Ahad, 29 September 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Mohon bina masjid, surau diteliti - JAIJ

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

Mohd. Anizam Jamian (empat dari kiri) menyerahkan tongkat mimbar kepada Ibrahim Md. Amin sebagai simbolik penyerahan Masjid Jamek Kampung Simpang Kiri, Pontian, Johor, baru-baru ini.

PONTIAN 28 Sept. - Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) akan meneliti secara terperinci setiap permohonan membina masjid atau surau bagi memastikannya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat.

Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan JAIJ, Mohd. Anizam Jamian berkata, permohonan itu harus diteliti sebaik mungkin kerana didapati sesetengah masjid atau surau tidak digunakan sepenuhnya.

''Beberapa aspek perlu diambil kira termasuk bilangan jemaah atau kariah di kawasan itu supaya permohonan tersebut benar-benar menepati keperluan penduduk.

"Jika ada permohonan bagi membina masjid baharu hanya untuk 40 jemaah, pasti tidak sesuai berbanding dengan kos pembinaan melebihi RM1 juta,'' katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan Masjid Jamek Kampung Simpang Kiri, Permas dekat sini kepada Pengerusinya, Ibrahim Md. Amin baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengurus Jabatan Pengurusan Projek Johor Corporatian (JCorp), Mohd. Tahir Hamdan; Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Daerah Pontian, Muntaha Tuah dan Penghulu Mukim Sungai Karang, Zool Suhaifi Hassim.

Masjid yang dibina dengan kos RM1.2 juta dibina oleh JCorp bagi menggantikan masjid lama yang usang dan tidak selamat lagi digunakan oleh penduduk.

Mohd. Anizam berkata, masjid jamek itu merupakan yang ke-57 berjaya dilaksanakan di bawah projek Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di negeri ini bagi meningkatkan kemudahan kepada umat Islam.

"Daripada 89 masjid yang diluluskan oleh JAIJ, 57 siap dibina, manakala bakinya sedang dan akan dilaksanakan secara berperingkat- peringkat," katanya.

Sementara itu, Ibrahim yang mewakili penduduk kampung berkenaan bersyukur dan gembira dengan siapnya masjid yang dinantikan pihaknya sejak 30 tahun lalu kerana dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi keselesaan para jemaah untuk mengerjakan solat dan mengadakan aktiviti keagamaan.

"Masjid sebelum ini berusia lebih 60 tahun yang dibina daripada kayu manakala ruang solat terhad dan tidak dapat menampung jemaah ramai terutama pada Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Beliau berharap, penduduk serta jemaah dapat terus mengimarahkan masjid baharu itu dengan aktiviti yang dirancang oleh pihaknya supaya memberikan faedah kepada semua pihak.

Senam elak penyakit jantung

Posted: 28 Sep 2013 12:43 PM PDT

Ayub Rahmat (dua dari kiri) melepaskan peserta berbasikal sambil diperhatikan oleh Chin Wei Jia (kiri) sempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2013 di Pasir Gudang, Johor, semalam. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 28 Sept. - Masyarakat dinasihat sentiasa melakukan senaman 'setimpal' dengan pengambilan makanan terutama mengandungi kolesterol tinggi yang menjadi punca penyakit kardiovaskular dan jantung.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, pengambilan makanan berserat tinggi, rendah lemak, kurang garam dan berhenti merokok mampu membantu mengelakkan penyakit jantung yang menjadi pembunuh nombor satu di negara ini.

"Bersenam boleh membakar kolesterol dalam badan, namun kadangkala pemakanan yang diambil tidak setimpal dengan kadar senaman yang dibuat.

"Ada yang mengambil makanan berat dan tinggi kolesterol, tetapi kurang bersenam. Sepatutnya mereka perlu ambil tahu tahap kolesterol yang ada dalam makanan dan melakukan senaman yang boleh membakar kolesterol itu untuk mendapatkan gaya hidup sihat," katanya setelah melepaskan 250 penunggang basikal yang menyertai kayuhan sejauh 20 kilometer bermula di pekarangan Hospital Pakar Regency sempena sambutan Hari Jantung Sedunia 2013, di sini hari ini.

Beliau dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad kemudian sama-sama merasmikan sambutan Hari Jantung Sedunia 2013 itu.

Yang turut hadir Pesuruhjaya Persekutuan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA), Datuk Benjamin Hasbie; Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Ruslan Zainuddin, Ketua Lembaga Pelawat hospital berkenaan yang juga Pengurus Besar Seri Alam Properties, Frankie Tan Kiat How dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Regency, Chin Wei Jia.

Program tersebut mendapat sambutan baik dengan dihadiri lebih 1,000 orang khususnya penduduk di kawasan Seri Alam.

Selain berbasikal, turut diadakan acara berjalan kaki sejauh enam kilometer, pemeriksaan kesihatan percuma, sesi bertanya kepada doktor pakar, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak dan cabutan bertuah bagi para pengunjung.

Sementara itu, Benjamin yang turut menyertai acara berbasikal bersama Ruslan dan kumpulan berbasikal Happy Riders Connect menyambut baik usaha yang diambil hospital berkenaan seiring dengan matlamat Iskandar Malaysia ke arah masyarakat rendah karbon.

"Sasaran kita jelas, kita akan wujudkan lorong berbasikal bukan sahaja di Nusajaya tetapi di semua flagship dalam Iskandar Malaysia. Dalam usaha ini, kita akan berusaha untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya selain menerapkan berbasikal sebagai satu budaya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved