Jumaat, 6 September 2013

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Kurung untuk semua usia

Posted: 05 Sep 2013 09:40 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar JEFFRI IRAN

Baju kurung kain kapas tetap ada penggemar tersendiri.

Baju kurung merupakan fesyen yang tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan. Baju kebanggaan orang Melayu sejak sekian lama ini, tetap utuh bertahan hingga sekarang.

Bukan hanya menjadi pilihan untuk ke majlis, malah amat sesuai dipakai sama ada ke pejabat, kuliah, kenduri, berjalan-jalan dan sebagainya.

Keselesaan dan nampak sopan antara sebab mengapa baju kurung menjadi pilihan ramai semua golongan umur termasuk muda dan tua.

Bagi mendapatkan lebih keselesaan dan bersesuaian dengan cuaca negara ini yang panas sepanjang tahun, ramai lebih gemar memakai baju kurung kain kapas.

Butik Bungor merupakan pelopor baju kurung kain kapas memandangkan ramai yang mulai menyedari keselesaan fabrik ini. Sekali mencuba pasti akan jatuh cinta sehingga menjadikan tabiat membeli baju kurung kain kapas satu kelaziman.

Keindahan corak dan warna baju kurung kain kapas Bungor turut menjadikan koleksi butik ini mempunyai pelanggan tetapnya sendiri.

Dimiliki oleh Rozila Ahmad, katanya, bagi meningkatkan mutu dan keselesaan kain kapas, dia memilih kain kapas satin dan kain kapas sutera jacquard yang diimport dari Jepun.

Menurutnya, kain kapas asas dicampurkan dengan elemen satin bagi menghasilkan tekstur fabrik yang lebih lembut dan berkilat. Fabrik juga nampak lebih mewah seakan-akan sutera.

Fabrik diadun pula dengan corak jacquard untuk kelihatan lebih mahal kerana corak atau paten jacquard ditenun pada benang-benang fabrik tersebut dan bukannya dicop.

"Ini membuatkan fabrik tersebut lebih mewah dan nampak klasik.

"Dengan itu, peminat kain kapas masih dapat merasai keselesaan dan keistimewaannya selain pada masa sama mendapat kelebihan yang terdapat pada satin dan sutera," kata Rozilah.

Koleksi Bungor terkini turut menampilkan warna dan corak-corak yang lebih mewah dan menonjol. Corak-corak bunga dan polka dot yang diminati ramai pada tahun-tahun lalu kini digantikan pula dengan corak-corak paisley dan abstrak.

Mengekalkan potongan pelbagai rekaan baju kurung seperti kurung Pahang, kurung moden, kurung pesak gantung dan kurung pesak Johor, potongan dan rekaan baju kurung ini kekal sepanjang zaman.

Boleh dimiliki pada harga di antara RM129 sehingga RM219, banyak saiz untuk digayakan oleh pelbagai potongan badan.

Coklat resipi sendiri

Posted: 05 Sep 2013 09:40 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar ZAKARIA IDRIS

Tengku Muazam Kamal Tengku Mahmood (kanan) dan Aimilia Omar turut membantu menyiapkan tempahan pelanggan untuk cenderahati perkahwinan.

MENYEBUT coklat, pasti ramai yang menelan air liur. Coklat bukan sahaja menjadi makanan kegemaran kanak-kanak malah ramai di kalangan orang dewasa yang suka makan coklat.

Ada yang menjadikan coklat sebagai pengganti makanan asas kerana kesibukan dengan tugas dan coklat boleh dimakan semasa sedang bekerja.

Bukan itu sahaja malah terdapat juga mereka yang mesti makan coklat selepas sahaja makan nasi bagi menyedapkan rasa mulut.

Melihatkan coklat yang menjadi penggemar ramai orang, pasangan suami isteri, Tengku Muazam Kamal Tengku Mahmood, 33, dan Aimilia Omar, 31, membuka perniagaan membuat coklat, iaitu AOM Food Industries.

AOM Industries atau Aimilia Omar Muazam yang terletak di Selayang Utama, Selayang, Selangor, kini telah enam tahun beroperasi di kedai sendiri setelah pada awalnya pasangan suami isteri itu hanya menjalankannya di rumah.

Mengimbau bagaimana penglibatan mereka dalam perniagaan coklat ini, Tengku Muazam atau ringkas dipanggil Azam, yang ditemui di premis mereka baru-baru ini berkata, sebenarnya bidang perniagaan bukan baru baginya.

Selepas memperoleh Ijazah Sains Komputer dari Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau membuka sebuah kafe siber dalam kawasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sambil dibantu oleh isterinya.

Pada masa yang sama, Aimilia turut membuat kek dan dijual di kafe siber tersebut secara suka-suka sahaja. Aimilia kemudian mengikuti kursus membuat coklat, kek, roti dan pastri.

Gambar-gambar hasil daripada kursus tersebut kemudian dimuat turun dalam Internet.

Kata Azam lagi, tidak sampai setengah jam selepas itu, Aimilia mendapat tempahan tat buah untuk dihantar ke KLCC.

Walaupun Aimilia memiliki Ijazah Kejuruteraan Reka Bentuk dan Pembuatan Komputer dari Universiti Malaya, minatnya amat mendalam dalam bidang perniagaan makanan seperti kek dan coklat.

''Bermula daripada situ, kami mengambil keputusan untuk berniaga secara serius dan sepenuh masa.

''Kami memilih coklat kerana cara pembuatannya yang lebih mudah, tidak renyah dan boleh dibuat stok kerana ia tidak akan rosak. Coklat yang kami beli ialah separa siap yang kemudian akan diproses mengikut resipi sendiri.

''Produk utama kami yang berlabelkan Grandeur ialah bar coklat dan praline yang berbentuk bunga ros dan sebagainya mengikut kehendak pelanggan. Keistimewaan praline kami ialah intinya yang berperisa durian, mangga, oren, strawberi dan pisang. Kebanyakannya dibuat daripada kajian yang kami lakukan dengan menggunakan resipi sendiri,'' ujar Azam, anak bongsu tiga beradik ini.

Menurut beliau lagi, dalam sebulan, syarikatnya boleh mengeluarkan antara 400 kilogram hingga 800 kilogram coklat bergantung kepada musim. Jika musim raya dan perkahwinan, permintaan akan lebih meningkat.

Mendapat bekalan coklat daripada sumber tempatan yang disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), perbezaan produk coklat yang dikeluarkan oleh AOM ialah 100 peratus buatan tangan dan rasanya menepati cita rasa masyarakat Malaysia.

Tambah Azam yang juga Setiausaha Persatuan Pengeluar Coklat Malaysia, terdapat empat variasi coklat, iaitu pahit, lemak, manis dan kurang manis. Coklat tersebut akan ditambah pula dengan campuran pes, kacang dan susu. Turut dihasilkan ialah coklat susu, coklat hitam dan coklat putih.

Hasil kegigihan mereka, ujar Azam, produk coklat AOM Food Industries telah dipasarkan ke 28 cawangan di tujuh buah negeri, iaitu Selangor, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, dan Kuala Lumpur.

Mereka turut berjaya menembusi pasaran di lima buah pasar raya AEON, iaitu di Wangsa Maju, AU2, Rawang, Ipoh Stesen 18 dan Seri Manjung.

''Selain itu, kami banyak menerima tempahan membuat hamper coklat untuk korporat, hantaran pertunangan dan perkahwinan.

''Bagi pasangan yang hendak memberikan cenderahati perkahwinan mereka berupa coklat, kami akan meletakkan gambar dan nama pengantin pada bar coklat yang hendak diberikan. Harga yang kami kenakan tidak melebihi RM3 bagi coklat seberat 45 gram.

''Kami mengalu-alukan mereka yang ingin menjadi ejen dan menambah pendapatan supaya menghubungi kami di 017-6352432 atau layari Facebook coklat.my,'' kata Azam yang turut mendapat bantuan Lembaga Kokok Malaysia dan Jabatan Pertanian.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved