan hasil pendapatan yang boleh membantu kami memberikan perkhidmatan perbandaran yang lebih baik kepada warga kota ekoran sumber kewangan yang kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Dialog Bajet 2014 Bersama Warga Kota di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusop.

Bagaimanapun, kata Ahmad Phesal, keputusan selanjutnya bergantung kepada pihaknya sama ada untuk mengekal, menaikkan atau menurunkan kadar cukai yang dikenakan ketika ini.

"DBKL telah mendapat mandat daripada Menteri Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan penilaian semula itu sebelum menguatkuasakannya pada 1 Januari 2014," ujarnya.

Sementara itu, Bajet DBKL 2014 dijangka akan meningkat berbanding RM2.188 bilion yang diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tahun ini.

"Kemungkinan peruntukan akan meningkat tetapi bergantung kepada cadangan kita sekiranya mahu projek pembangunan infrastruktur dijalankan dan tiada peruntukan besar daripada Kerajaan Persekutuan, maka perlu dimasukkan dalam bajet DBKL.

"Tahun lalu kita beruntung kerana mendapat suntikan dana sebanyak RM1.49 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan beberapa projek di bawah Greater KL," katanya.

Tambahnya, antara program yang diberi perhatian termasuklah penekanan kepada aspek-aspek kebersihan bandar, kemudahan dan penyenggaraan prasarana, kesihatan awam dan alam sekitar, perumahan awam, keselamatan, kawalan pelesenan dan perniagaan serta penguatkuasaan.

"Setiap tahun, DBKL menyediakan peruntukan tetapi dari segi pelaksanaan masih banyak ruang boleh diperbaiki bagi memastikan matlamat dan peranan kami sebagai pihak berkuasa tempatan dipertingkat," katanya.

Dalam pada itu, majlis dialog yang bermula sejak pukul 9 pagi menyaksikan pihak-pihak berkepentingan seperti persatuan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan peniaga dan sebagainya melontarkan idea, isu dan pandangan masing-masing.

60 premis makanan diarah tutup di Selangor

Posted: 01 Oct 2013 11:19 AM PDT

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Sebanyak 60 daripada 257 premis menjual makanan telah diarahkan tutup dalam Operasi Gempur Premis dan Penggalakkan Kebersihan Makanan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor baru-baru ini.

Antara lokasi operasi termasuk Selayang Jaya, Gombak, Seksyen 13 di Shah Alam, Bandar Kajang dan pekan Sabak Bernam.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Azman Abu Bakar berkata, arahan penutupan itu dibuat selepas premis terlibat gagal mematuhi syarat-syarat kebersihan yang ditetapkan bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Menurutnya, operasi tersebut antara lain bertujuan menguatkuasakan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 di kawasan terlibat, memastikan premis makanan beroperasi dalam keadaan tahap kebersihan ditetapkan dan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan pengendali makanan tentang peraturan ditetapkan.

"Kehadiran lipas, lalat dan tikus bukan sahaja didapati di premis berkenaan, tetapi juga gagal mematuhi syarat penyediaan dan amalan pengendalian makanan yang bersih," katanya dalam kenyataan akhbar di sini.

Operasi tersebut melibatkan 216 anggota yang terdiri daripada Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Kesihatan Persekitaran yang telah diberi kuasa menjalankan aktiviti di bawah peruntukan Seksyen 4, Akta Makanan 1982.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Selangor sentiasa menjalankan pemeriksaan rutin ke atas premis makanan.

"Pada tahun 2012, sebanyak 10,021 premis diperiksa dan sebanyak 558 premis makanan telah diarahkan tutup kerana didapati tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan.

"Sehingga Julai 2013, sebanyak 7,490 premis diperiksa sebanyak 411 premis makanan yang diperiksa telah diarahkan tutup atas sebab sama," katanya.

Padang UKRC kini diurus MPAJ

Posted: 01 Oct 2013 11:19 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

ANGGOTA Penguat Kuasa MPAJ memotong kunci pintu untuk membolehkan mereka memasuki kawasan padang UKRC, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah menggantikan nama padang Kelab Rekreasi Ulu Klang (UKRC) kepada Padang MPAJ Kuala Ampang berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain berkata, nama baharu itu diberikan seiring dengan pengambilalihan pengurusan padang itu oleh MPAJ bermula hari ini.

"Kami harap selepas ini sesiapa yang ingin membuat tempahan Padang MPAJ Kuala Ampang berurusan terus dengan kami tanpa melalui UKRC.

"Namun, tempahan dibuat orang ramai sebelum ini menerusi UKRC masih boleh diteruskan. Kami tidak akan batalkan, cuma UKRC perlu beri balik yuran sewa yang telah dibayar," katanya di Ampang, dekat sini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pihak UKRC di padang itu.

Tambah beliau, orang ramai dibenarkan menggunakan gelanggang bola keranjang dan tempat letak kenderaan di padang tersebut secara percuma dan bayaran hanya dikenakan untuk menyewa padang bola sepak dengan kadar RM200 sejam.

Abdul Hamid turut mengesahkan bahawa dalam pertemuan hari ini, pihak UKRC tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh MPAJ.

"Mereka sama sekali tidak bersetuju dengan pengambilalihan ini dan akan membawa perkara ini ke mahkamah.

"MPAJ tidak menghalang tindakan tersebut kerana padang ini kepunyaan kerajaan negeri Selangor. Kita tunggu keputusan mahkamah," ujarnya.

Sebelum itu, pihak UKRC menghalang MPAJ daripada memasuki kawasan padang tersebut. Tindakan mereka telah menyebabkan MPAJ terpaksa memotong kunci pagar padang berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved