Jumaat, 5 Julai 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Lelaki bunuh isteri, 2 anak

Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT

Oleh FARHANA JONI
utusansarawak@utusan.com.my

ANGGOTA polis mengusung mayat Ling Yung Ming yang dibunuh kejam di kediamannya di Pulau Li Hua, Sibu, Sarawak, semalam.

SIBU 5 Julai - Akibat tertekan dengan hutang keliling pinggang, seorang lelaki bertindak kejam memukul bertubi-tubi isteri dan dua anaknya menggunakan buluh sebelum melemaskan mereka menggunakan gas memasak di Pulau Li Hua di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi ini, mayat Ling Yung Ming, 40; Christine Tiang Soon Ai, 14, dan Victor Tiang Soon Sheng Tai, 2, ditemui terbaring dengan kesan lebam di seluruh anggota badan dalam bilik tidur di tingkat atas rumah banglo itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zulkifli Hassan berkata, suspek berusia 43 tahun yang merupakan kontraktor Kelas D itu dipercayai memukul kesemua mangsa sehingga lembik menggunakan sebatang buluh.

"Suspek kemudian turun ke tingkat bawah dan mengambil tong gas masak di dapur rumah itu ke tingkat atas sebelum melepaskan gas tersebut untuk melemaskan kesemua mangsa.

"Bagaimanapun dalam kejadian itu, anak sulung suspek, Vincent Tiang Soon Thai, 17, berjaya menyelamatkan diri dengan terjun dari tingkap rumah dan berjaya meminta pertolongan daripada jiran," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Zulkifli berkata, hasil soal siasat terhadap remaja lelaki itu mendapati suspek melarikan diri menggunakan pacuan empat roda dan pihaknya telah mengenal pasti butir-butir peribadi suspek.

Katanya, setakat ini polis masih menyiasat motif kejadian dan mengesyaki suspek mempunyai masalah hutang berlebihan.

Beliau ketika dihubungi malam ini memberitahu, suspek berjaya ditahan di Bintulu, kira-kira 200 kilometer dari rumahnya pukul 7.50 malam.

"Anak suspek yang terselamat masih trauma dan kini di bawah perlindungan polis manakala kesemua mayat tiga beranak itu dibawa ke Hospital Sibu untuk bedah siasat.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan," katanya.

Lelaki kempunan jamah tose

Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
utusanpenang@utusan.com.my

PULAU PINANG 5 Julai - Seorang lelaki tidak sempat menjamah tose yang dibeli untuk makan malam apabila dia mati ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki di sebuah kedai kopi di Relau di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa, K. Kuganeswaran, 30, ditemui mati dengan empat kesan tembakan di badan, dada dan leher.

Mangsa dikatakan pergi ke sebuah kedai untuk membeli tose sebelum dipanggil oleh dua lelaki yang dipercayai dikenalinya.

Bagaimanapun berlaku pertengkaran antara mereka sebelum mangsa ditembak.

Menurut seorang peniaga di kedai tersebut, bunyi tembakan bertalu-talu itu mulanya disangkakan mercun sebelum ada pelanggan lain menjerit.

Katanya, dia kemudian mendapati pelanggan yang baru membeli tose di kedainya terbaring dalam keadaan berlumuran darah di belakang kedai.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, mangsa yang berasal dari Taiping, Perak tinggal bersama kakaknya di sini.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan polis turut menemui empat kelongsong peluru berukuran 9 milimeter di tempat kejadian.

"Polis percaya mangsa cuba melarikan diri sebelum ditembak berikutan plastik berisi tose masih tergantung pada motosikal yang dinaikinya manakala jarak antara mayat mangsa dengan motosikal hanya lima meter.

"Siasatan awal mendapati mangsa memiliki dua rekod lampau melibatkan kesalahan dadah dan polis masih menyiasat motif pembunuhan," katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved