Selasa, 2 Julai 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Pelantikan guru besar, pengetua berdasar penilaian

Posted: 02 Jul 2013 02:45 AM PDT

MUHYIDDIN Yassin menunjukkan buku National Profesional Qualification Educational Leaders (NPQEC) pada majlis perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-20 dan pelancaran Repositori Institut Aminuddin Baki, di Institut Aminuddin Baki, Genting Higlands, Pahang hari ini. - UTUSAN

GENTING HIGHLANDS 2 Julai - Mulai tahun depan, proses pelantikan pengetua dan guru besar akan dimantapkan lagi dengan memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, proses pelantikan itu akan dibuat berdasarkan latihan dan penilaian yang dilaksanakan untuk bakal pengetua dan guru besar melalui Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) yang dijalankan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB).

Beliau berkata, selain itu, penilaian akan turut dibuat berdasarkan kemampuan bakal guru besar dan pengetua melaksanakan tanggungjawab mereka, sifat kreativiti dan inovasi mereka di samping mempunyai rekod cemerlang dalam kerjaya mereka sebagai guru.

"Tahun depan, pelantikan guru besar dan pengetua adalah berdasarkan penilaian, bila ada kekosongan, jawatannya akan diisi oleh guru yang terbaik, kita akan ambil kira soal ujian dan pencapaian yang dicapai oleh guru ini berdasarkan kursus yang mereka jalani.

"Tujuan kita supaya kita menempatkan kepimpinan sekolah iaitu pengetua dan guru besar yang terbaik daripada kalangan terbaik, bermakna mereka haruslah melalui proses penilaian dari segi tahap kepimpinan dan perkara lain yang berkaitan dengan kemampuan mereka melaksanakan tanggungjawabnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan ke-20 di IAB di sini hari ini.

Muhyiddin berkata ia dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara ini selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di mana antara anjakan paling penting dalam pelan itu ialah keupayaan guru dan kepimpinan di sekolah.

"Kalau sekolah itu berjaya, antara faktor utama ialah daya kepimpinan di sekolah itu, iaitu pengetua dan guru besar, latihan sudah bermula tetapi proses penilaian itu akan dibuat berdasarkan kursus yang telah mereka lalui dan pencapaian yang lain," katanya. - BERNAMA

Gegaran gempa Aceh dirasai di negeri pantai barat

Posted: 02 Jul 2013 02:39 AM PDT

KUALA LUMPUR 2 Julai - Gegaran dirasai di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Melaka berikutan satu gempa bumi bermagnitud 6.1 pada skala Richter di Sumatera Utara, Indonesia pada 3.37 petang ini.

Jabatan Meterologi dalam satu kenyataan berkata gempa itu berpusat di 65km Barat Daya dari Lhokseumawe, Indonesia dan 385km Barat Daya dari Balik Pulau, Pulau Pinang.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dikesan.

Di Pulau Pinang, lebih 100 orang yang berada di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) keluar dari bangunan itu setelah merasai gegaran bangunan setinggi 65 tingkat itu.

Seorang saksi, Nurul Amarlina Mohamad Adam Yap, 25, berkata beliau terasa pening selama beberapa minit dan tidak menyangka ia adalah kerana gegaran bumi.

"Saya ingat saya yang pening, kemudiannya ramai yang terasa juga dan baru kami sedar berlaku gempa bumi," katanya di sini.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba Jalan Perak ketika dihubungi berkata pihaknya menerima banyak panggilan mengenai gegaran itu dan mengesahkan ianya adalah akibat gempa bumi di Sumatera Utara.

"Bagaimanapun tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dan setakat ini bomba tidak menerima sebarang panggilan kecemasan," kata beliau. - BERNAMA

Zakat fitrah di Kelantan kekal RM7 - Maik

Posted: 02 Jul 2013 02:16 AM PDT

KOTA BHARU 2 Julai - Kadar zakat fitrah di Kelantan pada tahun ini kekal sebanyak RM7 manakala kadar nisab mata wang bagi tahun 1434 Hijrah pula ialah sebanyak RM13,900 untuk haul antara Ramadan 1434 hingga 1435 Hijrah.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Kamaruddin Mohd. Zin berkata, pihaknya telah melantik seramai 611 orang amil terdiri daripada imam-imam masjid di setiap mukim dan pegawai agama di kem-kem tentera, balai-balai polis serta pusat-pusat tahanan untuk memungut zakat fitrah.

"Adalah dijangkakan kutipan zakat fitrah bagi tahun ini ialah sebanyak RM8 juta berbanding RM7.9 juta tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak satu peratus," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved