Selasa, 2 Julai 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


LKIM diminta lebih prihatin

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

Oleh OTHMAN YAHAYA
utusankedah@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada peraih dan peniaga di Pasar Bisik Kuala Muda membuat bantahan aman meminta LKIM tidak campur tangan berkaitan urusan pentadbiran persatuan mereka dalam menguruskan pasar berkenaan di Penaga, semalam.

KEPALA BATAS 1 Julai - Ahli Persatuan Pasar Bisik Kuala Muda (PKBM) di Penaga hari ini mengadakan demonstrasi aman menuntut Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tidak mengambil hak mereka mentadbir Kompleks Pasar Bisik dan Jeti Kuala Muda yang dibangunkan oleh Jabatan Parit dan Saliran (JPS) di situ.

Demonstrasi hampir sejam itu digunakan kumpulan peniaga dan peraih untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dan kekecewaan mereka terhadap pihak pengurusan LKIM yang didakwa tidak pernah menjaga kebajikan mereka di situ.

Timbalan Pengerusi PBKM, Mohd. Noor Ibrahim, 54, berkata, sejak penubuhan persatuan itu oleh Persatuan Penduduk Kuala Muda Penaga lebih puluhan tahun lalu, segala usaha menjaga kebajikan ahli membabitkan peraih dan peniaga di situ diurus sendiri tanpa diambil tahu oleh LKIM.

Beliau berkata, pihaknya yang mengurus semua soal perniagaan di sini, kebajikan peraih dan peniaga serta membantu membangunkan lokasi ini hingga menjadi pusat kegiatan ekonomi penduduk, khususnya kaum nelayan setempat.

"LKIM langsung tidak pernah datang menyalurkan khidmat nasihat, menghulur bantuan tetapi sebaik Projek Tebatan Banjir Sungai Muda (PTBSM) dimulakan, mereka telah campur tangan terutamanya dalam soal pentadbiran membabitkan persatuan kami.

"Sikap tidak profesional LKIM terserlah apabila turut membelakangkan kebajikan tujuh peniaga di sini serta mengarahkan mereka berpindah dan menawarkan pampasan tidak setimpal," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Peraih, Yusuf Ibrahim, 52, berkata, kewujudan PBKM telah memberikan banyak faedah kepada peraih dan peniaga di sini hingga menjadikan lokasi pasar bisik ikan di situ dikenali ramai.

"PBKM memainkan peranan cukup aktif termasuk berganding bahu dengan bekas wakil rakyat kawasan itu membina sebuah bangunan pendaratan ikan untuk nelayan memasarkan hasil tangkapan mereka.

"Begitu juga dalam soal kebajikan seperti melibatkan kes kemalangan di laut, peruntukan derma kepada keluarga nelayan yang membabitkan kematian dan sumbangan kepada institusi masjid, semuanya digerakkan sendiri oleh PBKM tanpa bantuan LKIM," katanya.

Sebelum ini, nelayan di kawasan itu berurusan dengan peraih yang menjadi ahli PBKM di tepi muara Sungai Muda di Penaga tetapi selepas projek tebatan bakal dilaksanakan di lokasi itu, sebuah kompleks baharu dibina untuk menggantikannya.

Namun, masalah yang timbul dan menjadi tanda tanya kepada peraih dan peniaga di situ kenapa pentadbiran kompleks berkenaan diambil alih oleh LKIM yang sepatutnya diteruskan pentadbirannya oleh PBKM.

Seorang peniaga gerai makan, Syarifah Rohizam Syed Abdul Rahman, 43, berkata, sebaik dimaklumkan yang projek tebatan banjir itu akan dilaksanakan, dia telah diarah berpindah ke kompleks berkenaan dengan dibayar pampasan sebanyak RM5,000.

"Saya tidak mahu berpindah ke situ kerana pampasan itu terlalu kecil dan tidak berupaya menebus ganti rugi perniagaan yang diusahakan lebih 20 tahun lalu.

"Berniaga di sini tidak perlu menjelaskan sewa, sebaliknya jika menggunakan ruang gerai yang baru disediakan, saya perlu menjelaskan sewa RM50 sebulan, tambahan ruang gerai yang disediakan sempit berbanding lokasi sekarang," katanya.

Peniaga, Robaiaf Seman, 54, berkata, sejak puluhan tahun berniaga di sini, pendapatan yang diperolehnya cukup lumayan hingga boleh menyara tujuh orang anak.

Katanya, jika berpindah ke tempat baharu tentunya akan menjejas pendapatannya yang kini bergelar ibu tunggal kerana terpaksa bersaing dengan peniaga lain berikutan banyak ruang niaga diwujudkan di kompleks itu.

"Pampasan yang diberikan juga tidak cukup menggantikan modal dahulu, selain terpaksa pula menjelaskan sewa bulanan yang membebankan," katanya.

Agong berkenan berangkat ke majlis sambutan Jubli Emas SMSAH

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersalaman dengan bekas pelajar SMSAH yang hadir sewaktu majlis Santapan Malam Jubli Emas SMSAH di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah, malam kelmarin.

KUBANG PASU 1 Julai - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mencemar duli menghadiri majlis santapan malam sempena sambutan Jubli Emas Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (SMSAH) di Dewan Wawasan di sini semalam.

Majlis tersebut diadakan untuk meraikan Hari Ulang Tahun Ke-50 SMSAH dan mengeratkan silaturahim antara alumni sekolah itu.

Presiden Alumni SMSAH, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, majlis santapan itu juga menjadi wadah untuk alumni mengukuhkan jaringan sosial antara satu sama lain.

Katanya, sempena dengan sambutan Jubli Emas SMSAH itu, sebuah yayasan iaitu Yayasan Alumni SMSAH telah dilancarkan bagi mengukuhkan kewangan Persatuan Alumni SMSAH.

"Melalui yayasan ini kita dapat mengumpul dana secara lebih sistematik dan dapat menghulurkan sumbangan untuk dimanfaatkan oleh para pelajar SMSAH.

"Sempena jubli emas ini juga kita telah menyumbangkan sistem pendingin udara di Dewan Sultan Abdul Halim iaitu dewan serbaguna yang baharu di SMSAH," katanya ketika berucap dalam majlis santapan malam sempena sambutan tersebut di Dewan Wawasan di sini.

Mohamed Mustafa yang juga Naib Canselor UUM berkata, SMSAH yang menjunjung nama Yang di-Pertuan Agong sejak ditubuhkan 50 tahun lalu telah mencipta banyak sejarah tersendiri.

"Sekolah ini telah diisytiharkan sebagai sekolah berasrama penuh (SBP) secara rasmi pada 1 Januari 1972 dengan menerima pelajar dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Sekolah kebanggaan kita ini juga pernah menjadi Pusat Matrikulasi bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1975 hingga 1986.

"Pencapaian SMSAH semakin maju apabila dianugerahkan status sekolah berprestasi tinggi oleh Kementerian Pendidikan pada 2010 dan kita berharap kecemerlangan sekolah ini akan terus berkekalan," katanya.

Pertingkat promosi slogan baharu Kedah

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

Oleh ABD RAZAK OSMAN
utusankedah@utusan.com.my

SUNGAI PETANI 1 Julai - Jabatan Penerangan Kedah akan membanyakkan program mempromosi penggunaan slogan baharu 'Kedah Aman Makmur' bagi membolehkan seluruh penduduk negeri ini mengetahui intipati dasar yang dibawa kerajaan.

Pengarahnya, Dr. Haniff Hassan berkata, tanpa berbuat demikian, pihak-pihak tertentu akan terus membuat pelbagai andaian tidak berasas tentang maksud slogan terbabit.

"Sebelum maklumat itu dijelaskan kepada masyarakat, kakitangan Jabatan Penerangan sendiri perlu prihatin terlebih dahulu tentang perkara itu. Sehubungan itu, kita akan melatih kakitangan untuk memahami perkara ini dan seterusnya mengadakan pelbagai program untuk mempromosi slogan baharu kerajaan negeri Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Analisis Pilihan Raya Umum Ke-13 dan Perancangan Gerak Saraf Perang Saraf Peringkat Negeri Kedah dekat sini semalam.

Sebanyak 40 peserta mengikuti kursus selama tiga hari itu.

Haniff berkata, pihaknya sedia membuat apa sahaja yang terbaik agar slogan diperkenalkan oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir itu dapat mencapai sasarannya.

"Semua pihak perlu buka minda jika ingin kepada perubahan dan imej kerajaan negeri menjadi lebih terserlah, jika semua pihak memahami slogan itu," katanya.

Beliau menegaskan, selain kakitangan jabatan, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik perlu diberi kefahaman secara lebih jelas tentang perkara tersebut.

"Sebagai kakitangan kerajaan, kita sendiri perlu memberikan kerjasama terhadap setiap program yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved