Rabu, 2 Oktober 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Pindaan Akta Cegah Jenayah lulus

Posted: 02 Oct 2013 12:12 PM PDT

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang antara lain memberi kuasa kepada Lembaga Pencegahan Jenayah mengeluarkan arahan menahan penjenayah selama dua tahun akhirnya diluluskan sidang Dewan Rakyat awal pagi Khamis.

Rang undang-undang yang hangat diperbahaskan diluluskan dengan suara majoriti di pihak penyokong kerajaan pada pukul 12.50 pagi (Khamis), setelah perbahasan berlarutan sejak pukul 11.30 pagi hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berada di dewan sehingga malam.

Sebelum rang undang-undang itu diluluskan, kedua-dua pihak, penyokong kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian aktif dengan mengemukakan pelbagai pandangan berhubung perkara tersebut.

Sebelum itu, rang undang-undang berkenaan telah dibacakan kali pertama oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 25 September lalu.

Terdahulu ketika menggulung perbahasan di peringkat dasar, Ahmad Zahid berkata, proses pindaan rang undang-undang itu turut melibatkan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara serta pegawai-pegawai Kementerian Dalam Negeri secara terperinci.

Sehubungan itu beliau berkata, dakwaan yang menyatakan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak berbincang dengan kerajaan dalam menghasilkan rang undang-undang itu adalah tidak benar.

Malah beliau berkata, para pegawai di Pejabat Peguam Negara telah melakukan yang terbaik dalam usaha menjaga kepentingan rakyat ekoran berlakunya pelbagai kegiatan jenayah.

''Pegawai di Pejabat Peguam Negara telah melakukan terbaik kerana mereka turut rasa terpanggil dengan jenayah yang berlaku. Kepentingan rakyat dipentingkan berbanding soal-soal teknikal. Tujuannya adalah untuk pencegahan dan pembanterasan jenayah," katanya.

Selain itu Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui seminar serta forum bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka berhubung rang undang-undang tersebut.

''Saya berfikiran terbuka dan berlapang dada untuk berunding dan kita tidak melakukan sesuatu secara semberono kerana apa yang kita lakukan adalah sesuatu yang dibuat untuk menangani masalah penjenayah," katanya lagi.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, rang undang-undang itu tidak bertujuan sama ada secara tersurat atau tersirat untuk menahan mereka yang memegang jawatan politik, sebaliknya khusus untuk menahan penjenayah.

''Memang tiada niat dan tujuan tersurat atau tersirat untuk menahan mereka yang memegang jawatan politik walaupun berlaku perbezaan pendapat. Lagipun di dalam pindaan ini tiada kuasa menteri berbanding kuasa menteri di dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

''Di dalam ISA, menteri ada kuasa mutlak dan beliau boleh tandatangan penahanan. Namun, di dalam pindaan ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah arahkan Peguam Negara menyebut perkara itu kerana kerajaan tidak mahu diimplikasikan berlaku salah guna kuasa menteri," katanya.

Atas asas itu juga Ahmad Zahid berkata, Lembaga Pencegahan Jenayah ditubuhkan di dalam pindaan itu dan dianggotai tiga orang ahli dan mungkin lima orang dan mereka terdiri daripada pengamal undang-undang.

''Niat Perdana Menteri untuk membuat transformasi politik jelas terpancar pada pindaan ini. Tujuannya adalah untuk tangani jenayah berat," katanya lagi.

Tiga penjenayah ditembak mati

Posted: 02 Oct 2013 12:12 PM PDT

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my

Khalid Abu Bakar (kanan), Hadi Ho Abdullah (dua dari kiri) dan Acryl Sani Abdullah Sani (kiri) melihat barangan yang dirampas selepas polis berjaya menembak mati tiga penjenayah dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik, Perak, semalam.

GERIK 2 Okt. - Tiga penjenayah yang dikehendaki kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah termasuk bunuh, curi kenderaan dan samun bersenjata ditembak mati setelah berbalas tembakan dengan polis di Jalan Intan dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 1.40 pagi itu, polis terpaksa menembak kesemua suspek berusia 25 hingga 34 tahun setelah mereka melepaskan tembakan ke arah polis yang cuba menahan mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ketika kejadian, penjenayah yang ditahan oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan Op Cantas Khas telah memberhentikan kereta Proton Wira yang dinaiki sebelum mereka secara tiba-tiba mengundurkan kenderaan tersebut.

Beliau berkata, penjenayah kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis menyebabkan anggota pasukan keselamatan terbabit terpaksa membalas tembakan untuk mempertahankan diri.

"Kumpulan penjenayah dari Kelantan ini telah melepaskan beberapa das tembakan sehingga memaksa polis membalas semula tembakan yang membunuh kesemua mereka," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Hadi Ho Abdullah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kumpulan penjenayah tersebut terlibat dalam kes bunuh seorang peniaga nasi kukus di Paka, Terengganu, dua cubaan bunuh membabitkan ibu tunggal di Kuantan, Pahang dan tiga kes samun bersenjata.

Katanya, pemeriksaan dalam kereta suspek pula menemukan dua pucuk pistol iaitu jenis .38 di bawah paha sebelah kanan penumpang dan sepucuk pistol jenis .22 di bawah tempat kaki pemandu, selain peralatan digunakan untuk memecah masuk rumah dan mencuri kenderaan.

Tambah beliau, siasatan juga mendapati kumpulan terbabit aktif melakukan kegiatan jenayah sejak awal tahun ini dan kesemua mereka memiliki rekod kesalahan lampau.

"Dengan tertumpasnya kumpulan ini, kita percaya telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes jenayah dan kini sedang mengenal pasti sama ada terdapat saki baki ahli kumpulan mereka yang masih bebas.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan suspek melakukan jenayah di seluruh negara dan kini sedang mengatur strategi untuk melakukan jenayah di daerah ini," katanya.

Katanya, mayat semua suspek dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved