Isnin, 2 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Pelajar jangan mudah leka

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusanperlis@utusan.com.my

Syed Faizuddin Putra Jamalullail memperkatakan sesuatu ketika melawat salah sebuah apartmen untuk pelajar UniMaP di UniCITI, Sungai Chuchuh sempena sesi kemasukan pelajar di Arau, Perlis, semalam. Turut kelihatan, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (empat dari kanan); Naib Canselor UniMaP, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Hussin (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Proven Holdings, Datuk Yusof Jusoh (tiga dari kanan).

ARAU 1 Sept. - Pelajar yang terpilih menyambung pelajaran di menara gading disaran tidak mudah leka sebaliknya mereka perlu terus berusaha dengan menyimpan tekad untuk menggenggam ijazah dalam tempoh tiga atau empat tahun.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha itu bertepatan dengan impian setiap pelajar apabila berjaya menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi (IPT).

"Sebagai pelajar, mereka mempunyai sikap menghormati pensyarah yang merupakan guru dan sumber kepada pelajar," titah baginda selaku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam majlis Taklimat Waris dan Suaikenal Sempena Hari Pendaftaran Pelajar UniMAP 2013 di Kampus Pauh Perdana di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor UniMAP.

Titah baginda, pelajar seharusnya bekerja keras ketika menuntut ilmu sepanjang berada di IPT.

"Ingatlah, tanpa mengira siapa pun atau latar belakang, kita adalah rakyat Malaysia yang perlu sama-sama menjaga keamanan yang kita miliki agar dapat terus bernafas dengan penuh sebuah keharmonian," saran baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, rakyat seharusnya tidak boleh lari daripada menerapkan tiga elemen penting dalam kehidupan mereka iaitu menghormati agama, bangsa dan negara.

Raja Dr. Nazrin sampaikan sumbangan kepada wira negara

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

Raja Dr. Nazrin Shah bersalaman dengan sebahagian daripada anggota tentera pada Majlis Minum Petang sempena Hari Kemerdekaan di Dataran MBI, Ipoh, Perak, kelmarin. - UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin

IPOH 1 Sept. - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan menyampaikan sumbangan kepada beberapa wira negara yang berjuang menentang pengganas di Lahad Datu, Sabah serta anggota pasukan Batalion Malaysia (Malbatt 5) yang terkorban dalam nahas di Lebanon baru-baru ini.

Sumbangan itu disampaikan dalam majlis jamuan teh sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 peringkat negeri Perak di Dataran Bandaraya Ipoh (MBI) di sini semalam.

Turut berangkat, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir serta isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk S.K. Devamany; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd. Ghazali Jalal serta beberapa Exco kerajaan negeri Perak.

Dalam majlis itu, Raja Dr. Nazrin menyampaikan sumbangan kepada anggota komando VAT 69 yang tercedera dalam Op Daulat iaitu Sarjan Mejar Sakarani Hashim, Koperal Mohd. Tarmizi Hashim, Koperal Azman Ampong, Koperal Rizahuddin Ahmad, Lans Koperal Mohammad Nursabry Jaya dan Konstabel Mohamed Qaiyum'aiqal Zolkipli.

Baginda turut menyampaikan bantuan kepada wakil keluarga komando VAT 69 yang terkorban iaitu Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud.

Selain itu, balu kepada anggota Malbatt 5, Aniza Ariffin turut menerima sumbangan daripada Raja Dr. Nazrin Shah bagi pihak suaminya, Sarjan Rosdi Mohamad Zan, yang meninggal dunia dalam nahas di Lebanon baru-baru ini.

Sementara itu, Zambry ketika berucap dalam majlis tersebut mengajak rakyat mensyukuri serta menghayati semangat kemerdekaan dengan sepenuh hati selain menyemai rasa bangga, taat setia kepada raja dan negara.

Beliau berkata, penghayatan tersebut perlu dikekalkan secara istiqamah supaya semangat tersebut tidak luntur dalam kalangan generasi akan datang.

"Nikmat kemerdekaan sukar ditutur dengan lidah, digambarkan dengan pemikiran serta dijelaskan oleh perasaan. Namun, kita hanya dapat menikmatinya melalui pengalaman hidup, justeru kebebasan yang dimiliki hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya demi menjamin keamanan negara," katanya.

Indeks jenayah Kedah turun

Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT

ALOR SETAR 1 Sept. - Indeks jenayah di Kedah menurun sebanyak 12 peratus dalam tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, dalam tempoh sama juga sebanyak 5,214 kes dicatatkan berbanding 5,933 kes pada tahun lalu.

"Bagi kes yang diselesaikan untuk Januari sehingga Julai lalu adalah sebanyak 2,199 kes berbanding 2,777 kes tahun lalu.

"Jenayah kekerasan mencatatkan sebanyak 1,117 kes berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 1,153 kes dengan kadar penurunan sebanyak 3.12 peratus.

"Penurunan indeks jenayah ini adalah kerana kita telah menyelesaikan banyak kes kecurian kenderaan sekali gus membendung jenayah lain berkaitan," katanya selepas majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab akan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan Pentadbiran Bukit Aman mulai 9 September ini dan tempat beliau diambil alih Datuk Zaleha Abdul Rahman berkuat kuasa hari ini.

Zaleha sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan Pentadbiran Bukit Aman.

Abdul Ghafar mula berkhidmat di negeri ini pada 2007 sebagai Ketua Jabatan Pengurusan sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Daerah Kota Setar pada 2008 seterusnya menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Kedah pada 2010.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved