Ahad, 29 September 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Cadangan agihan BR1M dua kali tahun depan - Ahmad Husni

Posted: 29 Sep 2013 01:13 AM PDT

IPOH 29 Sept. - Kerajaan bercadang melaksanakan agihan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak dua kali pada tahun depan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, selain itu kaedah penyaluran BR1M juga mungkin dibuat melalui transaksi kepada akaun bank penerima.

Sungguhpun begitu, beliau berkata, nilai BR1M hanya akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, 25 Okt ini.

"Kita telah menyediakan draf pertama yang telah dibentangkan kepada perdana menteri, jadi sekarang kita sedang memperkukuhkan lagi pemberian BR1M.

"Nilai sebenar masih belum dipastikan lagi, tetapi ia lebih daripada RM500 yang diberi sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Rakyat Ehsaniah di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan II, Gugusan Manjoi di sini hari ini.

Katanya, kaedah agihan BR1M sebanyak dua kali ini membolehkan penerima menggunakannya secara berhemat berbanding pemberian sekaligus.

Ahmad Husni berkata, apabila dasar rasionalisasi subsidi dilaksanakan, kerajaan juga sedang meneliti model bantuan terbaik bagi membantu golongan yang mempunyai pendapatan keluarga RM4,000 sehingga RM5,000.

"Kerajaan juga melihat bagaimana mahu membantu golongan ini. Ia lebih kepada konteks apabila kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi, kita juga menyatakan kerajaan akan terus membantu, tetapi kita bantu mereka ini dalam bentuk yang lain, yang ini perinciannya saya tidak boleh beritahu, kita tunggu pembentangan belanjawan nanti," katanya.

Agihan BR1M 1.0 kepada golongan yang layak mula dilaksanakan oleh kerajaan pada 2012.

Bagi BR1M 2.0 yang terkandung dalam pembentangan Belanjawan 2013 oleh Najib di Parlimen pada 28 Sept 2012, bantuan tunai RM500 diberi kepada rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan sementara individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM2,000 sebulan layak menerima bantuan RM250. - BERNAMA

PRK Sungai Limau: SPR mesyuarat Khamis

Posted: 29 Sep 2013 01:09 AM PDT

PUTRAJAYA 29 Sept. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis depan (3 Okt) di ibu pejabatnya di sini untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, di Kedah.

Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said berkata SPR menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi DUN N.20 Sungai Limau daripada Dewan Undangan Negeri Kedah awal hari ini.

"Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan mempengerusikan mesyuarat khas yang akan membincangkan tarikh seperti hari penamaan calon, hari pengundian awal, hari pengundian biasa dan daftar pemilih yang akan digunakan.

"Selepas itu akan diikuti dengan satu sidang media oleh Pengerusi SPR," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak Khamis lepas.

Azizan, bekas Menteri Besar Kedah meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar berikutan jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai.

Allahyarham menjalani rawatan lebih empat bulan berikutan masalah kesihatan yang serius. - BERNAMA

Jemaah Malaysia keempat meninggal akibat serangan jantung

Posted: 29 Sep 2013 01:04 AM PDT

MAKKAH 29 Sept. - Seorang lagi jemaah haji Malaysia, Shafei Othman, 63, meninggal dunia akibat serangan jantung di sini malam tadi.

Pengarah Operasi Media Tabung Haji (TH), Anis Zuhani Ahmad berkata, Shafie adalah jemaah keempat yang meninggal dunia akibat serangan jantung di tanah suci.

Beliau dilaporkan meninggal dunia pukul 9.30 malam ketika berada dalam bilik penginapan di Maktab Disyarah Al Mawadah di sini.

Shafie berasal dari Felda Tenam, Jertih, Terengganu datang ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji bersama isterinya Rafidah Mat Husin pada 26 Sept lepas.

Jenazah Shafie diurus oleh TH dan akan dikebumikan selepas solat subuh di tanah perkuburan Syara'ek.

Sebelum ini, tiga jemaah warga emas dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Madinah dan Makkah. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved