Ahad, 29 September 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Bekas tentera perlu tampil

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my

Noh Omar menyampaikan sumbangan yang diterima oleh Yang Dipertua Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Selangor, Raja Kamaruddin Raja Abdul Wahid (tengah) sempena mesyuarat agung tahunan persatuan tersebut di Klang, semalam. - MINGGUAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI

KLANG 28 Sept. - Bekas anggota keselamatan yang pernah berjuang mempertahankan negara daripada ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) perlu turun padang untuk menceritakan pengalaman mereka kepada masyarakat terutamanya generasi muda yang keliru dan 'buta sejarah'.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, ini bagi membolehkan fakta tentang ancaman PKM yang telah diputar belit oleh pihak tidak bertanggungjawab dapat diperbetulkan.

Beliau berkata, ini sekali gus dapat menyedarkan mereka yang buta sejarah ini tentang jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan terutama yang gugur demi mempertahankan keamanan negara daripada anasir yang cuba menjadikan Malaysia sebagai negara komunis.

"Mereka yang keliru dan buta sejarah ini sanggup mengagung-agungkan seorang pengkhianat negara yang juga pemimpin PKM, Chin Peng dan menggunakan alasan hak asasi manusia.

"Tetapi mereka lupa yang hak asasi beribu keluarga pasukan keselamatan dan mereka yang terkorban kerana keganasan komunis yang juga perlu dijaga," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Tentera Tidak Berpencen Selangor di sini petang ini.

Dalam pada itu, Noh turut mengajak rakyat Selangor agar menyokong titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tentang Chin Peng.

"Saya percaya baginda banyak mengetahui tentang sejarah dan kalau baginda bertitah Chin Peng seorang pengkhianat, maka sebagai rakyat Selangor adalah menjadi kewajipan kita untuk menyokong dan menjunjung titah baginda," ujar beliau lagi.

Sementara itu, dalam sidang akhbar terdahulu di i-City, Shah Alam dekat sini, Noh memberitahu, UMNO Selangor akan mengadakan retreat yang melibatkan semua pemimpin bahagian dan sayap yang memenangi pemilihan bagi mengeratkan hubungan dan perpaduan antara mereka.

Tambah beliau, majlis retreat selama tiga hari dua malam itu akan berlangsung di Awana, Genting Highlands.

"Kita juga akan turun ke setiap bahagian selepas pemilihan ini bagi menyatukan semula pergolakan antara pemimpin dan ahli jika ada.

"Kita akan kuatkan kembali perpaduan dan membuat blue print hala tuju pemimpin baharu yang akan kita bawa menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 kelak," katanya.

21,000 staf Maybank sertai CR 2013

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

Abdul Farid Alias (tengah) turut sama meregangkan badan sebelum menyertai program jalan kaki amal sejauh tiga kilometer bersama 40 orang kanak-kanak cacat penglihatan dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak yang turut disertai 1,300 kakitangan Maybank di perkarangan Menara Maybank, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Sambutan Maybank Global Community Responsibilty (CR) 2013 yang diadakan hari ini secara serentak di semua cawangan bank itu di seluruh dunia disertai oleh 21,000 kakitangannya.

Sambutan Hari CR yang bertemakan Connecting Global Communities merupakan satu lagi kejayaan kumpulan Maybank kerana mencatatkan jumlah penyertaan yang lebih banyak daripada sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, peningkatan penyertaan dalam kalangan kakitangan Maybank itu sungguh membanggakan.

"Kita juga turut mengekalkan misi yang sama pada tahun sebelumnya iaitu memberi manfaat kepada masyarakat.

"Di samping ingin menunjukkan kesungguhan untuk kekal di dalam hati masyarakat, fokus utama program tersebut adalah bagi memastikan pembangunan kerohanian dapat dipertingkatkan dalam kalangan kakitangan dan organisasi," katanya selepas pelepasan Hand-in-Hand Charity Walk with Friends for the Blind di sini hari ini.

Program tersebut yang diadakan hari ini melibatkan murid cacat penglihatan yang berjalan berpasangan bersama salah seorang kakitangan Maybank sejauh tiga kilometer di sepanjang Jalan Raja Chulan, Jalan Sultan Ismail dan Jalan P.Ramlee.

Program ini telah berjaya mengumpul dana berjumlah RM52,000 yang akan disalurkan bagi membiayai projek sekolah di tiga sekolah bersepadu, tiga sekolah golongan istimewa dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Abdul Farid turut memberitahu bahawa nama Pengarah Presiden Bank Internasional Indonesia (BII) akan diumumkan minggu depan.

Pemandu teksi maut, kenderaan rempuh penghadang jalan

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

Keadaan teksi mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 457.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala utara dekat Restoran Jejantas Sungai Buloh, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Seorang pemandu teksi maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas lalu melanggar penghadang jalan di Kilometer 457.9, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah Utara, berdekatan Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini awal pagi ini.

Kejadian pukul 3.30 pagi itu menyebabkan kenderaan tanpa penumpang yang dipercayai dipandu laju oleh mangsa, K. Irathianathan, 57, berpusing beberapa kali sejauh kira-kira 80 meter.

Mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved