Jumaat, 5 Julai 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Doa suami mohon isteri berubah makbul

Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT

SETIAP suami pasti mahu isterinya dihormati dan menjadi perhatian orang kerana sikap mereka yang baik, berbudi pekerti dan bersopan santun serta berpakaian sedap memandang.

Namun ada juga yang tidak ambil kisah disebabkan percaturan hidup yang kebaratan. Mereka lupa pada adat resam, budaya dan menganggap apa yang mereka suka, mereka akan pakai, orang lain peduli apa. Jika tidak ikut edaran masa, dan menjaga penampilan, dikatakan kolot dan kekampungan.

Kenapa saya kaitkan isu pakaian dalam ruangan Sembang minggu ini?. Sebabnya ada cerita menarik tentang penampilan untuk dikongsi dengan pembaca. Ia kisah benar dan diceritakan sendiri kepada saya oleh seorang suami yang melahirkan rasa lega kerana isterinya sudah berubah dan mengikut kehendaknya menjadi muslimah sejati.

Begini kisahnya.

"Saya Asmadi (bukan nama sebenar) berusia awal 30-an dan bertugas di sebuah syarikat yang beroperasi di selatan tanah air. Saya telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak yang sedang membesar.

"Isteri saya, Mazlin (bukan nama sebenar), seorang pegawai pemasaran yang sangat aktif. Dia bekerja 24 jam kerana di rumah juga, dia tidak berenggang dengan komputer ribanya.

"Ada sahaja kerja yang akan dilakukannya walaupun ketika di rumah. Penampilan isteri memang mendapat pujian di pejabatnya. Dia sangat bergaya orangnya dan sentiasa mengikuti perubahan fesyen.

"Pakaian ke pejabat setiap hari menjadi pujian rakan-rakan sekerja terutama kliennya. Dia memang cantik tetapi tidak di mata saya sebagai suami.

"Setiap bulan, Mazlin akan menghabiskan wang gajinya untuk membeli pakaian baharu, mekap dan apa sahaja barang yang dia ingini. Saya tidak pernah menghalang kerana tidak mahu kami bermasam muka kerana perkara kecil.

"Saya masih boleh bersabar dengan penampilannya yang tidak sepatutnya dipamerkan kepada orang ramai tetapi terus melayan kerenahnya kerana tidak mahu bergaduh.

"Selalu juga saya ingatkan Mazlin tentang hukum agama mengenai pakaian seorang wanita dan isteri di sisi Islam. Jawapannya tetapi sama, masih belum sampai masa.

"Saya nak kerja bang...mana boleh pakai tutup, nanti klien tak berminat nak jumpa." Saya beritahu dia, soal kerjaya ini bukan terletak pada pakaian tetapi bagaimana kita berdepan dengan orang ramai dan cara kita meyakinkan mereka untuk membeli produk atau bekerjasama dengan kita.

"Pakaian cuma subjektif, boleh ditentukan oleh kita sendiri mengikut kesesuaian tempat dan keadaan. Itulah yang selalu saya katakan kepadanya.

"Dalam hati dan setiap kali solat, saya selalu berdoa agar satu hari nanti Mazlin akan berubah dan berpakaian menutup aurat seperti mana yang saya inginkan.

"Gaya hidup Mazlin turut ditegur oleh keluarga saya dan keluarga dia sendiri. Kata mereka, saya tidak pandai mengajar isteri dan membimbingnya ke arah yang lebih baik.

"Saya mengaku saya gagal tetapi tidak bermakna saya tidak mencuba. Saya yakin satu hari nanti Mazlin akan berubah dan sedar kedudukannya sebagai isteri dan menantu.

"Baru-baru ini, tergerak hati saya untuk mengadakan kenduri kesyukuran dan majlis tahlil untuk arwah keluarga saya. Ramai juga tetamu yang saya jemput termasuk keluarga kedua-dua pihak.

"Saya turut menjemput seorang ustaz untuk memberi ceramah yang mana dalam ceramahnya saya minta dia selitkan tentang peranan wanita dalam rumah tangga dan juga kehidupan menurut Islam.

"Dalam majlis itu, ramai juga kawan-kawan pejabat saya dan kawan isteri dijemput. Kebanyakan teman sekerjanya bergaya moden. Saya tak kisah sebab mereka boleh sesuaikan pakaian dengan majlis.

"Banyak yang ustaz sentuh dalam ceramahnya itu. Tentang dosa-dosa wanita yang tidak taat kepada suami, tinggalkan sembahyang dan tidak menutup aurat. Saya perhatikan sepanjang majlis berlangsung, ada yang menangis terutama ketika doa dibaca. Kebanyakan tetamu wanita menangis termasuk isteri saya.

"Sehingga majlis selesai, mereka masih bercakap tentang ceramah yang disampaikan oleh ustaz tersebut. Saya yang mendengar pujian mereka terhadap ustaz itu tumpang gembira dan bangga kerana majlis itu telah memberi ilmu kepada ramai orang.

"Seminggu kemudian ketika pulang dari kerja, saya melihat beberapa beg plastik ada di dalam bilik tidur kami. Saya ingat lagi hari itu adalah hari Khamis. Apabila saya belek, rupanya tudung pelbagai jenis.

"Saya pelik dan hati terdetik, mungkin ada sesuatu yang akan berlaku. Saya buat tak kisah dan tidak bertanya apa-apa. Saya terus berdoa agar ada keajaiban yang akan berlaku.

"Ketika selesai azan Maghrib berkumandang, Mazlin muncul di ruang tamu dan berkata, "Abang saya nak solat dengan abang boleh?"

"Bagaikan tersentap jantung saya mendengar kata-kata itu. Kata-kata yang selama ini memang saya tunggu-tunggu. Alhamdulillah, air mata saya bergenang. Malam itu adalah malam Jumaat.

"Saya mengangguk dan berjalan ke bilik diikuti Mazlin di belakang saya. Buat pertama kali setelah bertahun-tahun kami kahwin, inilah kali pertama kami solat bersama.

"Tidak dapat hendak saya luahkan dengan kata-kata perasaan saya saat Mazlin mencium tangan saya sebaik kami selesai solat.

"Saya memegang ubun-ubunnya dan berkata, alhamdulillah, Alin sudah kembali ke dunia nyata dan kembali ke jalan Allah.

"Mazlin menangis dan memohon ampun atas kealpaannya selama ini. Dia juga berkata mulai esok dia akan memakai tudung dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai muslimah dengan reda dan penuh keinsafan.

"Saya amat terharu dan sayu. Saya berharap isteri saya akan menjadi isteri solehah. Saya berharap Allah akan sentiasa memberi kami hidayah dan petunjuk untuk meneruskan kehidupan ini dengan perlindungan-Nya.

"Saya bersyukur kerana majlis ilmu yang saya anjurkan telah membuka jalan untuk isteri saya kembali ke pangkal jalan.

"Ketika dia mengenakan tudung pada pagi Jumaat itu untuk ke pejabat, saya menitiskan air mata dan mencium dahinya.

"Abang doakan saya ya..., pintanya dengan air mata mengalir di pipi. Saya mengangguk beberapa kali. Kini saya tidak perlu susah hati lagi sebab apabila saya melihat wajah Mazlin, hati saya menjadi tenang dan sejuk.

"Moga Allah pelihara kebahagiaan ini dan isteri saya kekal dengan imejnya yang ada sekarang dan menjadi isteri solehah, terima kasih Ya Allah!' sebak Asmadi menamatkan ceritanya.

Salam.

Cinta monyet ke jenjang pelamin

Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

NORANITA dan Ramzan mempunyai minat yang sama dalam perniagaan sekali gus mengukuhkan ikatan perkahwinan mereka.

ISTILAH cinta monyet biasanya merujuk kepada percintaan pasangan remaja atau pelajar yang masih dalam alam persekolahan.

Jika pada dekad lalu, perbuatan menyelit surat di dalam beg atau buku teks mungkin adalah antara taktik remaja untuk berhubung dan memancing cinta.

Banyak 'kepayahan' terpaksa ditempuhi pasangan dahulu termasuklah menentukan waktu paling tepat untuk menelefon kekasih dari pondok telefon awam bagi mengelak 'terperangkap' dan diketahui keluarga.

Pengalaman manis sebeginilah akan dikenang pasangan cinta monyet sekiranya berjaya menyulam kasih sehingga ke jenjang pelamin seperti Noranita Mohd. Salleh, 42, dan suaminya, Ramzan Razali, 44, dari Kota Bharu, Kelantan.

Noranita yang juga Pengarah Urusan NR Chemical, sebuah kilang pengeluar sabun dan bahan pencuci yang diusahakannya bersama suami memberitahu, cerita cinta antara mereka berdua berputik ketika dia berada di tingkatan tiga dan Ramzan di tingkatan lima.

"Saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Naim Lilbanat, manakala suami pula di Maktab Sultan Ismail. Walaupun kedua-dua sekolah terletak di kawasan berdekatan tetapi kami tidak pernah berjumpa.

"Saya mula kenal suami apabila melihat dia sering menghantar makanan ke rumah arwah neneknya di Kampung Surau Kota yang berjiran dengan rumah sepupu saya.

"Sejak itu, saya jatuh hati kerana saya berpendapat hanya budak lelaki yang berperangai baik sahaja mampu melakukan rutin yang sama setiap hari," katanya ketika ditemui S2 di Butik Lorna yang baru dibukanya di Kota Bharu baru-baru ini.

Noranita berkata, dia tidak bertepuk sebelah tangan kerana Ramzi rupa-rupanya turut berminat untuk berkenalan khususnya selepas dia selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun jelasnya, suaminya yang merupakan anak keempat daripada enam beradik dibesarkan dalam keluarga yang tegas dalam pendidikan, jadi soal bercinta semasa di alam persekolahan sudah pasti sesuatu yang 'taboo'.

Justeru katanya, mereka hanya berhubung melalui telefon dan tiada istilah 'dating' antara keduanya sebagaimana lazim pasangan kekasih lain kerana tahu batas sebagai pelajar dan anak yang menjadi harapan keluarga.

Katanya, melalui perantaraan sepupunya, Norashikin, mereka memperoleh nombor telefon rumah masing-masing untuk memulakan salam perkenalan.

"Arwah ayah suami saya, Razali Mohamed merupakan seorang pengetua sekolah, sudah tentulah pencapaian akademik menjadi keutamaan dan anak-anak tidak sepatutnya bermain cinta.

"Sebab itulah suami saya amat berhati-hati apabila mahu menghubungi saya. Dia hanya akan menelefon saya pada waktu ibu bapa masing-masing tiada di rumah bagi mengelak kena marah," katanya.

Noranita berkata, hubungan 'rahsia' itu diteruskan sehingga mereka berada di menara gading dan kali ini surat pula menjadi perantara.

Si dara melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti Teknologi Mara) Shah Alam manakala si teruna pula mengikuti program ijazah sarjana muda dalam jurusan kimia industri di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang.

Sementara itu, ketika ditanya ciri-ciri Noranita yang telah menambat hati Ramzan, lelaki ini memberikan jawapan ringkas dengan senyuman meleret, 'Isteri saya cantik'.

Katanya, kecantikan isterinya menjadi sebutan dalam kalangan pelajar sekolahnya dulu dan dia bertuah kerana dapat memikat Noranita dengan cepat.

"Sebagai 'hero', saya kena cepat bertindak dan berani memulakan langkah. Saya beritahu Noranita mahu 'berkawan' dengannya dan mujurlah dia juga menerima saya," katanya.

Jelasnya, mereka tetap menjaga batas pergaulan semasa bergelar mahasiswa universiti dan tidak berjumpa sesuka hati walaupun semasa cuti semester.

Setelah tamat belajar dan mula bekerja, topik berkahwin sudah tentu tidak dapat diletak ke tepi, lebih-lebih lagi setelah begitu lama berkasih.

Noranita berkata, dia mengajak Ramzan untuk memikirkan tahap seterusnya dalam hubungan itu dan suaminya yang ketika itu berjinak dalam dunia saham dan pembinaan meminta pertolongan ibu saudaranya untuk memberitahu keluarga.

"Saya bimbang arwah ayah tidak beri restu kerana saya baru bekerja, jadi saya kenalkan dahulu Noranita dengan mak saudara yang saya panggil 'Mak Su Yah'. Beliaulah yang telah menolong saya memberitahu arwah ayah hasrat saya untuk berkahwin, syukurlah keluarga saya tidak menghalang," kata Ramzan.

Pasangan yang berkahwin pada 6 Januari 1995 itu dikurniakan tiga orang anak iaitu Lorna Ahlami, 17; Iman Darwaisy, 12, dan Iman Rizq, 2.

Ditebak rahsia kebahagiaan mereka, Ramzan berkata, formulanya adalah seorang suami perlu sentiasa mencari masa untuk memeluk isteri.

Noranita yang ketawa besar mendengar jawapan suaminya pula berkata, dia sendiri menolak segala unsur remeh temeh seperti sifat cemburu yang keterlaluan.

Jelasnya lagi, mereka berdua mempunyai visi yang besar untuk mengembangkan perniagaan, jadi minat yang dikongsi itu menjadikan ikatan semakin kuat.

Melihat pengalaman pasangan ini, terbit persoalan adakah mereka mempunyai fikiran yang terbuka jika anak-anak mengikut contoh sama iaitu bercinta pada usia muda.

Ramzan menjawab, dia tidak ada masalah dengan perkara itu malah, sudah memberi 'lesen besar' kepada anak dara sulungnya, Lorna, dengan nasihat bahawa segala tindakan perlulah tidak melampaui batas akhlak dan agama.

"Tidak mungkin saya menghalang anak bercinta di zaman teknologi komunikasi serba canggih sekarang. Dia bukan hidup di zaman saya.

"Namun, saya pesan supaya dia menjaga akhlak dan pulang ke rumah sebelum azan Maghrib pada hari persekolahan. Waktu hujung minggu pula adalah sepenuhnya bersama keluarga," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved