Jumaat, 5 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Nahas lokasi kerja meningkat

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh Haniza Hassan
utusanjohor@utusan.com.my

R. VIDYANATHAN bersalaman dengan para peserta dalam majlis perasmian Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerja di Hotel Selesa, Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 4 Julai - Para majikan di negeri ini terus digesa memberi sepenuh perhatian kepada aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja ekoran statistik kemalangan dan kejadian kecemasan yang berlaku di lokasi berkenaan semakin meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyanathan berkata, statistik tahun ini sehingga Jun menyaksikan sebanyak 40 kes melibatkan kematian di tempat kerja dengan 29 kes hilang upaya kekal.

Beliau berkata, bagi kecederaan tergolong dalam kategori tidak hilang upaya kekal merekodkan angka sebanyak 580 kes dan kes kecemasan lain adalah sebanyak 13 kes.

"Jumlah tersebut biarpun nampak biasa namun agak membimbangkan dan kita khuatir jika tidak diambil perhatian dan tindakan sewajarnya akan terus meningkat sekali gus memberi kesan kepada tahap produktiviti dan daya saing sesebuah organisasi.

"Setiap majikan perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengawal penggunaan bahan kimia berbahaya, pengurusan keselamatan kebakaran dan pengurusan sistem Keselamatan, Kesihatan dan Pekerjaan (OSH) yang akan membantu mereka dalam merencana tindakan susulan yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Beliau berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan anjuran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MMPG) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Kecemasan Pasir Gudang (Pagema), Pusat Pembangunan Tenaga Industri Johor (Puspatri) dan beberapa agensi lain di sini hari ini.

Tahun lalu, jumlah kes melibatkan kematian sebanyak 26 kes, hilang upaya kekal (63), tidak hilang upaya kekal (1,287) dan kecemasan (28).

Tambah Vidyanathan, dalam tempoh sama tahun ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) mengambil tindakan undang-undang terhadap 16 majikan dan mengenakan kompaun terhadap tujuh majikan melibatkan jumlah sebanyak RM60,000.

Katanya, komitmen berterusan perlu diterapkan setiap majikan dan pekerja bagi mencegah kemalangan, penyakit pekerjaan mahupun kejadian berbahaya yang boleh berlaku kepada pekerja.

"Setiap majikan perlu pragmatik dan menghindari sikap sedia dan tunggu pegawai daripada DOSH mengambil tindakan undang-undang. Majikan dan pekerja sepatutnya mengamalkan budaya mencegah sebelum sesuatu kejadian," katanya.

MDT berazam beri khidmat terbaik

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh Zulhisham Isahak
utusanjohor@utusan.com.my

LEDANG 4 Julai - Majlis Daerah Tangkak (MDT) berazam memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai tanpa mengira kaum selaras penganugerahan Sijil MS ISO 9001: 2008 diberikan oleh SIRIM Berhad, di sini hari ini.

Yang Dipertuanya, Ab. Han Ramin berkata, penganugerahan itu menjadi wadah baharu kepada warga pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam memberi perkhidmatan terbaik dan lebih mendekati penduduk setempat yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

"Peranan dan fungsi PBT dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam amat penting kerana orang ramai menganggap PBT kerajaan bagi mereka.

"Dalam erti kata lain, pada pandangan orang ramai, sekiranya baik mutu perkhidmatan diberikan PBT, maka baiklah mutu perkhidmatan awam atau kerajaan dan begitulah juga sebaliknya," katanya dalam majlis penyampaian sijil itu di sini.

Ab. Han berkata, walaupun MDT bukan PBT pertama di negeri ini dianugerahkan sijil itu, namun anugerah itu cukup bermakna buat warga kerjanya yang mempunyai keazaman tinggi dan sangat komited dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan demi pembangunan di daerah ini.

Beliau berkata, usaha untuk melaksanakan MS ISO 9001:2008 sudah dilakukan secara serius sejak 2010 iaitu proses kritikal dan menjadi tumpuan pelanggan di MDT membabitkan sembilan jabatan di bawahnya.

Katanya, sijil yang diperoleh itu sah bermula 12 April tahun ini hingga 11 April 2015 dan pencapaian itu amat membanggakan dalam usaha memaju serta meningkatkan mutu perkhidmatan menerusi pemakaian sistem pengurusan berkualiti diiktiraf antarabangsa.

"Hasrat kerajaan mengguna pakai MS ISO 9001:2008 ini sebagai strategi menerapkan budaya kerja cemerlang dalam perkhidmatan awam, bukan saja dapat menghasilkan perkhidmatan terbaik dan memberi kepuasan kepada pelanggan tetapi meningkatkan budaya saing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

"Ini akan memberikan petunjuk kekuatan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan yang menjadi teras MDT," katanya.

MDT juga, kata beliau, komited dalam usaha memberikan perkhidmatan ke tahap tertinggi menerusi Pelan Strategik MDT yang bermula sejak 2009 hingga 2015 dengan sasaran membawa perubahan kepada kakitangan serta kepuasan kepada pelanggan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved